Monday, October 22, 2012

AES, MENANTI INGATAN TUHAN

==================== Usik Hati===================

Hari ini (22/10/2012), Sinar Harian membuat liputan secara meluas mengenai pelaksanaan AES. Sebanyak 6 halaman membahaskan isu ini berdasarkan pandangan pelbagai. Rata-rata pandangan menunjukkan kegelisahan terhadap pelaksanaan tersebut yang dilihat lebih berbentuk penindasan kepada rakyat.

Hanya Menteri Pengangkutan sahaja, Datuk Seri Kong Cho Ha, yang bersetuju pelaksanaan tersebut sebagai berkata, “Kerajaan bukan mahu menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada pengguna jalan raya”.

Apa yang jelasnya kini rakyat sudah marah dan mula bangkit untuk menentang. Kerajaan pula tiada pilihan, terpaksa mengendurkan tali regangan.

Kenapa rakyat marah ?

1- Rakyat marah kerana mereka seolah-olah diperbodohkan oleh kerajaan dengan pemberian pelbagai insentif, namun ditarik balik ala samseng jalanan bagaikan kerbau runcing tanduk.

2- Rakyat marah kerana merekalah yang akan menanggung segala bebanan dan pelbagai cukai yang dikenakan. Di rumah kena cukai, di jalan kena cukai, di kedai makan kena cukai, di serata tempat ianya bercukai seperti Belanda minta tanah.

3- Rakyat marah kerana wujudnya ‘double-standard’ dalam pengurusan. Si kaya bertambah kenyang, manakala si miskin pula bertambah melarat umpama burung, mata terlepas badan terkurung.

4. Rakyat marah kerana mereka meragui keikhlasan kerajaan yang berniat baik untuk mendisiplinkan mereka. Padahal, barisan pimpinanlah yang sepatutnya terlebih dahulu perlu menunjukkan disiplin diri yang tinggi. Tak ubah seperti haruan makan anak, seperti ketam ingin mengajar anaknya berjalan lurus.

5. Rakyat marah kerana kebebalan pucuk pimpinan yang bersikap pekak badak dalam menilai kesukaran rakyat. Mereka pula, hidup bagaikan ikan dalam belanga, bak bujang setahun sudah bertetak.

6- Rakyat marah kerana kesenangan hidup tidak mampu untuk dikecapi bersama. Hanya segelintir kelompok VIP dan VVIP serta kuncu-kuncu yang seangkatan dengan mereka bagaikan anjung berat sebelah, seumpama anjing melintang denai.

7- Rakyat juga marah kerana hutang kerajaan berlipat ganda. Gandaan itu diletakkan di atas ubun-ubun setiap rakyat untuk membayarnya. Jalan mudah, juga bertindak bagaikan serampang dua mata, menggemukkan poket kroni dengan berselindung di sebalik penjanaan ekonomi negara. Ini tak ubah seperti pisau mata dua.

Justeru, barisan pimpinan negara perlulah memberi perhatian sewajarnya. Hiduplah bersama-sama rakyat. Rasailah pahit maun menjadi rakyat marhaen. Kenangkanlah jasa keringat pak tani, membanting tulang mencari sesuap, padi beras dikais, pagi petang anak-anak menanti dalam dakapan si ibu yang bertemankan lelehan air mata.

Ataupun mereka sudah lupa dan tidak perlu lagi diberi ingatan, sementara menanti ingatan dari Tuhan.

No comments:

Post a Comment