Wednesday, October 31, 2012

TAMBAHKAN INFO TENTANG PENYEMBELIHAN

==================== Sisipan Feqh ===================

Sembelihan korban di Air Baruk, Jasin, Melaka
sempena Eidil Adha 2012
Malam tadi, sahabat saya bercerita tentang sambutan hari raya korban di kampungnya. Antara pengkesahan yang agak menarik minda saya ialah kaedah penyembelihan yang telah dilakukan oleh seorang imam masjid yang menyebabkan sembelihannya berlaku dua kali.

Kali pertama, pisau sembelihannya telah menghiris kulit luar leher lembu yang yang hendak disembelihkan itu. Tak disangka-sangka, lembu itu mengubah posisi lehernya yang mengakibatkan kesukaran untuk meneruskan sembelihan tersebut. Ini memaksa tuan imam tadi berundur ke belakang sementara menanti leher lembu tadi diperbetulkan kembali.

Suasana itu diperhatikan ramai orang, dan mereka sambil tertanya-tanya akan kedudukan sembelihan tersebut. Adakah sah atau haram, lantaran telah berlaku dua kali sembelihan pada leher yang sama.

Saya sekadar berkongsi info tentang isu ini.

MAKSUD SEMBELIHAN / BURUAN
Maksud sembelihan ialah binatang  yang disembelih. Ini berbeza dengan pemburuan, kerana pemburuan bermaksud ialah binatang yang diburu.

HUKUM
Hukum bagi kedua-dua jenis binatang yang telah diburu dan telah disembelih itu halal dimakan dengan syarat orang yang menyembelih dan orang yang memburu adalah orang Islam atau kafir kitabi (Yahudi atau Nasrani). Maka, haram dimakan sembelihan atau buruan kafir majusi (menyembah api), kafir wasani (menyembah berhala), kafir yang tiada mempunyai kitab atau murtad.

BINATANG JINAK
Manakala binatang yang senang disembelih itu hendaklah dipotong dengan diputuskan halkum (jalan nafas)  dan diputuskan mariy (saluran makanan) dan kedua-dua urat marihnya.

BINATANG LIAR
Adapun bagi binatang yang sukar disembelih pula dengan sebab liar, bolehlah dilukakan pada mana-mana bahagian yang boleh mematikannya sekalipun bukan dilehernya.
(Dalam buku Iqna’ jld 4 m/s 233):
Binatang yang payah hendak menyembelihnya kerana dia liar, maka sembelihnya dilukakan dengan luka yang menghilangkan nyawanya, tak kira di mana kena badannya (asalkan mati).   Sekiranya binatang jinak sudah jadi liar, hukumnya sama macam buruan yang halal.

Dan halal disuruh anjing (terlatih) mengigitnya.Manakala binatang yang ditembak pakai senapang dengan penabur atau peluru boleh dimasuk dalam kaedah ini kerana dua sebab :
          1-Ada luka yang menghilangkan nyawa.
          2-Mati dengan ditembak sama tarafnya dengan mati digigit anjing, malahan mati dengan digigit anjing itu lebih teruk.

(Dalam kitab Matla’ Badrain) : Mengatakan haram ditembak perburuan dengan peluru kerana bahawasanya ia menghanguskan dan menyegerakan matinya pada ghalib.

Alasan ini tidak tepat kerana apa yang kita ketahui bahawa binatang yang kena tembak itu bukan mati hangus, bahkan ia mati dengan sebab luka kena peluru atau penabur, bukan api.

Tentang mati segera itu tidak jadi halangan, malahan itulah yang bagusnya. Mati cepat itu lebih baik daripada mati lambat.

PUTUSKAN HALKUM
Dalam masalah memutuskan halkum dan mariy itu hendaklah diputuskan dengan sekaligus. Maka jika diputuskan halkum sahaja dan binatang itu tinggal nyawa ikan baharu sambung potong mariy, nescaya haram dan tiada boleh dimakan.

Tetapi kalau masih ada nyawa yang tetap dan diulang potong kali kedua atau ketiga hukumnya halal sembelihan itu.

PISAU TUMPUL
Demikian jua umpama disembelih dengan pisau yang tumpul, kemudian dicampakkan pisau itu, ambil pisau lain yang tajam, sedang nyawa binatang itu masih dalam nyawa yang tetap, atau dengan segera mengambil pisau tajam itu, hukumnya sah sembelihan itu dan halal dimakan.

Binatang yang teruk sampai ke darjat tinggal nyawa ikan dengan sebab sakit atau sangat lapar, halal disembelih sekalipun darahnya tiada memancut dan tidak ada gerakan yang kuat.

Adapun binatang yang luka atau patah kerana digigit binatang buas atau dihempap rumah atau dilanggar kereta atau sebagainya, halal disembelih jika ada lagi nyawa tetap padanya.

NYAWA TETAP
Nyawa tetap atau juga disebut “Hayat mustaqirrah” yang alamatnya ada gerakan kuat atau darahnya memancut bila dipotong lehernya.

Juga halal dimakan anak dalam perut yang mati dengan sebab sembelih ibunya pada binatang yang jinak, atau mati dengan dipanah ibunya atau digigit anjing buruan pada binatang yang liar.

ANAK DALAM PERUT
Sekiranya dilapah perut ibunya dan didapati anak dalam perut itu hidup hayat mustiqirrah, hukumnya wajib disembelih anak itu.

Maksud anak itu ialah anak yang sudah ditiup ruh padanya. Adapun yang belum, seperti daging seketul dan darah sebuku, tiadalah halal dimakan menurut qaul yang muktamad.

Perkara sunat yang perlu diberi perhatian semasa melaksanakan ibadah ini ialah mengasah pisau supaya cukup tajam. Bagi binatang yang panjang lehernya, sunat dipotong pada pangkal lehernya supaya senang ruhnya keluar.

Sunat juga dihadapkan arah qiblat  dan menyebut nama Allah ketika menyembelih, dan ketika melepaskan tembakan, atau ketika melepaskan anjing buruan.

TENTUKAN BINATANG
Disyaratkan mahu ada diqasadkan ain binatang yang hendak disembelih dan yang hendak diburu itu.

Maka jika berlaku terkena pisau pada leher binatang buat percubaan, tiba-tiba terkerat betul, atau seorang sedang mencuba panahnya atau senapangnya, tiba-tiba kena binatang liar dan mati, hukumnya tiadalah halal dimakan kerana tiada diqasadkan ainnya.

ANJING YANG MASUK AJAR
Dan lagi disyaratkan pada binatang yang memburu seperti anjing atau helang hendaklah binatang itu masuk ajar (muallamah). Iaitu jika disuruh lari ia lari, jika disuruh berhenti ia berhenti, sekalipun ia tengah mengejar.

Apa jua binatang yang dapat ditangkapnya diberikan kepada tuannya. Dan ia tidak makan daging buruannya sebelum ia membunuh atau sesudah membunuhnya, tetapi tidak mengapa sekadar jilat-jilat darah dan sebagainya.

Adapun anjing atau helang yang tiada masuk ajar, hukumnya tiadalah halal binatang buruan yang dibunuhnya.

BINATANG BURUAN
Binatang-binatang buruan yang digigit anjing buruan itu kena najis mughalazah, maka hendaklah dibasuh tujuh kali, sekali dengan tanah pada tempat yang digigitnya, dengan tak payah dipotong daging bekas gigit itu.

Apa jua bahagian atau juzu’ yang dipotong daripada binatang halal masa ia hidup, hukumnya macam bangkai iaitu najis dan tak boleh dimakan melainkan bulunya sahaja iaitu bersih boleh dibuat pakaian atau hamparan atau sebagainya.

HALAL BANGKAI
Halal bangkai ikan, belalang dan jenis-jenisnya kerangan laut yang tiada memabukkan.  Tiadalah wajib dibuang tahi dalam perut belalang atau anak ikan kecil kerana sukar mengerjakannya, boleh dimakan dengan tahi-tahinya.

Demikian jua ulat yang jadi daripada makanan seperti ulat yang jadi dalam buah dan semut yang jatuh dalam madu, semuanya boleh dimakan benda-benda itu dengan tiada dituju ulatnya.

Dan makruh makan ikan yang dibakar tidak dibuang perutnya dahulu. Makruh dikerat ikan dan belalang yang masih hidup dan makruh disembelih kedua-duanya melainkan ikan besar yang degil dan payah hendak mati ketika itu sunat disembelih dengan dikerat ekornya.

BINATANG YANG TIADA NAS
Tiap-tiap binatang yang tiada nas mengatakan haram atau halal, pada hal ia dianggap baik hukumnya halal dimakan melainkan ada nas mengharamkannya baharulah hukumnya haram dimakan.

BINATANG BUAS
Daripada jenis binatang buas maka setiap binatang yang mempunyai taring yang kuat, yang ia membunuh dengan taring itu seperti singa, harimau, serigala, beruang dan sebagainya.

BURUNG
Dan daripada jenis burung, maka haram tiap-tiap burung yang mempunyai kuku dan muncungnya yang melengkung, kuku yang mencengkam mangsanya secara menyambar seperti helang dan sebagainya.

BINATANG LAUT
Segala jenis binatang laut yang tiada boleh hidup di darat melainkan sekadar nyawa ikan dan tiada beracun hukumnya halal dimakan, tak kira walau macam mana rupanya sekalipun.

BINATANG DARAT
Binatang darat yang halal dimakan, antaranya : Unta, lembu, kerbau, kuda, kambing, biri-biri, kambing gurun, seladang, rusa kijang, pelanduk, landak, arnab .

Burung yang halal dimakan, antaranya : Ayam belanda, angsa, ayam, itik, tekukur, merpati, merbok, punai, burung ayam-ayam, bangau, puyuh.

BINATANG HARAM
Binatang yang haram dimakan, antaranya : Keldai, harimau, singa, gajah, beruang, zirafah, beruk, orang utan, kucing, badak, buaya, katak, mengkarung, lipan dsb.

Burung yang haram dimakan, antaranya : Helang, gagak, merak, engang dsb.

KETIKA DARURAT
Jika berlaku pada seseorang tidak ada makanan yang halal melainkan yang haram, jika tidak makan nescaya jadi mudharat atas dirinya adalah diharuskan ia memakan sekadar menahan lapar sahaja.

HARAM SUSU BINATANG
Haram memakan susu binatang yang haram dimakan seperti susu keldai dan haram memakan sesuatu benda yang kena najis yang cair atau yang beku.

Makruh makan binatang yang makan najis, tidak makruh makan buah-buahan yang dibaja pokoknya dengan najis, tetapi jika berbau busuk, hukumnya makruh jua.

Maklumat ini adalah berdasarkan kitab : "Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang  Kusut", oleh  Tn. Hj. Abd. Ghani bin Hj. Yahya.


No comments:

Post a Comment