Wednesday, October 31, 2012

HUKUM BERSOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA

==================== Sisipan Feqh ===================

Masjid al-Ghaffar, Jasin, Melaka
Isu ini sengaja saya ketengahkan rentetan daripada perbahasan rakan-rakan semasa majlis korban hari itu yang berkebetulan Hari Raya Haji pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat.

Atas kesibukan menyelenggarakan ibadah korban dan desakan masa yang suntuk, ada sebilangan ahli jemaah telah mula ‘berfatwa’ itu dan ini agar ada sedikit kelonggaran (rukhsah) bagi mereka.

Tulisan ini juga merupakan jawapan bertulis saya kepada mereka, lantaran kesukaran berhujjah panjang lebar dek kesibukan yang menekan pada hari tersebut.

Hadis pertama yang berkaitan isu ini  (426/15) dari kitab Subul al-Salam :

وعَن زَيد بْنِ أرْقَمَ رَضي الله عَنه، قَال :صَلَّى النبيُّ صلّى الله عَلَيه وَسلَّم العِيدَ، ثُمَّ رَخَّصَ فِي الـجُمُعةِ، ثُمّ قَالَ : "مَن شَاءَ أنْ يُصلِّيَ فَلْيُصَلِّ". رَوَاهُ الـخَمسةُ إلا التِّرمِذيّ، وَصَحّحَهُ ابنُ خُزَيْمَةَ.

Yang bermaksud : Diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam ra katanya: Nabi saw bersolat raya (pada hari Jumaat) lalu memberi kelonggaran (rukhsah) untuk bersolat Jumaat dengan sabdanya saw : “Sesiapa yang ingin bersolat (Jumaat), maka bersolatlah”.

Hadis kedua yang juga ada kaitan dengan isu ini  (1073) dari kitab Sunan Abi Daud :

مِن حَديثِ أبي هُرَيرةَ رَضي الله عَنه، أنهُ صلّى الله عَلَيه وَسلَّم قَالَ : " قَد اجْتَمَعَ في يَومِكم هذا عِيدانِ، فَمَن شَاءَ أجْزأهُ عَن الـجُمُعةِ، وإنّا مُجَمِّعُونَ". أخرجه ابن ماجة والحاكم، وصححه الدارقطني.

Yang bermaksud : Daripada hadis Abi Hurairah ra, bahawasanya Nabi saw ada bersabda : “Sesungguhnya telah terhimpun ke atas kamu pada hari ini akan dua hari raya, sesiapa yang bersolat Jumaat maka akan memperolehi pahala, sedangkan kita telahpun berhimpun”.

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, maka jelaslah bahawa solat Jumaat selepas solat raya adalah dilonggarkan (dirukhsahkan), namun ianya adalah khas untuk mereka yang telah menunaikan solat raya.

Adapun bagi mereka yang tidak menghadirkan diri bersolat raya, maka tiadalah kelonggaran (rukhsah) ini untuk mereka. Termasuklah juga para imam yang akan mengimamkan solat Jumaat tersebut.

Perlu diingat, mazhab Ibn Zubair yang telah menggugurkan solat Zohor pada hari itu berdasarkan zahir hadis ini adalah tidak betul (Subul Al-Salam, jld 2, ms 113).

Amalan sahabat ra seperti yang disebutkan oleh Imam Malik (69, ms 88) dari kitab Muwatta’ :

عَن أبي عُبَيْد مَولَى عبدِ الرحمن، قَال : (شَهدتُ العيدَ مَع عُمر بن الخطابِ، فَصلّى ثُمّ انْصَرفَ، ...، ثُم شَهدتُ مَع عُثمان بن عَفان، فَجأ فَصلّى، ثُمّ انْصَرفَ فَخطبَ، فَقالَ : إنهُ قَد اجْتمعَ لكم في يَومِكم هَذا عِيدانِ، فَمَن أحبَّ مِن أهل العاليَة أنْ يَنتظرَ الجمعة فَلينتظرْها، وَمَن أحبّ أنْ يَرجعَ فَليرجع، فَقد أذنتُ لَه).

Yang bermaksud : Daripada Abi Ubaid maula Abdul Rahman katanya : )Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Umar ra…kemudian aku juga pernah bersolat hari raya bersama Usman ra, beliau datang lalu menunaikan solat tersebut serta berkhutbah, katanya : “Sesungguhnya telah terhimpun dua raya (solat raya dan solat Jumaat) bagi kalian semua pada hari ini, sesiapa dari kalangan kalian penduduk desa yang sudi menanti solat Jumaat maka bolehlah menanti, dan sesiapa pula yang mahu pulang ke desa masing-masing maka bolehlah berbuat demikian, aku izinkan(.

Seumpamanya juga telah diriwayatkan oleh Umar bin Abdul Aziz yang menjadi pegangan mazhab kita al-Syafi’e.

Pegangan Jumhur (Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi’e) ini tidaklah bersalahan dengan kaedah usul seperti yang dinyatakan oleh Imam Malik dan Imam Abu Hanifah (ms 159, jld 1) dari kitab Bidayat al-Mujtahid :

(إذَا اجْتَمعَ عيدٌ وَجُمُعة، فَالـمُكلف مُخاطَب بِهما جَميعًا، العِيدُ عَلى أنّه سُنة، وَالـجُمُعة على أنّها فَرضٌ، وَلا يَنوبُ أحدُهما عَن الآخَر. وَهذا هو الأصْلُ إلا أنْ يُثبتَ في ذلك شَرعٌ يَجبُ الـمَصيرُ إلَيهِ).

Yang bermaksud : (Apabila terhimpun hari raya pada hari Jumaat, maka adalah diwajibkan bagi setiap yang mukallaf untuk menunaikan solat Jumaat tersebut, kerana solat raya itu adalah sunah dan solat Jumaat pula adalah fardhu, dan tidaklah boleh perkara sunat mengambil-alih perkara fardhu. Ini adalah kaedah asal, namun seandainya ada nas yang membenarkan, maka wajiblah kita beramal dengan nas tersebut).

Dari itu, jumhur fuqaha’ (Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan imam kita al-Syafi’e) telah mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya tersebut dengan memberi kelonggaran (rukhsah) hanya kepada penduduk desa yang tinggal berjauhan daripada bandar (tempat didirikan solat Jumaat) atas dasar kesukaran (masyaqqah).

Adapun pendapat sebahagian ulama mazhab Hanbali yang tidak mewajibkan solat Jumaat (mereka hanya diwajibkan solat Zohor) adalah bersalahan dengan kaedah berjaga-jaga (ihtiyat) yang diamalkan dalam beragama. والله أعلم

Rujukan saya dalam bab ini :
- سنن أبي داود
- موطأ للإمام مالك
- بداية المجتهد ونهاية المقتصد للإمام القاضي ابن رشد القرطبي
- سبل السلام شرح بلوغ المرام من جمع أدلة الأحكام للإمام محمد بن إسماعيل الصنعاني


No comments:

Post a Comment