Monday, October 15, 2012

SATU LAGI ... PROJEK MENINDAS RAKYAT


==================== Sisipan Sosial =====================


Menurut Setiausaha DAP, Lim Guan Eng, projek AES mendapat tentangan kerana pemegang konsesinya, ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd mampu mendapat balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar.
Katanya, "(Ini memberi pulangan) lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun," katanya lagi.

Lebuh Raya Utara Selatan - Arah Utara KM 301.5
Menghampiri Tol Kajang

MP BN Sri Gading Datuk Mohamad Aziz pula berkata pelaksanaan sistem itu patut ditangguhkan kerana syarikat terbabit menurutnya mungkin hanya mahu membuat duit.  (Mkini, 14/10/2012)

Sistem AES dikuatkuasakan pada 23 September lalu. Pada lapan hari pertama pelancarannya, sebanyak 63,558 kesalahan trafik telah dicatatkan dan sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan.

Secara tidak langsung, projek ini mampu meraih keuntungan yang besar kepada pemilik sahamnya.

Inilah yang dikata orang, jika perangai buruk maka dikenang orang walau di mana mereka bertapak. Ke pasar dicemuh, ke kedai kopi diejek, hatta ke masjid sekalipun tetap diragu.

Apalah malangnya nasib insan yang sedurja ini.  Buatlah apa sekalipun, ianya tetap dipandang sinis dan dipertikaikan keikhlasannya dalam membantu.

Puncanya hanya satu, kerana apa yang dilakukan sebelum ini, kebanyakan atau keseluruhannya adalah untuk menguntungkan pihak yang di’ternak’kan sahaja.

Lihatlah bagaimana terseksanya rakyat sebagai pengguna jalan raya. Dihimpit kiri dan kanan. Ditekan atas dan bawah. Sesak nafas dibuatnya. Hampir terputus jalan perut.

Lebuh raya dikenakan tol. Jalan biasa dikenakan cukai. Silap langkah disaman pula.

Sebagai rakyat biasa, kita mampu merasionalkan betapa kerajaan juga memerlukan kos pendapatan untuk dijanakan.

Namun, sebagai seorang bapa yang gilakan judi dan arak, gilakan perempuan dan kaki peleseran, boros dan hanya fikirkan keseronokan, beliau sudah pasti tidak akan memikirkan masa depan dan kebajikan anak-anak.

Terkadang, ingin ditunjukkan wataknya yang baik lagi jujur, lalu dihulurkan duit saku untuk perbelanjaan. Hakikat di belakangnya, men’cabul’ duit anak secara paksa.

Tindakan ini, pada akhirnya nanti menghilangkan ‘thiqah’ (kepercayaan) anak terhadap orang tuanya.

Tolonglah berlaku baik kepada mereka. Rakyat juga berhak untuk hidup aman dan damai tanpa gangguan dan jauh sekali untuk menggelabahkan mereka.

Saya secara peribadi hilang keseronokan memandu, mati minat menikmati kehijauan alam, lantaran kiri dan kanan, belakang dan depan serkap dan jerat menanti.

Sayalah orang yang paling tidak seronok memandu apabila asyik membilang kilometer dan memerhati papan tanda had kelajuan.

Tambahan pula di sepanjang jalan raya, dipenuhi dengan iklan yang terkadang langsung tiada pertalian dengan keselamatan jalan raya. Lebih-lebih lagi jika dilebuh raya. Apa kaitan pemanduan dengan penonjolan imej yang menghairahkan ?

Hanya di Malaysia ini berlaku dek banyaknya tangan yang masing-masing menanti habuan.

Dari itu, dasar menswastakan ini tak ubah seperti menyamun di rumah sendiri. Meskipun, dilihat ada baiknya, namun buat masa ini, kejahatannya lebih mengatasi daripada kebaikan yang dihasratkan. Lantaran terhakisnya nilai moral dan peri laku yang murni dari sanubari.

No comments:

Post a Comment