Tuesday, October 30, 2012

MASIH TERKELIRU DENGAN AGIHAN DAGING KORBAN

==================== Sentuh Perasaan ===================

Rakan-rakan sedang melapah lembu korban
Ada rakan-rakan bertanyakan saya tentang kedudukan daging binatang yang telah dikorbankan. Saya melihat persoalan ini dalam dua keadaan : Pertama – mengenai ibadah korban, dan kedua – mengenai agihan daging korban.

Adapun yang pertama, ramai dalam kalangan kita telah jelas iaitu hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut melakukannya). Waktunya pula sebaik sahaja selesainya solat Eidil Adha dan berterusan pada hari-hari tasyriq (11, 12, dan 13 Zulhijjah).

Manakala isu yang kedua itu pula, mengenai agihan daging korban. Sebelum saya mengupasnya, eloklah saya jelaskan terlebih dahulu menegenai falsafah di sebalik ibadah ini.

Berkorban bermakna kita menggadaikan diri kita kerana Allah swt melalui sesuatu amalan, antaranya ialah dengan membelanjakan sejumlah wang, sekitar RM400.00 untuk satu bahagian lembu dan sebagainya untuk golongan yang memerlukan dengan pecahan 1/3 untuk disedekahkan kepada golongan fakir miskin, 1/3 untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan dan saudara mara, dan 1/3 lagi adalah untuk orang yang berkorban itu.

Seandainya disedekahkan kesemuanya itulah terlebihlah afdalnya. Namun, seeloknya orang yang melakukan ibadah korban tadi mengambil sedikit daripada daging tersebut kerana padanya terdapat keberkatan daripada ibadah itu. Ini juga dapat mengelak daripada menyerahkan seekor lembu kepada jawatankuasa masjid, manakala si penyumbang itu tidak kelihatan kelibatnya.

Terkadang saya melihat, bahkan ada juga pak cik – pak cik di kampung merungut kerana ada antara mereka yang terlibat dalam ibadah korban inginkan daging yang melebihi daripada hak yang telah diperuntukkan kepadanya. Maaf saya katakan, ada juga yang telah memperuntukkan bahagian-bahagian daging tertentu untuk tok imam, tok bilal dan tok siak dan juga untuk tok sidang.

Kita faham, semasa melaksanakan ibadah korban, semua orang terasa penah dan letih. Orang yang mengikat kaki lembu juga penat. Orang yang menumbangkan lembu juga letih. Orang yang melapah turut ‘laih’. Bukannya tok imam seorang sahaja, yang pada kebiasaannya selaku tukang sembelih terasa penat.

Inilah balanya apabila sesuatu amalan itu telah menjadi tradisi. Tiada seorangpun yang mampu untuk mempertikaikannya. Contoh paling senang, alunan takbir pada hari raya, ingin juga diberikan kepada tok-tok tadi. Kebanyakan mereka sudah berusia, bermakna suarapun juga berusia, terbatuk-batuk dan terdehem-dehem untuk mendapatkan mahkraj huruf dan mengejar mad tajwidnya.

Apalah salahnya diberikan ruang kepada anak-anak muda yang balik dari perantauan. Sekali sekali teringin juga di hati mereka untuk menzahirkan suara-suara yang lunak lagi lemak itu.

Demikianlah betapa susahnya amalan agama apabila bersalutkan adat budaya dan tradisi. Dari itu, kita perlu kembalikan balik pemahaman agama atas landasannya yang betul agar penat lelah kita berbaloi dengan ganjaran Allah swt yang telah dijanjikan.

No comments:

Post a Comment