Di tapak pertanian MARDI, Cameron Highland bersama isteri dan anak-anak |
Dua hari lepas, saya bersama isteri dan anak-anak berkesempatan menghabiskan hari cuti ke Cameron Hingland. Tempatnya indah, cantik, sejuk dan mendinginkan. Amat sesuai bagi mereka yang berkehendakkan sedikit kedinginan minda.
Sebetulnya, ini adalah kali pertama saya sampai ke sana bersama keluarga. Maklumlah, dahulu bukannya tiada masa untuk berkunjung, tetapi ‘pitih’nya yang tidak mencukupi.
Lagipun, kita di kampung, lebih selesa dengan suasana sawah bendang yang menghijau, damai dengan kicauan burung senja dan asyik pula dengan kesejukan anak-anak air yang mengalir. Pegangan kami sebagai anak kampung, bahawa kampung kamilah yang terbaik dan tercantik. Dek kerana itu, maka lokasi lain tiada lagi dipedulikan.
Dalam perjalanan mendaki, ada aliran air terjun yang menggamit pemandangan dan kelihatan juga anak-anak orang asli begitu tekun menanti ‘tetamu’ untuk dijual hasil hutan yang dicari. Meskipun jalan agak berliuk-lintuk, namun keindahan alam membawakan diri ini rasa sekejap sahaja kami dah sampai di puncak yang dicita.
Untuk rakan-rakan yang berhasrat menghabiskan musim cuti di sini, mohon tempahan hotel terlebih dahulu. Jika tidak, maka keretalah tempat melelapkan penat dan lelah.
Pada hakikatnya, saya begitu kagum dengan negaraku ini. Aman, damai dan selesa untuk dikunjungi.
Meskipun begitu, saya terkadang merasa pelik juga, kerana bukit yang ditarah, tanah yang dibajak, semuanya itu bukannya satu kerja yang senang, namun hakikatnya ia telah diusahakan oleh orang yang bukan berbangsa kita.
Tuan-tuan boleh singgah di mana sahaja kebun pertanian, namun sukar untuk tuan-tuan ketemukan bangsa kita yang mengusahakannya. Jangan-jangan, puncak ini juga telah ditawan oleh mereka yang telah menawan puncak Genting.
Minta maaf kepada MARDI. Saya berkunjung ke sana, namun apa yang saya lihat hanya pepohon epal yang menanti saat menyembah bumi. Begitu juga dengan pohon anggur dan yang lainnya. Tidakkah mereka memiliki kepakaran dan mampu menjadikan sebuah kebun yang subur dan segar untuk mata memandang dan tekak merasai?
Namun, apabila kita ke Strawberry Farm, nun di puncak bukit yang tertinggi sekali, ternyata ianya hebat dan dimiliki pula oleh orang yang bukan bangsa kita. Hebat kebun mereka. Bagaikan puncak Cameron setanding puncak Genting.
Tuan-tuan boleh berkunjung ke sana. Tuan-tuan akan dapati Kelab Golf yang tersergam indah. Bersih dan elit kelihatannya. Ia milik raja kita berdasarkan nama yang terpapar.
Maaf kalau saya katakan, di sana ada dua darjat yang berbeza. Satu kumpulan yang begitu rajin mengutip rezeki, manakala satu kumpulan lagi pula sedang asyik memukul bola ‘hoki’.
Jika ditanya, tidakkah kita ada kuasa? Tidakkah kita ada pengaruh? Tidakkah kita ada kekuatan modal untuk mengusahakan tempat yang begitu strategik bagi pengeluaran sayur-sayuran?...Atau kita hanya lebih rela menjadi pengunjung dan ketawa dalam kereta sendiri. Walhal tanah air telah dimajukan oleh orang yang bukan dari kita.
Kunjungan saya ke sana banyak menyedarkan saya betapa para pejuang yang melaungkan perjuangan bangsa dan hasrat ingin mengangkatkan keturunan darah sendiri tidak ke mana-mana. Hanya sekadar laungan kosong dan bualan kedai kopi.
Nampak sangat, bangsa lain yang bertungkus lumus mencari rezeki dan meraih keuntungan diberi peluang. Kita pula, khususnya para pimpinan parti kerajaan, sibuk membuaikan anak-anak muda dengan hiburan dan kealpaan.
Bertambahlah peliknya, Tahun Baru Cina sepatutnya disambut oleh orang Cina, namun kita pula sebagai penganjur dan penyambutnya. Sangat ketara, kita pula yang begitu teruja, padahal orang Cina sendiripun tidak melakukan sedemikian.
Betapa dangkalnya pemikiran, jika beranggapan bahawa orang Cina suka menyambut Tahun Baru Cina dengan hiburan hip hop yang disajikan. Cubalah bertanyakan kepada orang Cina hikmah tahun baharu yang mereka raikan. Bukankah untuk mengeratkan hubungan sanak saudara dan meraikan kebaikan tahun yang tiba? Sedangkan kita pula meraikan ia dengan hiburan yang sangat-sangat melampau, dan jauh tersasar dari budaya kita orang timur.
Janganlah suatu hari nanti, kita pula yang mengingatkan orang Cina akan tahun baharu yang sepatutnya mereka raikan dan pengisian yang perlu disajikan.
Kenapa hiburan yang dipuja puji? Seolah-olah ia telah membudayakan kehidupan kita. Setiap kali ada keramaian, maka setiap kali itulah hiburan perlu dihidangkan. Semestinyakah?
Tidak salah untuk berhibur. Juga tidak salah untuk bersuka ria. Dan sememang tiada hukumpun yang mengharamkan hiburan yang teralun. Namun, sekiranya hiburan itu berlaku dalam suasana yang terbabas, lebih-lebih lagi jika hiburan tersebut terlalu melampau dan berbaur kelucahan, maka sudah pastilah hukumnya adalah ditegah.
Seandainya hiburan tersebut bertujukan hanya satu, agar anak remaja menjadi alpa, hanyut di arus hiburan, dan mereka pula boleh ‘merampas’ apa sahaja khazanah negara, maka di kala itu, amatlah malangnya berpimpinkan pemimpin sedemikian hal.
Wahai penganjur dan perai kepada PSY itu, sesungguhnya kamu telah melakukan satu kesalahan yang dahsyat, sehinggakan anak-anak remaja terikut-ikut rentaknya.
Wahai kamu, tanggunglah segala dosa yang telah kamu lakukan itu. Kami tahu, kamu ada wang dan pangkat, tetapi ingatlah bahawa kesemua yang kamu miliki itu bukannya untuk memusnahkan zuriat anak Adam. Kamu perlu sedar, bahawa segala kesalahan yang kamu lakukan ini akan dikenang sepanjang zaman.
Usahlah berselidung di sebalik kerja amal, kononnya ingin meraih hati anak-anak muda agar meyokong kamu, sedangkan apa yang kamu lakukan adalah untuk menjahanamkan masa depan mereka.
Oleh itu, maka tidak hairanlah jika tanah Cameron itu telah diusahakan dengan titisan peluh dan jerih payah orang Cina. Disebabkan kita bangsa Melayu sedang asyik berhibur dan bergurau senda di anjung, lalu membiarkan lauk dapur diratah orang. Walhal, berhibur itu bukanlah budaya asal orang kita. Orang Melayu, mak ayah dan datuk nenek kita dahulu asalnya rajin-rajin, suka berkebun dan bertani.
Sesiapa yang mencari kemuliaan manusia dengan kecelaan Allah S.W.T, maka akan memperolehi kemurkaan Allah S.W.T. Dari itu, marilah kita mengejar kemuliaan Allah meskipun dicela dan dikeji oleh para pencaci.
Majulah negaraku, hiduplah bangsaku...bersama Islam yang terpimpin.
No comments:
Post a Comment