Sudah menjadi lumrah bagi setiap pasangan yang berumahtangga inginkan anak sebagai penyeri kebahagian hidup berumahtangga. Meskipun betapa peritnya sewaktu mengandung, betapa sukarnya semasa bersalin, namun semuanya itu bagaikan angin lalu apabila terdengar tangisan si anak kecil yang dahagakan pelukan si ibu dan dakapan si bapa.
Dugaan Ilahi
Tanpa dinafikan, terdapat juga pasangan yang terpaksa menempuh dugaan Ilahi tanpa dikurniakan zuriat untuk bermanja dan anak untuk beramah mesra. Usaha dan ikhtiar dilupa jauh sekali. Namun, apakan daya, semuanya itu menempuh jalan buntu. Sedangkan, niat di hati sentiasa menyegar, hasrat di sanubari mekar tak terperi.
Bagi mengelak situasi sedemikian daripada berterusan, maka Islam telah memberi laluan dengan menyediakan satu pelan penyelesaian bagi permasalahan yang dihadapi dengan mengambil anak angkat.
Meskipun begitu, hubungan kekeluargaan tetap ada batasan dan halangan, apatah lagi sekiranya anak tersebut telah membesar dan mencecah usia baligh. Halangan aurat dan berbual bicara pula mengongkong kebebasan di dalam rumah sendiri.
Tawaran
Sekali lagi, Islam menawarkan peluang untuk pasangan tersebut menerusi kaedah penyusuan. Si siteri yang tidak memiliki anak tadi akan menyusukan anak angkatnya dalam tempoh tertentu, sehinggalah anak angkatnya itu diangkat semacam anak kandung sendiri. Ini termasuklah pergaulan, bual bicara dan sebagainya adalah diharuskan. Seandainya si isteri tadi dikurniakan zuriat, maka anak angkatnya itu pula telah dikira sebagai adik beradik susuan.
Batasan Syariat
Namun begitu, syariat telah membataskan syarat-syarat tertentu sebagai panduan kepada pasangan yang berhasrat mengambil anak angkat. Padahal anak tersebut bukanlah terdiri daripada sanak saudara masing-masing.
Perhatikan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Nisa’ (4 : 23):
... ãNà6çF»yg¨Bé&ur ûÓÉL»©9$# öNä3oY÷è|Êör& Nà6è?ºuqyzr&ur ÆÏiB Ïpyè»|ʧ9$#... ÇËÌÈ
Ertinya : “(Diharamkan atas kamu mengawini) … ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan…”.
Anak Susuan
Ayat ini menjelaskan bahawa hukum bagi anak susuan adalah sama dengan hukum bagi anak sendiri (keturunan) sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi s.a.w. :
"يَحْرُمُ مِن الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِن النَّسَبِ". (متفق عليه)
Bermaksud : “Apa yang اharam sebab keturunan, maka itu juga haram sebab penyusuan”.
Jumlah Penyusuan
Terdapat dua hadis yang membicarakan mengenai jumlah penyusuan yang melayakkan bayi tersebut dipanggil anak susuan.
Hadis pertama yang diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah r.a., katanya :
قَالَت : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلّى اللهُ عَليهِ وَسَلَّمَ : "لا تُحَرِّمُ الـمَصَّةُ وَالـمَصَّتاَنِ". (أخْرَجَه مُسلِمٌ)
Bermaksud : “Satu atau dua kali isapan itu tidak boleh menjadikan mahram”.
Tiga Kali – Mazhab Zohiri
Hadis ini menunjukkan bahawa satu atau dua kali isapan susu tidak dikira sebagai anak susuan. Berdasarkan hadis ini juga, para ulama’ telah mensyaratkan seseorang bayi itu hendaklah menyusu tiga kali atau lebih baharulah dikira sebagai anak susuan. Pendapat ini telah dipelopori oleh mazhab Daud al-Zohiri yang berhujjah menerusi maksud tersirat (mafhum mukhalafah). Nas menyebut dua kali tidak layak menjadi anak susuan, maka menyusu tiga kali dan ke atas adalah layak. Ini yang dikatakan sebagai maksud tersirat tersebut.
Lima Kali – Mazhab Syafie
Namun begitu, menurut mazhab kita al-Syafie dan diikuti juga mazhab Hambali mensyaratkan sebanyak lima kali susuan baharulah dikira sebagai anak susuan. Mereka pula berdalilkan hadis yang juga diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah r.a., katanya :
"كَانَ فيمَا أُنْزِلَ مِن القُرءانِ : عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ، ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ، فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلّى اللهُ عَليهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ فِيمَا يُقْرَأُ ِمن القُرءانِ". (رَوَاهُ مُسلِمٌ )
Bermaksud : “Pada permulaanya ayat al-Quran diturunkan menyatakan bahawa untuk menjadikan mahram itu ialah sepuluh kali susuan yang diketahui. Kemudian ianya dibatalkan dengan hanya lima kali susuan yang diketahui sehinggalah Rasulullah s.a.w. wafat dan hal itu berlaku sebagaimana ayat al-Quran dibaca”.
Hadis ini menunjukkan secara jelas iaitu dengan hanya lima kali susuan, maka bayi itu telah dikira sebagai anak susuan. Sekaligus mengambil hukum sebagaimana hukum anak kandung sendiri. Lima kali susuan adalah bermaksud lima kali kenyang dalam majlis yang berbeza. Adalah dikira hanya satu kali kenyang sekiranya bayi tersebut menyusu lalu tersedak atau terbersin ataupun juga terkeluar puting susu tersebut, lalu disambungnya kembali penyusuan itu, maka ianya tetap dikira hanya satu kali susuan sahaja.
Kaedah Usul Fiqh
Dari sudut ilmu usul, berpegang kepada makna tersurat (mantuq) adalah lebih diutamakan daripada berpegang kepada makna tersirat (mafhum). Oleh itu, mazhab kita al-Syafie dan jumhur ulama’ berpegang kepada makna tersurat iaitu lima kali, bukannya tiga kali.
Dua Tahun – Jumhur Ulama’
Mari kita perhatikan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah (2:233):
* ßNºt$Î!ºuqø9$#ur z`÷èÅÊöã £`èdy»s9÷rr& Èû÷,s!öqym Èû÷ün=ÏB%x. ... ÇËÌÌÈ
Ertinya : “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh…”
Menurut pendapat jumhur ulama’ bahawa umur bayi itu hendaklah tidak melebihi daripada dua tahun. Ayat ini diperkuatkan lagi menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a., katanya :
"لا رَضَاعَ إلاّ فِي الـحَولَيْنِ". (رواه الدارقطني وابن عدي مرفوعا وموقوفا ورجحا الموقوف)
Bermaksud : “Tidak ada susuan (yang mengharamkan) melainkan dalam usia dua tahun”. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruqutni dan Ibn ‘Adi secara marfu’ dan mauquf, tetapi mereka berdua lebih yakin hadis ini mauquf).
Anak Angkat = Anak Kandung
Justeru, anak angkat yang disusukan sebanyak lima kali kenyang ini akan mengambil hukum sebagaimana anak kandung sendiri dari sudut larangan bernikah kahwin sesama mereka, keharusan melihat aurat ringan, dibenarkan berdua-duaan dan juga di kala bermusafir. Namun begitu, hukum mewarisi harta, tanggungjawab memelihara dan memberi nafkah adalah tidak diwajibkan sebagaimana yang termaktub bagi anak kandung sendiri.
Meskipun begitu, adalah digalakan kepada si ayah angkat tadi mengunakan budi bicara agar anak angkatnya itu tidaklah berasa tersisih dan terbuang. Hebah (hadiah) diharuskan untuk anak angkat tersebut.
Kesimpulan
Renunglah betapa indahnya Islam yang kita anuti. Tiada lagi agama yang lain setanding dengannya. Marilah kita memujuk jiwa dan meruntun hati untuk melihat keindahan Islam sebagai al-Din yang mampu menapakkan hidup kita menuju kebahagian dunia dan akhirat. Sekaligus menetaskan rasa hiba dan alangkah bertuahnya diri ini dilahirkan sebagai muslim. Seorang muslim yang bernaung di bawah payungan din samawi.
No comments:
Post a Comment