Dari kiri : Sheikh Dr. Farouq Hamadah, ust Nawi dan ust Zainuddin |
Sebaik sahaja kewafatan nabi saw, bermulalah era para sahabat ra meriwayatkan antara satu sama lain tentang apa yang telah mereka perolehi daripada nabi saw. Jajaran ini pula diikut jejak oleh para tabi’an dan mereka yang datang selepas mereka.
Situasi guru ke murid ini berlanjutan sehinggalah timbulnya budaya fitnah memfitnah antara mazhab, kemunculan pelbagai mazhab tiruan, yang membuka ruang periwayatan hadis secara palsu dan disandarkan pula kepada nabi saw.
Fenomena ini membawa kepada munculnya ilmu al-jarah wa al-ta’dil yang memberi penelitian kepada penyampai sesuatu hadis itu. Seandainya seorang perawi itu cuba meriwayatkan sesuatu hadis, walhal peribadinya tidaklah pula dikenali dalam kalangan para ulama hadis, maka hadis tersebut tidak diterima pakai. Para muhaddisin hanya memperuntukkan kepada seorang perawi yang thiqah (boleh dipercayai) dan adil dalam melakukan periwayatan tersebut.
فقد روى الإمام مسلم في مقدمة صحيحه عن ابن سيرين رحمه الله قوله : " لم يكونوا يسألون عن الإسناد فلما وقعت الفتنة قالوا : سموا لنا رجالكم ، فيُنْظَرُ إلى أهل السنة فيُؤْخذ حديثُهم ، ويُنْظَر إلى أهل البدعة فلا يؤخذ حديثهم " .
Bermaksud : Diriwayatkan daripada imam Muslim dalam muqaddimah sahihnya dari Ibn Sirin, katanya : Pada mulanya mereka (para muhaddisin) tidak bertanyakan tentang siapa yang meriwayatkan, namun apabila timbulnya fenomena fitnah, lantas mereka berkata : Namakan siapakah guru kamu, jika dilihat gurunya itu dari ahli sunnah, lalu diterima pakai, sebaliknya jika gurunya itu dari kalangan ahli bid’ah, lalu ditolak.
Abu ‘Aliah menceritakan apabila fenomena pendustaan terhadap hadis nabi saw telah berleluasa, “Kami tidak akan menerima periwayatan hadis di Basrah, sehinggalah kami mendengar sendiri dari mulut ahli Madinah”.
يقول أبو العالية : " كنا نسمع الرواية بالبصرة عن أصحاب رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فلا نرضى حتى نركب إلى المدينة فنسمعها من أفواههم " .
Justeru, proses penyampaian maklumat daripada mereka yang kita kenali telah dipraktikkan semenjak dahulu lagi, khususnya dalam meriwayatkan sesebuah hadis nabi saw.
Abu ‘Ali ada menyebut, “Bahawa Allah swt telah memberi keistimewaan kepada ummah ini yang tidak pula diberikan kepada ummah yang terdahulu, iaitu isnad (periwayatan), ansab (keturunan) dan i’rab (keterangan)”.
قال أبو على الجياني : "خص الله تعالى هذه الأمة بثلاثة أشياء لم يُعْطِها مَنْ قَبْلها، الإسناد، والأنساب، والإعراب ".
Menerusi jalan isnad ini, mampu memberikan kita ruang bagi mengenalpasti sesebuah hadis itu benar-benar datangnya daripada nabi saw, mengenali para perawi hadis secara lebih dekat, mengkategorikan sesebuah hadis itu dalam tahap sahih, hasan, dhaif atau maudhu’ dan sebagainya.
Sekaligus mampu menyangkal kelompok yang beria-ia dan mengada-ngadakan sesuatu yang pada hakikatnya bukanlah datang daripada nabi saw.
Ibn Mubarak ada menyebut, “Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, jika tiada isnad, maka akan berkata sesiapa sahaja apa-apa sahaja”.
قال عبد الله بن المبارك : " الإسناد عندي من الدين ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء".
Telah berkata al-Auzai’e, “ Ilmu akan hilang dengan hilangnya isnad”.
وقال الأوزاعي : "ما ذهاب العلم إلا ذهاب الإسناد".
Antara kitab yang memperihalkan isnad ialah :
ومن أشهر هذه المسانيد، مسند معمر بن راشد (152هـ )، ومسند الطيالسي (204هـ )، ومسند الحميدي ( 219هـ )، ومسند أحمد بن حنبل ( 241هـ )، ومسند الشافعي (204هـ )، وغيرها من كتب المسانيد.
Kesemuanya ini menunjukkan peri pentingnya menjaga agama agar ianya tidak dicemari dengan pelbagai unsur luaran yang mampu merosakkan kesucian agama ini.
Amalan ini bolehlah kita aplikasikan dalam kehidupan harian kita agar lebih berhati-hati untuk menerima sesuatu ilmu dan ajaran agar kita sentiasa diberikan bimbingan dan perlindungan Allah swt. Lantaran itulah, para ulama kita memberi ingatan agar sentiasa memilih guru yang murshid bagi memberi tunjuk ajar ke jalan kebenaran.
No comments:
Post a Comment