Sunday, August 5, 2012

SEHARI SEHADIS (Hadis Ke-17)

 BAIKNYA HATI NABI SAW DI BULAN PUASA

17-وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا : كَانَ رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْءانَ، فَلَرُسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أجْوَدُ بِالـخَيْرِ مِنَ الرِّيْحِ الـمُرْسَلَةِ. رَوَاهُ البُخَارِيُّ.
Bermaksud : “Nabi saw adalah sebaik-baik manusia, terutamanya apabila tiba bulan Ramadhan ketika bertemu Jibril as. Baginda saw bertemu Jibril as pada setiap malam pada bulan Ramadhan lalu bertadaarus al-Quran. Dan adalah Nabi saw sebaik-baik manusia dalam hal-hal kebajikan melebihi angin yang bertiup”.
Para ulama hadis bersepakat bahawa sanad hadis ini adalah sahih, iaitu tiada ‘illah pada perawi dan matannya.
Hadis ini menunjukkan kepada kita dua perkara utama yang dituntut ke atas orang yang berpuasa untuk melakukannya.
Pertama : Membentuk diri menjadikan orang yang terbaik. Diceritakan oleh Anas ra, bahawa nabi saw adalah : ( أحسن الناس وأجود الناس وأشجع الناس )
Baik hati nabi saw ini dapat dilihat dalam banyak situasi, antaranya apa yang diceritakan oleh Imam Muslim dari hadis Jabir ra bahawa seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw memintakan sesuatu, lalu nabi saw menyempurnakan hajat beliau, lalu orang lelaki tersebut memuji nabi saw dengan katanya :
( يا قوم، أسلموا فأن محمدا يعطي عطاء من لا يخشى الفاقة )
Kedua : Memperbanyakkan membaca al-Quran. Nabi saw bersama Jibril as pada setiap Ramadhan akan bertadaarus, dan pada tahun terakhir sebelum kewafatan baginda saw, nabi saw bertadaarus sebanyak dua kali pada bulan tersebut.
Kata Imam al-Nawawi : Hikmat dianjurkan agar memperbanyakkan tadaarus kerana dengan membaca al-Quran akan mempertingkatkan lagi baik hati seseorang itu. Tambahan pula ianya dilakukan pada bulan Ramadhan yang sudah pasti ganjarannya berlipat kali ganda.
Sama-samalah kita pertingkatkan amalan kita pada bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

No comments:

Post a Comment