Tuesday, December 6, 2011

Halangan Hijrah



(Gambar Masjid Quba') Malam tadi saya berkuliah hadis di Dataran Hamas, Jasin, Melaka. Antara hadis yang sempat dikupas dari kitab Bulughul Maram, ialah :
وعن سراقة بن مالك رضي الله عنه قال : علمنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في الخلاء أن نقعد على اليسرى وننصب اليمنى. (رواه البيهقي بسند ضعيف)
Yang bermaksud : Dari Suraqah bin Malik ra. beliau berkata : Rasulullah saw. telah mengajarkan kami tata cara berada di bilik semasa membuang air agar duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan.

Untuk perkongsian ilmu, bahawa kita masih segar dalam ingatan semasa penghijrahan Rasulullah saw bersama saidina Abu Bakar terhadap janji Musyrikin Arab dengan 100 ekor unta bagi sesiapa sahaja yang mampu menangkap nabi saw. Maka, Suraqah (perawi hadis ini) salah seorang pemuda yang bersasa badannya telah menyahut tawaran tersebut lantas mengejar jejak tapak nabi saw. Beliau berjaya mengesan pergerakan nabi saw dan berusaha daya upaya untuk menangkap nabi saw. tetapi apakan daya kuasa dan urusan Allah lebih ampuh menyehinggakan beliau tersungkur dek kaki kudanya sudah terpelecok.

Rasulullah saw menghampirinya, beliau pula merayu agar nabi saw tidak mengapa-apakannya lantaran hasratnya demi 100 ekor unta. Maka nabi saw telah mengikat beliau dengan sebuah janji agar berpegang kepada amanah untuk tidak menghalang gerakan Islam yang sedang tersebar.

Janji tersebut telah dikotakan Suraqah selepas beberapa tempoh. Belaiu telah mendatangi Rasulullah saw dan telah menawarkan diri untuk memeluk Islam. Tawaran itu diterima junjungan saw. Namun hayatnya bersama nabi saw tidak berpanjangan sekadar sekelumit jua dan nabi saw telah dijemput bertemu Allah Rabbul Jalil.

Sesalan demi sesalan yang menyebak dada Suraqah lantaran kelewatan beliau memeluk Islam untuk berjuang bersama nabi saw. Beliau masih terkenang kisah lampau. Kisah yang menjanjikan 100 ekor unta sebagai ganjaran penangkapan nabi saw. Namun kini, baginya tiada bernilai apa-apa walaupun dengan secebis kuku nabi saw.

Tuan-tuan, sorotan ini menjadi renungan bersama, khususnya masa kini, dengan hanya secebis jawatan maka Islam tergadai. Hanya sekangkang tanah, agama terabai. Cuma semanis janji, akhlak kita tercalar. renung-renunglah bagi kebaikan bersama sementara bulan hijrah masih ada.

No comments:

Post a Comment