Friday, December 30, 2011

Ust. Mad Dalam Kenangan...Al-Fatihah



Memang sukar bagi sesiapa sahaja untuk kehilangan orang tersayang. Lebih-lebih lagi, jika orang tersebut terlalu banyak menabur jasa bakti yang sukar untuk dibalas dan diganjarkan dengan apa bentuk mata benda yang ada.

Orang yang saya maksudkan itu adalah al-marhum YB. Dr. Ust. Muhammad Md Daud yang telah pergi buat selama-lamanya tanggal 24 Disember 2011, jam 12.55 malam di kediaman beliau, Kampung Perangkap, Bunut Susu, Tendong, Pasir Mas, Kelantan ketika usia beliau mencecah 64 tahun.

Setelah menabur ilmu dan jasa sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau tetap menghidupkan budaya curahan ilmu tadi di masjid-masjid di negeri Selangor, termasuklah di surau Saujana Impian yang terletak bersebelahan dengan taman perumahan yang saya berada, teramat kagum saya dengan pencapaian ilmu yang beliau miliki, namun kini beliau sudah berpindah ke alam yang pasti lagi baqa', alam Akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Semasa menjawat amanah selaku wakil rakyat kawasan Tendong yang dirampasnya dalam pilihan raya 2008 (majoriti 1,657 undi), mengalahkan calon BN, Fauzi Mamat, beliau tetap meneruskan budaya pencerahan minda menerusi kuliah-kuliah agama. Salah satu daripada sesi kuliah beliau ialah di surau yang berada bersebelahan rumahnya (gambar atas) pada setiap pagi Sabtu. Menurut isterinya (Kak Dah), ust Mad macam tahu-tahu bahawa beliau akan 'pergi', maka beliau telah menugaskan anak keduanya (Abg. Ngah) untuk mengambil alih kuliah pagi Sabtunya itu.

Sebetulnya, pada pagi tadi saya ada terbaca tulisan Salmah Mat Husain (Harakah : 5-7 Safar 1433, lmn. N16) yang bertajuk :'Hilangnya Sebutir Permata di Pasir Mas'. Bagi diri saya sendiri, al-marhum ust Mad bukan hanya sekadar di Pasir Mas kita kehilangan permata itu, tetapi sebaliknya bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu.

Renunglah tuan-tuan, makin hari ke hari, ulama' yang berwibawa makin susut, saya bimbang akan tiba saatnya nanti ulama' seakhlak ust Mad bertambah kurang. Manakala ulama' yang ada dua tiga kerat ini pula sering dicemuh dan dicula...yang tinggal hanya mereka yang berwatak ulama' celupan sahaja.

Bayangkan tuan-tuan, pada masa itu, ke manakah hala tuju dan gantung harap kita? Sudikah kita bernaung di bawah ulama' celupan yang bercakap siang pandang-pandang, bertutur malam dengar-dengar? Sanggupkah kita berguru dengan ulama' celupan ini yang hanya memberi sekangkang kera dan merampas sekandang lembu? Patutkah pula kita berwala' kepada ulama' celupan seumpama ini yang memegang amanah di songkok, tetapi menodainya sesuka hati perutnya.

Marilah kita merebut peluang sementara ianya masih ada untuk memartabatkan para ilmuan sejajar dengan pesanan Ilahi bahawa orang-orang yang berilmu akan didarjatkan Allah dengan beberapa darjat yang mulia. al-Fatihah untuk al-marhum ust. Mad...semoga jasa-jasa ilmuan beliau mengalirkan pahala yang tak akan putus-putus.

No comments:

Post a Comment