Baharu sahaja pulang dari Ipoh bersama keluarga dan ust Din selepas menunaikan hajat sahabat saya Hazriq sekeluarga untuk bertahlil sempena kembalinya arwah ayahandanya yang tercinta.
Ketibaan kami tepat jam 10 45 pagi, dan majlis pula telah dimulakan jam 11 pagi. Ramai jemputan yang hadir bagi berkongsi simpati atas pemergian ayahanda Hazriq sekeluarga. Semoga Hazriq yang kini sebagai ketua keluarga dapat menghadapi tempoh mendatang dengan ketabahan dan kesabaran.
Suasana kehilangan yang amat sukar untuk diungkapkan, namun redupan mata menyaksikan segalanya.
Bagi mereka yang berada di kedudukannya sahaja mampu memahami perasaan tersebut. Saya ada sedikit pengalaman peribadi ketika saya kehilangan bapa seusia lapan tahun.
Rasanya tirai kehidupan tertutup rapat. Masa depan menjadi malap bertukar gelap.
Pada masa yang gentir itu, kita tidak dapat berfikir secara waras dan hanya titisan air mata sahaja yang mampu menceritakan segalanya.
Benarlah apabila Islam mengganjarkan pahala yang amat besar bagi mereka yang mengusap kepala anak yatim, apatah lagi membantunya serta memberi perlindungan dan motivasi agar dapat meneruskan kehidupan sebagai insan hamba Ilahi.
Saya sekali lagi mendoakan Hazriq agar dapat menguatkan semangat dengan penuh ketabahan beserta kesabaran bagi meneruskan misi kehidupan yang ayahandanya tinggalkan.
Inilah kehidupan
ada kematian
sebagai permulaan
dalam perjalanan
yang tiada ketepian.
Amalkan al-Fatihah
alunkan Yaasin
wiridkan tahlil
itulah pendampingan
di kala kesusahan.
Saya sekali lagi mendoakan arwah Abg Hasan agar tenang di sana sementara menanti janji Tuhan kepada mereka yang beramal solehan.
No comments:
Post a Comment