Sunday, September 23, 2012

Isu Tahlil

Semalam setelah selesai saya mengetuai bacaan tahlil, saya ditanyakan oleh seorang yang hadir dalam majlis tersebut mengenai kedudukan tahlil.

Katanya persoalan ini tercetus lantaran jawapan daripada seorang ustaz yang tersohor mengatakan bahawa pegangan kita berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Mana-mana yang tiada bersumberkan kedua-dua ini, maka tidaklah menjadi kewajipan ke atas kita untuk beramal dengannya.

Tambah ustaz itu lagi, bagi saya, kalau dijemput bertahlil, maka saya lakukanlah. Namun, jika saya ingin lakukan secara sendirian, maka saya tidak akan lakukan.

Ulasan saya begini.

Pertama sekali saya tiada hasrat untuk mengomen ustaz tersebut, apatah lagi mengkritiknya. Ianya sekadar perkongsian ilmu.

Saya teramat bersetuju dengan beliau mengenai pegangan kita hanya berasaskan al-Quran dan al-Hadis. Cuma terkadang dan selalunya kita tiada berkeupayaan untuk berbuat demikian, dek kelemahan bahasa Arab kita, ketidak-mampuan kita untuk menguasai kaedah Usul Fiqh, ketidak-dayaan kita mengharungi perbahasan mendalam dalam sesuatu isu dari sudut hukum aqli dan naqlinya.

Usah dikatakan ilmu usul, hatta ulum yang berkaitan dengan al-Quran sendiripun masih belum ditamatkan secara berguru.  Asababul Nuzul, Tafsir al-Ahkam, Tafsir bil-Ra’yi, Tafsir Ma’thur, Nasakh Mansukh dan seumpamanya yang kebanyakan kita belum tamat secara sempurna lagi. Dari kecil ke tua, sibuk memfokuskan diri pada ilmu Tajweed sehingga tiada ruang untuk ulum yang lain.

Belum dicampurkan lagi dengan pecahan ulum al-Hadis, dari segi dirayahnya dan riwayahnya pun masih kita gagal menjejaki tapak laluan para ulama silam.

Andaikan begitu halnya, bermakna pegangan kita kepada al-Quran dan al-Hadis itu saya umpamakan sebagai memetik buah petai.  Bukannya senang untuk mengambil buah petai tersebut. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi memanjat, menjulur, memberanikan diri dan sanggup pula merisikokan nyawa demi segugus petai yang dicita.

Memang berulamkan petai membuka selera makan tengahari. Pada masa itu, kita telah terhidang di depan mata. Ambil 5 minit merenung sekejap betapa penat dan lelahnya para perungkas (pemanjat) petai sehinggakan sanggup menggadai nyawa untuk menatijahkan petai di meja makan.

Baik, kembali balik kepada perbahasan kita.

Isu tahlil adalah isu lama. Namun ia terkadang dikelirukan balik oleh sesetengan orang dengan katanya dialah lebih arif dari ulama silam yang menyediakan laluan untuk berbakti pada si mati.

Rujuk surah al-Hasyr (59:10) :
"..ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان .."
Yang bermaksud : “Ya Rabb, berilah keampunan kepada kami dan saudar-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu…”.

Bukankah jelas al-Quran mengajar kita agar berdoa bagi pihak rakan-rakan kita supaya diampunkan dosa?!

Cuma terkadang kita terlupakan diri sendiri apabila kita menghadiahkan al-Fatihah kepada arwah si mati. Dari itu, al-Quran memandu arah agar kita juga diampun Ilahi sebagaimana Allah swt mengampunkan si mati.

Manakala dalam hadis pula terang-terangan mennyatakan apabila meninggalnya seseorang anak Adsa, maka terputuslah pahalan amalannya kecuali tiga perkara : Antaranya ialah doa daripada seorang anak yang soleh.

عن أبي هريرة (ض) أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : "إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له". (رواه مسلم)
Berdasarkan dalil daripada al-Quran dan al-Hadis tadi dapatlah disimpulkan bahawa berdoa kepada arwah si mati adalah dibolehkan dan dibenarkan. Bahkan amalan ini adalah merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis.

Adapun tahlil pula, Nabi saw menjelaskan dalam sebuah hadis lain :


عن أبي هريرة (ض) قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "كلمتان خفيفتان على اللسان ثقيلتان على الميزان حبيبتان إلى الرحمن (سبحان الله وبحمده ، سبحان الله العظيم)"

Dalam hadis lain menerangkan sesiapa yang menyebut kata-kata syahadah akan masuk syurga.
هناك أحاديث تدل على من قال : لا إله إلا الله صدقا من قلبه دخل الجنة". (أخرجه أبو يعلى في مسنده)

Kita juga disuruh untuk berselawat ke atas Junjungan saw sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Ahzab (33:56) :

"إن الله وملائكته يصلون على النبي يأيها الذين آمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما".
Yang bermaksud : “Sesungguhnya Allag dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi saw, hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi saw dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.

Ringkasnya, apa yang disusun para ulama kita yang silam adalah berdasarkan al-Quran dan al-Hadis dengan tujuan memberi kemudahan kepada kita untuk menyusurinya.

Dalam ungkapan lain, bertahlil adalah juga berdasarkan al-Quran dan al-Hadis daripada Nabi saw.  

والله أعلم


No comments:

Post a Comment