==================== Sisipan Minda =====================
Semalam (20.09.2012), Malaysiakini ada melaporkan dakwaan bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah orang terkaya di Malaysia.Laporan itu memetik data yang dikeluarkan oleh NGO yang berpangkalan di Switzerland Bruno Manser Fund (BMF) menganggarkan aset keluarga Taib sebanyak AS$21 bilion (RM64 bilion). Manakala kekayaan Taib sahaja dianggarkan sebanyak AS$15 bilion (RM46 bilion), sekaligus menjadikannya lelaki terkaya di Malaysia.
Seandainya benar apa yang dituturkan, maka bersyukurlah kehadrat Ilahi yang telah memilih orang Islam berbangsa Melayu menjadi orang yang paling kaya di Malaysia. Marilah kita bersama-sama mengikut jejak langkahnya untuk menjadi rakan sekayanya.
Sebelum itu, mari kita memahami angka 1 bilion ini.
Ini adalah 0
tak dapat beli apa-apa
yang ini pula 10
dapat beli topup celcom
tambah dua kosong jadi 100
kalau tiga kosong sama dengan 1000
dapatlah bayar deposit rumah taman
1,000,000 ini satu juta
dapat beli rumah dua tingkat di Shah Alam
1,000,000,000 ini adalah satu billion
kalau 5 bilion dapat bina menara KLCC
jika 64 bilion
12 buah menara KLCC terbina
mari kita banding
rumah rakyat biasa
berstatus sederhana 200,000
kos 1 juta
menyelamatkan 5 keluarga sederhana
daripada bergelumang dengan hutang
kos 1 bilion pula
menyelamatkan 5 ribu keluarga sederhana
jika 64 bilion
mampu menampung lebih 300 ribu keluarga
dengan kos sebanyak itu juga
mampu mengurus negeri Selangor
selama 50 tahun menggunakan duit sakunya
Bajet 2011 kerajaan kita ialah 212 bilion
bermakna 4 bulan pertama negara kita boleh diuruskan dari poket seorang ketua menteri
Persoalannya, mengapa kita suka menjadi kaya dan terimpikan kekayaan ?
Sudah pasti kekayaan itu berkait rapat dengan kekuasaan, pangkat dan darjat. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah (2:247) :
"ونحن أحق بالملك منه ولم يؤت سعة من المال.."
Yang bermaksud : “Dan kami adalah lebih berhak dilantik memegang kekuasaan (raja) berbanding dia (Talut) kerana beliau tidak memiliki harta yang cukup banyak”.
Bedasarkan kehendak nafsu yang kesemua kita tidak akan terlepas darinya kecuali mereka yang telah dikikis bersih daripada godaan tersebut. Firman Allah swt dalam surah Yusuf (12:53) :
"إن النفس لأمارة بالسوء إلا ما رحم ربي.."
Yang bermaksud : “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi-rahmatkan oleh Tuhanku”.
Tanpa menafikan bahawa kita berhajatkan kepada kekayaan sepertimana yang diungkapkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi (فقه أولويات ) sekadar mencukupkan kehendak kehidupan, dan jika terlebih ianya akan membawa kepada kemudharatan seumpama mudharatnya ratahan seekor serigala yang lapar ke atas kambing-kambing yang tiada bertuan.
Lihatlah watak mereka yang merasakan harta adalah segala-galanya sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Naml (27:36) :
"فلما جاء سليمان قال أتمدونن بمال.."
Yang bermaksud : “Maka tatkala utusan itu sampai kepada nabi Sulaiman lalu nabi Sulaiman berkata : “Apakah (patut) kamu menyuapkan aku dengan harta?”
Justeru, Nabi kita saw sentiasa mengingatkan kita agar berhati-hati dengan pangkat dan darjat, agar kita tidak mengayakan diri kita tanpa mengindahkan rakyat jelata. Sabdanya Nabi saw :
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ، عَنْ سَعِيدٍ الْمَقْبُرِيِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :"إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتْ الْفَاطِمَةُ". (صحيح البخاري)
Yang bermaksud : “Sesungguhnya kamu berusaha (berhasrat) menjadi pemimpin, padahal ia akan menjadikan kamu menyesal pada hari Qiamat kelak, sebaik-baik orang menyusu dan seburuk-buruk orang yang terpisah susu(kiasan)”.
Nabi saw mengumpamakan orang yang cintakan pangkat dan darjat bagaikan seorang bayi yang begitu asyik menyusu susu ibunya dengan memperolehi kenikmatan sementara, dan nanti apabila telah terpisah kelak (mati) maka hilanglah segala-galanya.
Dari itu, orang yang bijak ialah mereka yang memberi fokus kepada kenikmatan yang kekal abadi berbanding kenikmatan seketika yang sudah pasti kelak akan ditinggalkan jua.
Jika diamati dengan mata hati, harta yang kita timbunkan itu adalah bukannya milik kita secara mutlak. Ia akan diwariskan daripada seorang ayah kepada anaknya untuk disampaikan kepada cucunya lalu dimiliki oleh cicitnya. Begitulah seterusnya. Akhirnya nanti, Allah swt jua pemilik segalanya. Firman Allah swt dalam surah AliImran (3:180) :
"ولله ميراث السماوات والأرض.."
Yang bermaksud : “Dan bagi Allah swt jualah Pemilik khazanah petala langit dan bumi..”
Jika situasi ini menyedarkan kita, sudah pasti kita tidak akan mendabik dada menongkat langit untuk menyatakan bahawa : “Harta ini aku yang punya”.
Firman Allah swt lagi dalam surah Al-Nur (24:33) :
"..وآتوهم من مال الله الذي آتاكم.."
Yang bermaksud : “..dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta milik Allah yang dikurniakan-Nya kepada kamu..”
Rentetan itu, marilah kita menjadi seorang yang kaya lagi dermawan. Marilah juga kita bermohon kehadhrat Ilahi agar menjauhkan diri kita dari kelompok yang telah dikayakan Allah sebagai umpan ( استدراج ) di mata kail, kelak nanti harta yang terhimpun itu memakan diri sendiri. Spesies ini tidak akan sedar sehinggalah mereka dibawa ke tanah perkuburan yang hanya berselimutkan kain kafan dan keranda.
Semoga Allah swt menyelamatkan kita semua.
No comments:
Post a Comment