Sinarharian (15/3/2013) |
Akhbar Sinar Harian hari ini (15/3/13) melaporkan bahawa seorang guru telah ditahan atas tulisan beliau di facebook yang dikatakan menghina anggota keselamatan yang gugur dalam misi mempertahankan negara di Lahad Datu.
Sebagai guru, saya amat bersetuju agar beliau disiasat atas tindakan tersebut. Andainya benar beliau berbuat demikian, jatuhkanlah ke atas beliau hukuman yang setimpal demi kedaulatan bangsa dan negara.
Saya juga mengharapkan agar isu ini disiasat secara mendalam tanpa sebarang prejudis terhadap golongan pendidik. Saya bimbang seandainya cebisan gambar gajah dipotretkan lalu ditanya, “Apakah gambar ini?”. Pasti ramai yang sukar untuk menjawabnya lantaran cebisan gambar itu tidak memperihalkan tubuh binatang itu secara keseluruhannya.
Situasi seumpama inilah yang sering dibiak-suburkan agar kita sering bertelingkah, yang mana satukah jawapannya yang betul?
Dari itu, maklumat yang betul lagi benar adalah menjadi prasyarat untuk kita memberikan sebarang nilai hukum ke atas seseorang berdasarkan isu yang diketengahkan.
Suatu peristiwa semasa saya bertugas di Sabah, salah seorang sahabat saya telah ‘disugip’ atas kesalahan beliau mengaibkan rakan sekerja (kata mereka). Apabila runding bicara dlakukan, meskipun ianya tidak mengikut prosuder yang betul, kerana prosuder yang sebetulnya hendaklah Mahkamah Anak Negeri yang menjatuhkan hukuman tersebut, namun sahabat saya tadi tetap dijatuhkan hukuman ke atasnya. Rundingan diteruskan sehinggalah timbang tara diadakan kembali, maka kemaafan telah diberikan.
Isu yang ingin saya ketengahkan di sini, betapa kita begitu bersungguh-sungguh mempertahankan maruah diri kita, jangan sekali-kali dicabar dan dicalar, lantaran apa yang kita lakukan itu untuk mendaulatkan negara.
Jika dikaitkan dengan kumpulan kami sebagai pendidik, apabila maruah kami dicabar dan dicalar, maka tiada peruntukkan khusus untuk kami mempertahankan diri. Paling-paling, harapkan Kongres Kesatuan Guru, itupun jika kita mendaftar. Jika tidak, terserahlah kepada nasib si sabut, untung timbul, jika rugi tenggelamlah.
Tidak dinafikan bahawa sesungguhnya kami juga sebagai penabur jasa pengangkat maruah negara. Kami juga dihantar ke luar kota, tambahan pula jika di Sabah. Ada yang ke pulau dan ada yang ke pendalaman. Mandi air sungai, minum air hujan dan makan binatang hutan. Apakah ini bukan sebuah perjuangan?
Saya tetap bersetuju, jika bersalah maka hukuman dikenakan. Namun, sebagai guru, pembelaan terhadap mereka amat tipis, samada dari orang bawahan ataupun juga orang atasan. Ke mana perginya pegawai pelajaran daerah?, Ke mana menghilangnya pegawai pelajaran negeri?
Jika isu tahanan ini dikaitkan dengan seorang remaja yang celupar jarinya, maka saya setuju untuk ditahan tanpa sebarang sokongan dari luar. Namun, apabila perkataan ‘guru’ dilafazkan, maka sudah semestinya ada orang atasan yang menjaga dan mengawal tingkahlaku mereka, bahkan sebarang kata-kata yang hendak ‘dilepaskan’ perlu memperolehi keizinan terlebih dahulu daripada kumpulan atasan.
Wahai penguasa guru, janganlah diabaikan guru ini dalam situasi yang tertekan seumpama ini. Bagi saya, pihak jabatan pelajaran berhak berunding dan jika dapat ianya diselesaikan di peringkat jabatan pelajaran sahaja. Usahlah dikecohkan ke seluruh pelusuk desa agar semua guru tahu, jangan sesuka hati berbicara, kerana kamu sedang diperhatikan.
Marilah kita cuba memahami tugas guru yang sememangnya mencabar. Cabaran berhadapan dengan anak murid, itu telah menjadi kebiasaan dan in sya Allah mampu untuk diatasi. Namun cabaran dengan kumpulan atasan, itu yang kekadang melemahkan bagi sesetengah guru yang tidak memiliki daya ketahanan yang tinggi.
Sebagai guru, kita tidakpun sibuk untuk mengambil kesempatan di dada-dada akhbar bahawa hari ini seorang guru telah berjaya masuk ke kelas, dan dapat pula mengawal kelas serta mengajar para pelajar. Kita sebagai guru tidak hebohpun mengenai hal sedemikian. Jika dibuat, nanti dikata orang, “kita telah buang tabiat”, “dah nak mati apa cikgu ni”. Tidak, tidak…kita tidak lakukan sedemikan. Kalau adapun, cuma pengisytiharan pelajar cemerlang semasa keputusan peperiksaan awam diumumkan. Itu sahaja. Selepas itu, senyap sunyi dari berkata-kata.
Isu guru akan timbul kembali apabila ada sesuatu yang ‘mengaibkan’ mereka, seumpama seorang guru wanita memukul kepala pelajar lelaki dengan kasutnya.
Sebagai guru, kita tidakpun bermohon simpati atau mengharapkan belas ihsan agar jasa kami dikenang.
Tetapi dalam situasi yang lain, sekolahlah yang menjadi sasaran utama untuk sebarang majlis diadakan. Bermula dengan majlis keraian biasa, sehinggalah kepada majlis keraian yang luar biasa. Guru sudah semestinya sebagai ‘gurka’ di sini. Anak murid pula menjadi mangsa kepada majlis tersebut. Kelas terabai, pelajaran terbengkalai.
Itu di sekolah. Manakala di luar sekolah pula, gurulah juga dijemput sebagai meramaikan majlis tersebut. Seandainya guru tidak datang, pastilah majlis itu akan nampak cacatnya. Tambahan pula, jika majlis itu akan dihadiri oleh pembesar negara. Nah, cikgu juga sebagai penyelamat. Meskipun, kehadiran mereka separa paksaan dan sebab ketidakhadiran perlu ditunjukkan.
Persoalannya, adakah serendah itu martabat guru? Dihulukan sesuka hati dan dihilirkan semahu mungkin?
Persoalan lagi, kenapa guru yang semestinya dijadikan peramai majlis, kenapa tidak anggota keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera demi menjaga keselamatan majlis tersebut dari hura dan hara?
Atau sememagnya guru ini mudah dirunding bicara, senang diajak berbual mesra, dipujuk dan diupah tanpa banyak karenah dan fiil kelakuan. Adakah begitu?
Ataupun guru ini sering bertugas di bawah arahan, saya yang ikut perintah, maka jangan disoal dan ikut sahaja apa yang diperintah. Bukannya susahpun, “datang dan duduk sahaja”, kata ketua mereka sambil memujuk.
Ringkasnya, sahabat kita yang ditahan di bawah siasatan polis itu mengundangkan pelbagai persoalan kepada kita. Benarlah dikata orang bahawa setiap sekolah akan ada seorang guru yang menghadapi masalah mental. Antara tanda awalnya, sering bercakap sendirian.
Oleh itu, kita bermohon perlindungan dari Yang Maha Kuasa agar memberi keselamatan kepada kita, negara kita dan anggota keselamatan kita, termasuklah GURU kita, dari segala bahaya dan puaka, di dunia dan akhirat jua. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment