Sengaja saya utarakan tajuk ini memandangkan isu ta’sub dan wala’ ini sering diperkatakan. Biasanya kita mendengar mereka berkata, “Usah ta’asub dengan pemimpin, mari kita berbicara secara ilmiah”. Ada juga yang menyebut, “Aku hanya berwala’ kepada tuan presiden parti sahaja”.
Ungkapan seumpama ini perlu diperjelaskan agar perjuangan dan pengorbanan yang kita taburkan itu berbudi pada sisi Allah S.W.T. Bukannya menyemai benih duri dan rimba, mendatangkan kesulitan dan membawa pula kepada kesakitan.
Istilah ‘asobiyah, wala’, keturunan dan sumpah taat setia masing-masing saling mengait antara satu sama lain. Menurut Ibnu Khaldun dalam Muqaddimahnya, ‘asobiyah itu merujuk kepada kaum kerabat sebelah bapa yang diwarisi si anak. Ini termasuk juga bapa saudara sebelah bapa. Bilangan mereka antara 10 ke 40 orang. Mereka berusaha sepenuh hati menjaga dan mempertahankan puak mereka sedaya mungkin, sehingga sanggup menggadaikan nyawa.
Dalam konteks ‘asobiyah ini, keturunan darah dan pangkat amat dititik beratkan. Mereka menjaga aliran darah dari satu generasi ke satu generasi agar keturunan tersebut kekal dan tidak pupus. Kata Ibnu Khaldun, meskipun dijaga dan dikawal, namun biasanya generasi ke-4 akan berlaku percampuran pada keturunan tersebut.
Adapun wala’ dan sumpah taat setia adalah suatu aqad perjanjian untuk menjamin kesetiaan pada kemenangan dan perlindungan. Ini adalah lebih meluas, tidak semestinya hanya keturunan atau kumpulan tertentu sahaja yang bernaung di bawah sesebuah masyarakat. Samada masyarakat itu secara fitrah terbentuk atau sengaja dibentuk seperti masyarakat membangun dan masyarakat majmuk di negara kita Malaysia.
Berdasarkan ini, maka Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam menangani isu ‘asobiyah seumpama ini. Menurut Lisan ‘Arab, ‘asobiyah itu terjadi apabila salah seorang daripada ahli kaum kerabatnya mempertahankan saudara maranya, samada saudara maranya itu melakukan kezaliman atau dizalimi.
Dari itu Nabi saw. berpesan dalam beberapa hadis, antaranya hadis yang menjelaskan persoalan seorang perempuan apabila bertanyakan nabi saw. tentang seorang lelaki yang berperang atas nama kaumnya :
قلت : يا رسول الله، ما العصبية ؟ قال : أن يعين الرجل قومه على الظلم. رواه أبو داود
Maksudnya : “’Asobiyah apabila seseorang itu menyokong kaumnya yang berlaku zalim”.
Sedangkan dalam Islam, Nabi saw. menyarankan agar kita berpegang kepada simpulan iman.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أوثق عرى الإيمان: الموالاة في الله والمعاداة في الله، والحب في الله والبغض في الله عز وجل. رواه الطبراني وصححه الألباني.
Maksudnya : “Sekuat-kuat simpulan iman ialah : (1) Berwala’ (sumpah taat setia) kepada Allah SWT., (2) bermusuh kerana Allah SWT., (3) berkasih kerana Allah,(4) marah kerana Alllah”.
وقال أيضا صلى الله عليه وسلم: من أحب لله وأبغض لله، وأعطى لله ومنع لله، فقد استكمل الإيمان.
رواه أبو داود، وصححه الألباني.
Maksudnya : “Sesiapa yang (1) suka kerana Allah SWT., (2) marah kerana Allah SWT., (3) menyumbang kerana Allah SWT.,(4) menghalangpun kerana Allah SWT. Maka telah sempurnakan keimanannya”.
وعن البراء بن عازب، قال: كنا جلوساً عند النبي صلى الله عليه وسلم فقال: أي عرى الإسلام أوسط؟ قالوا: الصلاة. قال: حسنة وما هي بها، قالوا: الزكاة، قال: حسنة وما هي بها. قالوا: صيام رمضان. قال: حسن وما هو به. قالوا: الحج، قال: حسن وما هو به. قالوا: الجهاد. قال: حسن وما هو به، قال: إن أوسط عرى الإيمان أن تحب في الله وتبغض في الله. رواه أحمد، وحسنه الألباني بطرقه.
Demikian hebatnya berwala’ yang diiktirafkan oleh Islam, iaitu segala tindakan yang menyokong atau membenci semuanya mengikut perkiraan Allah SWT. Kita menyokong jemaah kita kerana Allah SWT., kita mengajak orang kepada jemaah kita juga kerana Allah SWT., dan kita membenci sesuatu puak lain juga atas dasar perintah kebencian yang disuruh oleh Allah SWT.
Justeru wala’ (sumpah taat setia) kita hanya kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan mereka yang beriman, iaitu mereka yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan rukuk bersama orang-orang yang rukuk.
)إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (المائدة/55
Rukuk bersama dengan rukuk ini dihuraikan panjang lebar oleh para mufassirin, antaranya menyatakan bahawa hendaklah melazimkan diri bersolat jamaah. Dikhususkan rukuk kerana rukuk itu paling susah untuk dilakukan oleh orang-orang jahiliyah di zaman nabi saw.
قال ابن العربي في أحكام القرآن(قول الله تعالى: وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ - البقرة:43) - خص الركوع لأنه كان أثقل عليهم من كل فعل، وقد كان الركوع أثقل شيء على القوم في الجاهلية.
Memetik pengajaran daripada ayat ini, maka menjadi keperluan bagi setiap umat Islam melazimkan diri dalam jemaah islamiyah, agar berhak untuk diberikan wala’ tersebut. Adapun mereka yang tidak mendirikan solat, tidak pula berminat untuk mengeluarkan zakat, dan jauh sekali untuk solat berjemaah, maka tergugurlah wala’ ke atas dirinya. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment