Menurut sejarah orang-orang Arab, terdapat satu kumpulan manusia yang digelar Su’luuk (الصعلوك). Kumpulan ini, kehidupannya merempat di tepi jalan, mengharapkan kasihan belas dari orang dan kadang-kadang jauh daripada itu bertindak ganas dengan merompak dan menyamun bagaikan lanun. Budaya hidup mereka tak ubah seperti binatang buas, bertindak tanpa ada simpati, bahkan sanggup mencederakan atau membunuh jika apa yang mereka hajati itu tidak ditunaikan.
Tindakan ganas mereka ini akan diwariskan kepada anak-anak sehingga terbentuklah satu kumpulan yang digeruni dan ditakuti. kelebihan mereka ialah mempunyai tahap ketahanan diri yang tinggi, mampu bertahan dek kelaparan dan sejuk dek kedinginan padang pasir. Bagi mereka, wujudnya punca air sudah memadai untuk meneruskan talian hayat.
Jika dilihat dari satu sudut lain pula, kumpulan ini boleh dijadikan kawan, dan pada masa yang sama juga boleh bertukar menjadi lawan. Ada ungkapan yang berkata, untuk menangkap penyamun, maka kita perlu menjadi penyamun. Untuk menahan lanun, kita perlulah berkawan dengan lanun. Sejauh mana benar, terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.
Cuma kekadang, dalam proses berteman dan bersahabat dengan kumpulan ini, ada yang terlepas sempadan, yang menjadikan diri mereka lebih lanun daripada lanun yang sebenar.
Dari itu, kita bimbang jika terdapat penguasa dalam kalangan kita yang menggunakan kumpulan ini untuk melanjutkan talian kuasa masing-masing. Si penguasa akan merasakan diri mereka tidak lagi terancam angkara lanun tersebut. Manakala si lanun pula akan rasa ada jaminan untuk terus hidup dengan cara mereka tanpa diganggu gugat oleh si penguasa. Mereka berdua telah bersahabat.
Pada masa itu, kita katakan bahawa si penguasa telah bermain mata dengan si lanun tadi. Perlu diingat bahawa si lanun itu ada agenda dan kepentingan tersendiri. Mereka tahu hidup berlanun ini tidak mampu bertahan lama. Mereka juga terfikir bagaimana nasib anak cucu mereka agar dapat disurvivalkan.
Barang diingat juga, bahawa lanun ini telah merebak ke darat, hutan belantara dan rimba raya. Mereka juga telah berubah wajah, jika dahulu bermata satu, namun kini mereka berbaju kemas dan berseluar segak. Padahal mereka ini adalah lanun dan penyangak.
Perlu kita sedar bahawa dengan cara ini sahaja merupakan jalan pintas untuk meraih kekayaan yang melimpah ruah dalam masa yang singkat. Hidup atas hasil usaha orang lain, tak ubah seumpama parasit. Asalnya penumpang, akhirnya membunuh pokok yang ditumpang. Dasar parasit.
Pepatah Arab ada menyebut ( الرفيق قبل الطريق ), bermaksud : Carilah teman sebelum kita melangkah keluar.
Berteman dengan penyamun, sedikit sebanyak sifat ala penyamun akan meresap ke dalam diri. Demikianlah juga jika kita bertemankan lanun. Sifat-sifat kelanunan itu akan mendarah daging dalam diri, sekaligus menjadikan diri mereka itu sebagai lanun. Lanun berwatak moden.
Antara tanda-tanda seseorang itu telah dijangkiti perangai lanun apabila membolot hasil kekayaan untuk diri dan puaknya sahaja. Mereka juga membolot kuasa dan empayar untuk diri mereka dan puaknya semata-mata. Mereka juga memintas kekayaan orang lain agar kekayaan itu menjadi milik mereka. Mereka hanya perlu kuasa dan kawasan.
Justeru, ekonomi kapitalis adalah ekonomi lanun. Apabila mereka merompak, menyamun dan merampas harta sesiapa sahaja untuk dihakmilikkan kepada mereka. Bezanya, cara mereka dianggap ‘halal’ dari sudut perundangan negara. Tender dibuka hanya untuk mengaburi mata orang ramai.
Politik ala diktator adalah politik lanun. Lantaran itu, penguasa yang mendominasi politik style ini akan menipu, menghalang, mengancam dan mengugut sesiapa sahaja demi kelangsungan empayarnya. Mereka ini sanggup berselindung di sebalik pilihan raya yang diatur. Dinamakan pilihan agar mengaburi mata orang ramai. Padahal bukannya memilih, tetapi memaksa, mengancam dan jika perlu, mereka mengeluarkan surat tunjuk sebab jika dilihat, pegawainya tidak memihak kepada penguasa tersebut.
Namun, diharapkan negara kita dijauhkan Allah S.W.T. daripada mala bahaya tersebut. Diharapkan juga, dengan kekuatan yang ada, kita mampu menukarkan watak lanun itu menjadi orang baik-baik. Tahu hormat apabila menumpang, tahu beradab apabila berjiran, dan tahu mengenang apabila dibantu.
Apatah lagi jika lanun itu adalah orang yang seagama dengan kita. Mereka ada keluarga dan ingin bersaudara. Maka, kita perlu jinakkan mereka sebagaimana Nabi saw menjinakkan puak jahiliyyah yang hidup tak ubah binatang buas.
Teori ganas dibalas ganas tidak ke mana. Orang yang berbuat jahat dengan kita, tidak perlu kita membalas balik kejahatan tersebut. Jika tidak, proses penjahatan ini akan bertali arus dan tidak akan terhenti. Oleh itu, biarlah kejahatan itu terhenti kepada kita. Biarlah kita noktahkan kejahatan tersebut. Berundinglah dengan cara yang terbaik, kerana orang yang bijak akan bertindak dalam kata-katanya. Orang yang kurang bijak, bertindak menerusi perbuatannya.
Tidakkah kita merasa cemburu dengan kedamaian yang dimiliki di negara-negara Eropah. Hidup aman tenteram, saling bantu-membantu dan bertolak ansur. Sedangkan kita, senegara dan serantau, asyik tendang- menendang, musuh-memusuh dan fitnah-menfitnah, seolah-olah tiada penghujungnya.
Oleh itu, dua jangan dikali dengan lima. Jika dikali, maka jawapannya tetap berada pada tahap yang sama. Tidak maju dan tidak berganjak. Alangkah bagusnya, jika kita saling membantu mendaulatkan negara kita ke mercu yang kita citakan. Pembangkang dengan cara pembangkangnya dan kerajaan dengan cara kerajaannya. Saling melonjak menuju kecemerlangan.
Sememangnya barat menanti-nanti situasi ini. Mereka suka apabila kita bercerai-berai, bergaduh dan bermasam muka.
Wahai UMNO, cukup-cukuplah memalukan orang, merendahkan keupayaan pembangkang. Pembangkang pula, sama-samalah kita majukan negara ini. Ingat bahawa kita ada amanah yang besar iaitu membawa rakyat dan negara yang tercinta menuju pelabuhan yang damai abadi, iaitu ‘baldatun tayyibatun dan rabbun ghafur.
No comments:
Post a Comment