Kali ini saya ingin mengupas sedikit isu berkaitan dengan guru yang diistilahkan oleh tuan MSO (Merah Tinta) sebagai guru sakit ‘kepala’. Dalam bahasa mudahnya, kita sebut guru yang mempunyai gangguan mental.
Saya ada sedikit pengalaman berurusan dengan guru yang diuji dengan sedemikian hal. Saya yakin, dan tuan-tuan juga meyakini bahawa tiada seorangpun antara kita yang ingin berada dalam situasi sedemikian. Namun, apakan daya, ini adalah dugaan dan ujian ke atas dirinya, juga ujian kepada rakan sekerja. Bahkan juga ujian kepada pengetua dalam menangani perwatakan ganjil yang ditunjukkan oleh mereka ini.
Kisahnya bermula apabila sekolah tempat saya bertugas sewaktu di Sabah dahulu, telah menerima masuk seorang guru baharu. Wataknya baik, peramah dan senang didampingi. Secara kebetulan, saya telah dijadikan kawan rapatnya. Kami sering minum bersama di kantin sekolah, dan kekadang beliau datang mengunjungi saya di rumah. Tautan persahabatan kian terjalin.
Pada awalnya, saya tidaklah merasa pelik dan ganjil apabila bergaul dengannya. Namun, beberapa tahun kemudian, lebih-lebih lagi apabila beliau telah menimang cahaya mata, maka perwatakannya kelihatan sedikit berubah. Saya dan rakan sepenjawat yang lain juga merasai semua ini. Buktinya, jika kami menyapanya semasa berselisih di laluan pejalan kaki, beliau akan tunduk seolah-olah antara kami tiada bersapa. Padahal, hari-hari yang lain, beliaulah yang terlebih awal menyapa kami.
Pada ketika itu, tahulah kami bahawa rakan kami ini sedang berhadapan dengan situasi yang tertekan dan mindanya telah terganggu. Namun begitu, beliau tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai tenaga pengajar. Bahkan, lebih rajin daripada sebelumnya.
Pernah suatu ketika beliau mengajar dari awal sesi pembelajaran sehingga jam 12 tengahari, tanpa memberi laluan rehat untuk para pelajar. Dalam situasi sedemikian, saya didatangi oleh seorang guru wanita yang prihatin, memohon kepada saya agar pergi ke kelas tersebut dan memberitahu kepada ‘pesakit’ ini bahawa masanya telah tamat, dan para pelajar perlu direhatkan. Sayapun pergi bertemu dengannya dan terus mengajaknya ke kantin untuk bersarapan. Alhamdulilllah, beliau terus berhenti mengajar dan akur dengan pelawaan saya tadi. Habis satu episod.
Episod seterusnya bersambung lagi. Dari sehari ke sehari kelihatan ‘kepala’nya makin meracau dan perwatakannya makin bercelaru. Dipendekkan cerita, pihak pentadbir sekolah dengan kerjasama jabatan pelajaran negeri, telah mengambil satu keputusan drastik, iaitu menghantar beliau pulang ke kampung halamannya agar senang dipantau oleh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang terhampir. Itu keputusan pihak pentadbir.
Apa yang sedihnya, mucung senapang keputusan itu di hala ke arah saya, dengan harapan sayalah yang akan dilantik sebagai ‘body guard’ beliau sepanjang perjalanan dari Sabah ke kampung halamannya.
Buat rakan-rakan yang mudah ‘cair’ apabila dipujuk, ingatlah anda kekadang dipergunakan oleh pihak atasan demi masa depan tangga gaji mereka. Anda mesti cerdik dan pintar serta bijak dalam memahami sesuatu keadaan. Ada masa, kita perlu juga ‘jual mahal’ agar diri kita ini diperhargakan. Jika tidak, nasib malang akan timpa menimpa. Apa yang bagus, semua mereka perolehi, dan apa yang menyusahkan, mereka semua lari. Lari melepaskan diri dari masalah yang dihadapi. Harapkan kita untuk membuat penyelesaian sendiri. Terkadang situasi seumpama ini berlaku.
Maka sayapun ‘jual mahal’. Saya katakan kepada pengetua bahawa saya tidak akan mengeluarkan walau satu senpun duit saya di sepanjang perjalanan itu. Perjalanan yang bermula seawal 4.00 pagi dan di jangka tiba di rumahnya jam 1 tengahari dengan menggunakan dua kali penerbangan.
Tuan-tuan, janganlah pula kata saya begitu berkira.
Seperti yang sebutkan tadi, kita perlulah bijak dalam menangani situasi. Apabila orang perlukan kita, maka kita juallah mahal. Ini kerana bukannya senang, seorang pentadbir yang datang merendah diri mohonkan bantuan kita. Guru saya ustaz Ku sentiasa berpesan, jika kita ada sesuatu kelebihan, dan kelebihan itu hanya kita yang ada, pasti orang akan menghormati kita.
Sepanjang perjalanan, saya bertemankan rakan saya yang sakit ‘kepala’ itu beserta isteri dan anaknya yang baharu seminggu dilahirkan, tidaklah mencabar sangat. Saya sekadar pemerhati sahaja akan segala tingkahlaku yang beliau zahirkan. Bagi saya mudah sahaja, selagi dia bertatasusila tertib dan beradab sopan, maka saya tidak akan menghalangnya. Ini kerana saya ditugaskan untuk mengiringinya sahaja agar beliau sekeluarga selamat pulang ke kampung halamannya. Bukannya saya dilantik sebagai polis penguasa seperti kita lihat dalam cerita yang dipanggungkan.
Semasa dalam penerbangan, semuanya berjalan lancar. Di lapangan terbang juga, semuanya berada dalam situasi yang terkawal. Walaupun beliau menegur semua orang yang berada di sekelilingnya, namun keadaan terkawal. Beliaupun sempat senyum setiap kali memandang saya. Bahkan sempat menjemput saya untuk ke rumahnya. Padahal, saya sememangnya telah diutuskan untuk ke rumahnya.
Isterinya sudah pasti dalam kebingungan. Rasa saya, isterinya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Sayapun tidaklah suka menyibukkan diri dengan terlalu peramah untuk memberitahu itu dan ini. Apa yang pasti, baby dalam dakapannya, yang sentiasa tidur di sepanjang perjalanan, sekali sekala merenget minta disusukan, kelihatan tenang dan aman dalam pelukan siibunya. Indah sungguh alam keanakan, hiruk pikuk di luar sana tanpa sedikitpun dihiraukan.
Setibanya kami di kampung sahabat saya ini, belaiu memohon keizinan saya untuk tidak bersolat Jumaat. Saya mula ‘berfatwa’ dan memberikan beliau keizinan tersebut. Lagipun riak wajahnya telah mencuka.
Saya menumpang kereta bapa mertuanya untuk ke masjid yang berhampiran. Saya tidak berbual panjang, dan bapa mertuanya juga kelihatan semacam kehadiran saya kurang menyenangkan.
Apabila pulang dari masjid, sebelum tiba di rumah sahabat saya itu, saya mengajukan sedikit permintaan kepada bapa mertuanya, apalah kiranya beliau sudi menghantar saya ke perhentian bas untuk saya bergerak pula pulang ke kampung halaman saya di Kelantan. Lantaran tugas saya telahpun selesai dengan jayanya.
Agak mengecewakan saya jawapan dari bapa mertuanya, katanya, “Stesen bas itu jauh dari sini, lagipun jalan saya pulang ke hilir, sedangkan stesen bas itu ke hulu”. Saya terdiam. Jauh di sudut hati mula berbicara sendiri, “Aku telah korbankan masa dan tenaga sehari suntuk jaga anak dia, cucu dia, anak menantu dia, minta tolong sikitpun berkira ke?”.
Saya tetap tabahkan hati. Beranikan diri lalu berkata dalam keadaan emosi terkawal, “Tak apalah pak cik, saya boleh jalan kaki ke stesen bas tu”. Sebenarnya memang mustahil untuk berjalan kaki. Jaraknya hampir 11 km melalui jalan kelapa sawit dan pepohon getah. Lagipun jarum jam telah mula memetang.
Takdir Tuhan tiada siap yang tahu. Sebaik sahaja kami tiba di rumah sahabat saya tadi, makan tengahari telahpun dihidangkan. Ramai kaum kerabat dan sanak saudara datang menjengkuk. Maklumlah ‘jaguh’ kampung telah pulang ke desa dari perantauan yang melekakan.
Tiba-tiba, sahabat saya yang sakit ‘kepala’ itu mengamuk dan membaling hidangan serta menjerit-jerit. Semua terperanjat dan terkejut beruk dibuatnya. Ada yang terjun tingkap dan lari keluar. Ada juga yang terpinga-pinga, termasuklah bapa mertuanya.
Abang iparnya menghampiri saya mohon saya tenangkan keadaan. Sayapun bukannya handal sangat, sekadar memberi bantuan. Saya menghampiri sahabat saya ini, sambil memegang tangannya. Alhamdulillah, dia kembali waras dan memohon kemaafan atas perilakunya itu.
Tidak semena-semena, bapa mertuanya sedari tadi asyik memerhati keadaan dengan seribu macam persoalan yang sukar untuk dijawab, lantas menghampiri saya lalu menghulur tangan mohon disalam, sambil berkata, “Ustaz, nanti saya hantar ustaz ke stesen bas””. Saya tersenyum melihat ragam manusia.
Akhirnya, sayapun tibalah di rumah saya di Kelantan jam 2 pagi. Bapa saudara saya yang tinggal di sebelah rumah saya terjaga dari lamunannya, lalu turun mendapatkan saya, lantaran kepulangan saya dalam kondisi yang agak luar biasa. Kami minum kopi sambil berbual-bual sementara menanti ayam berkokok.
Kata pak cik saya, baharu dua tiga hari lepas, ada seorang yang sakit ‘kepala’ telah mengamuk di kampung sebelah. Begitu sadis amukannya itu sehingga membawa kepada pembunuhan bapa kandungnya. Fulan itu juga adalan rakan sekelas saya semasa di sekolah Arab dahulu. Beliau adalah pesara askar yang dipencenkan awal dek ‘sindrom’ tersebut.
Kesimpulan dari cerita ini, bahawa kita sentiasa berada dalam situasi yang tertekan, ditekan dan menekan. Orang atas suka menekan, orang di bawah pula akan tertekan. Akhirnya orang di bawah tadi hidup dalam tekanan dan sekaligus memberi tekanan kepada mentalnya.
Dari itu, marilah kita hidup untuk menyelesaikan masalah orang, bukannya hidup untuk menambahkan masalah yang telah tersedia ada. Orang atasan perlulah mengurangkan atau menghentikan aliran tekanan kepada orang bawahan. Hidup saling bantu membantu, tanpa memijak rakan taulan. Biarlah kita dipangkatkan atas usaha yang kita lakukan, bukannya sebagai dendalu menagih simpati orang.
Semoga Allah memberi perlindungan kepada sekalian kita, khususnya kepada sahabat saya itu.
No comments:
Post a Comment