Dengan keizinan-Nya jua, kami mengorak langkah ke arah memperluaskan lagi ruang ilmu, khususnya yang berkaitan dengan penguasaan al-Quran dan kaedah beramal dengannya. Untuk sesi permulaan ini, kita akan dedahkan surah-surah lazim yang bermula dari surah ad-Dhuha hingga an-Naas.
Mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan guru kami, Sheikh Khalid bin
Sheikh Ibrahim al-Ibyari rahimahullah yang telah berjaya menyiapkan tafsiran Juzuk
Amma, termasuklah di dalamnya surah-surah lazim pada
hari Ahad 13/08/2014 bersamaan 17 Syawal 1435H yang disunting oleh Hj Mohd Borhanuddin
bin Dato’ Hj Abdul Kadir. Syukur, Alhamdulillah.
Semasa tafsir ini
diterbitkan, Tuan Sheikh Khalid telah dijemput Ilahi pada 6hb Januari 2020
(al-Fatihah), semoga Allah menempatkan al-marhum bersama para solihin dan
siddiqin. Moga tulisan ini menjadi Sodaqatun Jariah dan karamah
ilmiah buat beliau dan keluarganya.
Memulakan surah-surah
lazim dari Juzuk amma ini ialah surah ad-Dhuha. Merupakan surah yang ke-93
dengan ayatnya sebanyak 11 ayat. Isu utama yang diperkenalkan adalah isu kasih sayang Allah kepada nabi saw, isu
nikmat dan anugerah-Nya kepada ummah yang setia bersama-sama ajaran nabi saw.
Diikuti selepas itu, surah al-Insyirah yang membawa bersama-samanya 8 ayat,
surah yang ke-94 membawa isu anugerah Allah kepada kekasih-Nya saw dan isu
khabar gembira tentang masa kemenangan makin hampir. Kemudian dibawa pula surah
at-Tiin, merupakan surah yang ke-95, juga mempunyai 8 ayat dan isu yang cuba
diketengahkan ialah isu tiga nabi as yang agung dibawa sebagai model kehidupan
dan isu ciptaan manusia, baik dan buruk dalam perjalanan hidupnya.
Surah al-‘Alaq merupakan surah ke-96 daripada
siri surah-surah lazim. Ayatnya sebanyak 19 ayat dengan membawa isu ciptaan
manusia dan kaedah perolehan ilmu serta sikap sebahagian manusia yang kufur
ingkar kepada Pencipta. Selepasnya surah al-Qadr, iaitu surah yang ke-97 dengan
isu malam al-Qadr dan kemukjizatan al-Quran. Ayatnya sebanyak 5 ayat. Kemudian
didatangkan pula surah al-Bayyinah dengan 8 ayat yang merupakan surah yang
ke-98. Isu keikhlasan dalam beribadah dan pembahagian manusia: baik dan jahat
serta kesudahan kedua-dua pihak mereka menjadi tema utama surah ini.
Seterusnya surah al-Zalzalah yang merupakan
surah yang ke-99 dengan membawa isu hari kebangkitan dan timbangan amalan: baik
dan buruk menerusi 8 ayat yang ada di dalam surah ini. Manakala surah
al-‘Adiyat, 11 ayat pula merupakan surah yang ke-100 dengan membawa isu hari
kebangkitan dan timbangan amalan: baik dan buruk. Hal ini diteruskan lagi
menerusi surah al-Qari’ah, sebanyak 11 ayat yang merupakn surah yang ke-101. Ia
mengajak manusia supaya membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi hari
kebangkitan dan ringan-beratnya sesuatu amalan.
Surah at-Takathur, merupaka surah yang ke-102
dengan 8 ayat membicarakan isu mengejar kemewahan dunia dan kesedaran apabila
dibangkitkan nanti. Diikuti dengan surah al-‘Asr, iaitu surah yang ke-103
dengan hanya 3 ayat, namun isu yang dibawanya terlalu penting iaitu berhubung
dengan kepentingan masa dan memberi fokus kepada kebenaran dan kesabaran.
Manakala surah al-Humazah pula mengambil isu pengumpulan harta dan ancaman
tentang azab api neraka. Surah ini merupakan surah yang ke-104, bersama-samanya
9 ayat.
Surah yang ke-105 adalah surah al-Fiil yang
mengandungi 9 ayat. Ia membawa isu balasan Allah ke atas rejim bergajah dan
kehancuran mereka apabila cuba mencabar keagungan Allah swt. Manakala surah
yang ke-106 pula adalah surah Quraisy yang mengandungi 4 ayat. Ia memperihalkan
isu perjalanan orang-orang Quraisy ke utara dan selatan, yang berhadapan dengan
ketakutan dan kelaparan. Demikian juga surah yang ke-107, iaitu surah al-Ma’uun.
Surah ni mengajak kita agar menjaga kepentingan anak yatim dan suka menganjur
makan-minum untuk golongan miskin serta jangan sekali-kali leka daripada
mendirikan solat.
Surah al-Kauthar, surah yang ke-108 dengan
hanya 3 ayat, tetapi membawa isu besar iaitu isu penganugerahan al-kauthar
oleh Allah kepada baginda saw dan dipohon agar bersyukur atas anugerah terbesar
itu. Manakala surah al-Kafirun pula memperihalkan isu ketegasan dalam bab akidah
dan adanya garis pemisah yang jelas antara Islam dan bukan Islam. Surah ini
memiliki 6 ayat dan merupakan surah yang ke-109. Manakala surah yang ke-110
pula adalah surah an-Nasr yang mempunyai hanya 3 ayat, namun membawa khabar
gembira kepada perjuangan Islam dan laluan dakwah yang diasaskan oleh Nabi saw,
iaitu isu pembukaan Kota Mekah dan kemasukan Islam secara beramai-ramai. Maka,
beristighfar dan bertasbih dengan sebanyak-banyaknya.
Surah al-Masad, iaitu surah ke-111, yang membawa
5 ayat yang memperihalkan isu balasan Allah ke atas penghalang agama Allah dan
ianya terjadi pada setiap zaman. Seterusnya surah ke-112, iaitu surah al-Ikhlas
yang mempunyai 4 ayat dengan membawa isu yang sangat penting dalam soal akidah,
iaitu isu keesaan Allah dan Allah tempat yang dituju untuk segala permintaan.
Allah tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Allah tiada satupun makhluk
yang menyamai-Nya. Kemudian diikuti dengan surah yang ke-113, iaitu surah
al-Falaq yang mempunyai 5 ayat dalam memperihalkan isu keperluan untuk berlindung
dengan Allah dari sebarang mara bahaya hasil tindakan jahat pendengki.
Sementara surah yang terakhir, iaitu surah yang ke-114, yang juga merupakan
surah penutup kepada kitab suci al-Quran yang bertigapuluh juzuk ini membawa
bersama-samanya 6 ayat. Sudah semestinya surah ini memperihalkan penganggu
utama kepada umat manusia iaitu syaitan yang suka membuat pelbagai bisikan ke
hati-hati manusia. Maka itu, surah ini menjelaskan peri pentingnya keperluan
untuk memohon perlidungan Tuhan daripada sebarang gangguan dan bisikan syaitan
ke lubuk hati manusia.
Semoga tafsir ini mampu membuka minda kita untuk terus
mendampingi al-Quran, membaca dan beramal dengan saranan yang dikemukakan. Semoga
Allah menganjarkannya kepada guru kita dan kita semua dengan sebaik-baik
ganjaran dari-Nya.
No comments:
Post a Comment