Friday, June 14, 2013

JEJAK Sheikhuna


Bersama Sheikhuna Dr. Farouq Hamadah
 Ungkapan “Sheikh” bermaksud seorang alim dalam bidang hadis yang dilazimi oleh seorang penuntut hadis untuk beberapa tempoh tertentu, lalu menerima darinya hadis-hadis, dan sekaligus meriwayatkan hadis-hadis tersebut kepada yang lain.
Idea ini diutarakan lantaran terdapat pencinta ilmu yang menggunakan  ungkapan ini  “Shekhuna”
شَيْخُنَا) ( dalam situasi yang kurang sesuai.

Sheikh Albani
Menurut Sheikh Albani, adalah memadai sekiranya beliau telah mengikuti majlis bersama sheikh tersebut walaupun hanya sekadar satu jilsah (sekali majlis). Adalah tidak layak baginya untuk memanggil guru tersebut sebagai sheikhnya (shekhi) dengan hanya membaca buku-buku karangan beliau.

Sheikh Ibrahim
Saya masih ingat semasa saya bersama rakan-rakan mengunjungi Sheikh Ibrahim bin Siddiq al-Ghumari di Tanger, Maghribi. Beliau merupakan salah seorang ulama hadis yang tersohor di sana. Ketika itu, kami baharu sahaja menunaikan solat Jumaat. Kami bermohon izin untuk sesi bergambar. Tiba-tiba, saya terdengar salah seorang dari kalangan ahli jemaah memanggil Sheikh Ibrahim dengan panggilan “Sheikhi” iaitu tuan guruku.


Sheikh Ibrahim (tengah)

Dari situ, fahamlah saya, begitu juga bagi rakan-rakan yang berkecimpung dalam bidang hadis, betapa bernilainya ungkapan seumpama ini.

Ungkapan ini berupa ijazah atas ilmu yang dicurahkan kepada kita yang memungkinkan kita untuk meriwayatkan sesebuah hadis darinya.

Seandainya seseorang itu tidak pernah sekalipun menghadiri majlis ilmu yang dikendalikan oleh sheikh hadis tersebut. Bahkan juga tidak pernah walau sekali bersemuka dengannya, maka ungkapan “sheikhi” yang diucapkan adalah berupa tadlis (penipuan).

Tadlis
al-Tadlis dalam ilmu hadis bermaksud seseorang itu meriwayatkan sesebuah hadis dari perawi hadis yang sezaman dengannya, padahal beliau tidaklah pula mendengarnya sendiri dari perawi hadis tersebut. Sedangkan dalam ungkapannya beliau menyebut, “Perawi itu memberitahunya sekian dan sekian”.

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah
Meskipun Ibnu Taimiyyah ada menyebut, “Sesiapa sahaja yang telah memanfaatkan ilmunya kepada seseorang, maka beliau adalah sheikhnya”.

Namun ini adalah dalam bentuk yang terlalu umum.  Tambahan kini, pelbagai rekaan yang disandarkan kepada seseorang yang alim dalam ungkapan : Sheikhi (tuan guruku), Sheikhuna (tuan guru kami), termasuklah ungkapan dukturuna.

Kesemua ini bolehlah digolongkan dalam istilah hadis tersebut sebagai serpihan tadlis yang berharap di sebalik semua itu untuk menaikkan martabatnya, ataupun untuk meyakinkan orang ramai akan kata-katanya, padahal beliau tidakpun walau seketika bertemu muka dengan sheikh tersebut.

Lagi malang, jika ungkapan “sheikh” yang diajukan itu pula bukanlah ditujukan kepada orang yang benar-benar mahir dalam bidang hadis, sebaliknya hanya berpura-pura alim, lalu digelarnya “sheikh” oleh para pengikut ekstremnya.

Oleh itu, untuk menyebut “sheikh” (tuan guru) kepada seseorang yang benar-benar alim adalah sesuai sebagai lambang penghormatan kita terhadapnya, meskipun kita tidak pernah bersemuka dengannya. Namun ungkapan “sheikhi” (tuan guruku) atau “sheikhuna” (tuan guru kami) adalah tidak digalakkan sama sekali, seandainya orang tersebut tidak pernah bertemu muka (bersemuka) dengannya.

Pada kesempatan yang ada, carilah peluang untuk bersua muka dengan para alim ulama. Mudah-mudahan di akhirat kelak menjadi amal bantuan di atas papan timbangan.

Kami diberi kesempatan berkunjung ilmiah bertemu keluarga bin Siddiq al-Ghumari. Antaranya ialah Sheikh Abdul Hayye, Sheikh Abdul Aziz dan Sheikh Abdullah al-Hafiz.

Sheikh Abdullah bin Siddiq al-Ghumari
Nama penuh beliau ialah al-Imam Abdullah bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumari. Beliau merupakan salah seorang ulama yang terkenal di Maghribi. Telah berjaya mencapai tahap al-Hafiz dalam bidang ilmu hadis. Pernah diceritakan bahawa beliau telah menghafal lebih 50,000 hadis di bawah bimbingan ulama tersohor di Mesir, termasuklah abang sulungnya Sheikh Ahmad al-Ghumari.

Sheikh Abdullah bin Siddiq
Kehadiran kami disambut dengan wajahnya yang penuh ceria. Jelas sekali daripada riak mukanya amat mengharapkan talian ilmu Islam ini perlu disambung. Itulah antara pesanan beliau semasa kami mengunjunginya yang pada ketika itu usianya telah melewati 80-an.

Kehidupan beliau dipenuhi dengan perjuangan demi memartabatkan ilmu Islam. Karyanya dalam pelbagai disiplin ilmu yang melebihi 200 buah kitab telah berjaya dihasilkan. Semasa kunjungan tersebut, beliau memberitahu kami bahawa beliau sempat bersua muka dengan al-Syahid Hasan al-Bana, ketua gerakan Ikhwan Muslimin.  Akibat daripada penglibatan aktif itu, beliau telah dipenjara selama 11 tahun oleh Kerajaan Mesir yang dilihat anti kepada gerakan tersebut.

Demikianlah watak seorang ulama yang begitu bersungguh dalam perjuangannya tanpa sedikitpun rasa tunduk dan mengalah kepada kuasa kebathilan.  Sekembalinya beliau ke tanah airnya di Maghribi, beliau juga turut dipinggir oleh pemerintah Maghribi lantaran kelantangan suara dan ketajaman ilmu yang beliau miliki.

Hari Khamis, tanggal 11 September 1993, beliau telah meninggalkan kita dengan khazanah ilmu yang telah diterokainya untuk tatapan semua pencinta ilmu dan ulama.

Sheikh Abdul Aziz al-Ghumari
Sheikh Abdul Aziz merupakan adik kepada sheikh Abdullah. Beliau juga merupakan seorang ulama hadis dan banyak berkecimpung dalam bidang ilmu tasauf. Bapanya, selaku orang yang bertanggungjawab dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar sehingga beliau muncul sebagai salah seorang ulama yang hebat dalam ilmu hadis.  Sebaik sahaja bapanya meninggal dunia, beliau telah berhijrah ke bumi Mesir dan di sana beliau telah menuntut ilmu di bawah bimbingan ulama mursyidin.

Sheikh Abdul Aziz (tengah)
Beliau menceritakan kisah pembelajaran ilmu hadisnya bermula daripada menghafal matan asas, kemudian mempraktiknya dengan menilai perawi hadis, membezakan antara hadis sahih dan hadis lemah sehingga beliau berjaya menulis beberapa buah buku yang hebat, antaranya “Bulugh al-Amaani”. 

Pada tahun 1997, beliau telah pergi mengadap Rabbul Jalil setelah mengorbankan sepenuh usianya untuk memartabatkan ilmu agama.

Sheikh Abdul Hayy
Nama penuh beliau ialah Abu Is’ad Abdul Haiyy bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumari. Beliau juga merupakan salah seorang ulama tersohor dalam bidang ilmu hadis dan ilmu usul fiqh. Beliau juga seorang penulis yang terkemuka di bumi Maghribi.

Beliau dibesarkan di bawah penjagaan bapanya dan selepas itu abangnya al-Hafiz Ahmad yang juga telah membawa beliau ke Mesir. Di sana, beliau telah menimba ilmu daripada ulama Azhar.

Beliau telah meninggalkan mazhab Maliki untuk beramal dengan mazhab al-Zohiri. Apa yang jelasnya, beliau merupakan seorang yang amat berpegang kuat kepada mazhab dan pandangannya. Beliau juga ada menulis kitab tentang ketidak- menyeluruhan ulama mazhab empat dalam bab hadis. Ada sesetengah ulama menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat berpegang teguh kepada kaedah usuliyah, menguatkan lemah dan mengetatkan yang longgar.

Namun pada masa yang sama beliau memiliki akhlah yang tinggi, amat suka memuliakan tetamu dan teramat sayang kepada keluarga al-Kattaaniyyin, sehinggakan Sheikh Badruddin al-Kattaani sering menziarahinya. Fadhilat Sheikh rahimahullah dijemput mengadap Ilahi pada tahun 1998 secara mengejut.

Penutup
Demikianlah kehebatan ulama melampaui zaman dan menjangkaui sempadan. Mereka bukan hanya menuntut ilmu dari pelbagai ulama, namun turut menyumbang khidmat menabur bakti demi melihat jalur ilmu terus hidup dan membiak. Ini merupakan ingatan kepada kita agar jangan suka menyimpan buku, namun tidak pula membukanya. Elakkan sikap suka mempamer buku-buku di susunan rak, sebaliknya marilah kita menelaah dan mengkajinya. Hidupkan budaya ilmu menerusi munaqashah dan berdiskusi sebagaimana yang telah dilalui oleh ulama kita terdahulu. Pesanan mereka agar kita berpegang dengan agama dan beramal dengannya. Ya Allah, Engkau rahmatilah shuyukhana atas pengorbanan yang telah mereka lalui dengan ganjaran pahala dan syurga-Mu.

No comments:

Post a Comment