Telah menjadi fitrah alam bahawa setiap peristiwa yang berlaku itu membawa isyarat yang tertentu. Terpulang kepada kita untuk memahami dan menilainya, samada ianya dijadikan iktibar atau hanya sekadar curahan air pada daun keladi.
Sejak kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa ngeri, bermula dari tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang, Sarawak Selasa lepas, dan terkini pada hari Rabu di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, seorang anak remaja perempuan, 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah oleh sekumpulan remaja lelaki yang baharu lepas bermain bola.
Adakah ini kes terpencil ? Adakah juga kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam di Putrajaya tempoh hari juga dalam kategori yang sama ?
Dua isyarat ini dan banyak lagi isyarat-isyarat lain memberikan kita satu hentakan minda yang kuat mengenai tahap keselamatan negara yang kita menghuni di dalamnya. Sejauh manakah tahap keselamatan tersebut diambil cakna oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, khususnya pasukan keselamatan kita yang bermenterikan menteri yang baharu lagi bersemangat itu.
Adakah dengan ungkapan ala perwira itu mampu mengecutkan perut-perut para penjenayah atau ianya sekadar geletekan yang menggelikan ?
Saya lebih suka melihat isu ini sebagai ujian Allah SWT lantaran amanah yang terpikul.
Isu bot ekspres sering diperbahaskan oleh penduduk Sarawak yang merupakan alat pengangkutan utama bagi mereka. Pengalaman salah seorang pelajar saya yang berhadapan dengan situasi ini amatlah menggerunkan. Apa tidaknya, hari pertama ditugaskan ke sana sebagai pendidik telah melalui situasi yang getir ini.
Semasa beliau menceritakan saat-saat getir tersebut, apabila air telah memenuhi ruangan bot, beg-beg pakaian semua telah dibuang ke laut, termasuklah laptop yang baharu sahaja dibelinya demi menyelamatkan nyawa penumpang yang berada di dalamnya. Semua penumpang menadah tangan, bermohon, bermunajat dan pasrah atas takdir yang melanda. Alhamdulillah, mereka sangat bersyukur, mereka terselamat. Akhirnya cerita tersebut dapat dikongsi bersama. Peristiwa ini berlaku lebih kurang lima tahun yang lalu.
Kini peritiwa yang sama berulang. Bezanya cerita bot karam tidak dapat untuk dibarikan lantaran penumpangnya lemas dan tenggelam.
Rakyat masih menanti tindakan yang sepatutnya diambil. Harapan menggunung kepada Ketua Menteri Sarawak yang kaya raya itu bagi menyelesaikan kegelisahan ini. Wahai CM, dengarlah rintihan rakyat, janganlah asyik bertungkus-lumus membalakkan diri di hutan, ikan di jemuran kering kehausan.
Begitu juga kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu sahaja dilantik memikul amanah yang dicari. Nah, amanah telah tersedia untuk dileraikan. Bangun dan berenanglah meredah lautan. Tunjukkan keperkasaan demi anak bangsa yang dijulang.
Kedua-dua isyarat ini memberikan kita sebuah ingatan bahawa amanah yang dipikul bukannya untuk diperkekeh-kekehkan. Amanah itu adalah suatu janji yang perlu ditepati. Seorang penyair Arab pernah berkata :
الـمَرءُ لا يُعرَفُ مِقدارُه # ما لـم تَبْنِ لِلناسِ أفعالُهُ
Bermaksud : Seseorang itu tidak diketahui tahap kemampuannya #
Selagimana tindakannya belum terlaksana
Maka, keamanan negara hendaklah berada di tahap yang tertinggi. Kebocoran dan ketirisan jenayah seumpama ini adalah merupakan isyarat timbal balik atas kredibiliti yang dibanggakan.
Marilah kita bermohon ke hadhrat Ilahi agar tanah air yang tercinta ini sentiasa mendapat kerahmatan dan keberkatan-Nya jua.
No comments:
Post a Comment