Selain daripada solat lima waktu yang telah menjadi kefardhuan bagi setiap muslim yang aqil lagi baligh, terdapat beberapa lagi solat lain yang turut dituntut agar kita melakukannya dalam bentuk solat sunat dan juga solat fardhu kifayah.
Meskipun ramai dari kalangan kita yang beranggapan bahawa solat sunat hanya sekadar sunat semata-mata tanpa mendatangkan kelebihan yang besar dalam kehidupan beribadah. Bahkan ada juga mereka yang membiarkan sahaja waktu solat tersebut berlalu tanpa sedikitpun sapaan untuk bersolat. Alasannya mudah, sibuk dan tiada keperluan untuk mengerjakannya. Bagi mereka, solat sunat tidaklah menjanjikan pulangan yang besar dalam kehidupan duniawinya Padahal solat sunat tersebut merupakan suatu pendorong untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Kuasa.
Lambang Kasih Sayang
Sudah pasti solat sunat mampu membawa kita ke arah menghampirkan diri dengan Allah S.W.T. Sekaligus, ini melambangkan tahap kecintaan yang tinggi kepada Yang Maha Pencipta. Lantaran kesanggupannya merelakan diri untuk melakukan amalan tambahan yang tidak pula difardhukan. Di samping itu, solat sunat ini mampu menjinakkan hati agar tahu menyayangi dan amat mengharapkan pula kasih sayang daripada Allah S.W.T. Lihatlah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. di bawah :
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِى وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَىَّ عَبْدِى بِشَىْءٍ أَحَبَّ إِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِى يَتَقَرَّبُ إِلَىَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، ...". (رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَأحْمَدُ وَالبَيْهَقِيُّ)
Bermaksud : Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi s.a.w ada bersabda : “Sesiapa yang mengisytiharkan aku sebagai musuhnya, maka akan Aku izinkan beliau untuk diperangi. Dan tidaklah yang lebih Aku sukai melainkan seseorang itu telah melaksanakan segala apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah seseorang itu ingin mendekatkan diri kepada-Ku dengan melaksanakan amalan sunat sehingga Aku menyayanginya…”. (HR Imam Bukhari, Imam Ahmad dan al-Baihaqi)
Apabila kecintaan kepada Allah S.W.T telah meresap ke lubuk sanubari seseorang, maka kemanisan beribadah telah mula berputik. Kerinduan dan keasyikan beribadah telah menjadi penawar dalam kehidupannya. Secara tidak langsung, ini akan menaikkan martabat kecintaan yang membawa kepada perasaan sayang-menyayangi dan redha-meredhai antara mahkluq dan Khaliq.
Pelengkap Timbangan
Sememangnya solat merupakan tali pengikat antara hamba dan Penciptanya. Solat yang benar adalah solat yang didirikan dengan penuh taat dan patuh kepada Tuhan Yang Maha Pencipta. Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w bahawa solat itu adalah ibadah yang pertama dihitung dan dikira. Seandainya solat fardhu ini didapati kurang dan tidak memuaskan, maka ianya akan dirujuk kepada solat sunat, moga-moga ianya dapat menampung solat fardhu tersebut.
"إنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ صَلاتُهُ، فَإنْ كَانَ أكْمَلَهَا، وَإلاّ قَالَ اللهُ : انْظُرُوا لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَإنْ وُجِدَ لَهُ تَطَوُّعٌ، قَالَ : أَكْمِلُوا بِهِ الفَرِيْضَةُ". (وَهَذَا إسْنَادٌ صَحِيْحٌ، أخْرَجَهُ النَّسَائِي عَنْ أبِي هُرَيْرَةَ)
Bermaksud : “Sesungguhnya amalan seorang itu yang pertama dihitung ialah solat, jika sempurna (maka sempurnalah). Sebaliknya jika terdapat kekurangan maka Allah S.W.T (akan menyuruh malaikatNya) melihat kepada solat sunat, jika terdapat solat sunat tersebut untuk dilengkapkan solat fardhu yang kurang tadi”. (HR al-Nasaie dari Abu Hurairah r.a)
Dengan menunaikan solat sunat tersebut dapatlah menampung kekurangan yang berlaku semasa mengerjakan solat fardhu. Kekurangan tersebut merangkumi kelalaian ketika mendirikan solat, hilang fokus dan khusyu’ atau sebagainya.
Jenis Solat Sunat
Selain daripada solat fardhu, terdapat dua jenis solat lagi, iaitu solat sunat dan solat fardhu kifayah. Adapun yang dimaksudkan dengan solat fardhu kifayah itu ialah solat jenazah. Manakala solat sunat pula banyak, antaranya : Dua rakaat sebelum subuh, solat witir, solat tahajjud, solat sunat tahiyyatul masjid, solat terawih, solat kusuf (gerhana matahari) dan khusuf (gerhana bulan), solat istiisqa’ (minta hujan), solat dua hari raya dan banyak lagi.
Bilangan Rakaat Solat Sunat
Para sahabat r.a. sentiasa memerhati gerak laku solat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, termasuklah mencerap bilangan rakaat yang dilakukan oleh Baginda s.a.w.
1) Sepuluh Rakaat
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a adalah sebanyak 10 rakaat.
وَعَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ : "حَفِظْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ : رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الـمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ فِي بَيْتِهِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ". (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
Bermaksud : Ibnu Umar r.a. berkata : “Aku hafal sepuluh rakaat (solat sunat) dari Nabi s.a.w, iaitu dua rakaat sebelum zohor, dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas maghrib di rumah beliau, dua rakaat sesudah isya’ di rumah beliau dan dua rakaat sebelum subuh”. (Muttafaq ‘alaih)
2) Dua Belas Rakaat
Manakala menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ummi Habibah pula ialah sebanyak 12 rakaat.
وَعَنْ أُمِّ حَبِيْبَةَ أُمِّ الـمَؤْمِنِيْنَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ الله صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ :"مَنْ صَلَّى اثْنَتَيْ عَشَرَةَ رَكْعَةً فِي يَومِهِ وَلَيْلَتِهِ بُنِيَ لَهُ بِهِنَّ بَيْتٌ فِي الـجَنَّةِ". (رَوَاهُ مُسْلِمٌ)
Bermaksud : Dari Ummi Habibah Ummi Mu’minin r.a. berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesiapa yang melakukan solat (sunat) dua belas rakaat sehari semalam, nescaya akan dibina untuknya sebuah rumah di dalam syurga”. (HR Muslim)
Bilangan rakaat ini diperkukuhkan lagi menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a. dengan menambah empat rakaat solat sunat sebelum zohor sebagai tambahan dua rakaat yang disebut oleh Ibnu Umar r.a.
وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الغَدَاةِ". (رَوَاهُ البُخَارِيُّ)
Bermaksud : Dari ‘Aisyah r.a. : “Sesungguhnya Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan (solat sunat) empat rakaat sebelum zuhur dan dua rakaat sebelum subuh”. (HR Bukhari)
3) Enam Belas Rakaat
Terdapat juga hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a dengan menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w mendoakan mereka yang mendirikan solat sunat empat rakaat sebelum Asar. Maka, jumlah 12 rakaat yang disebut oleh Ummu Habibah r.a. itu ditambahkan empat rakaat lagi, maka jumlah keseluruhannya ialah 16 rakaat solat sunat sehari semalam.
وَعَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "رَحِمَ اللهُ امْرَأً صَلَّى أرْبَعًا قَبْلَ العَصْرِ".(رَوَاهُ أحْمَدُ وَأبًو دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ وَابْنُ خُزَيْمَةَ وَصَحَّحَهُ)
Bermaksud : Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Semoga Allah merahmati seseorang yang melakukan solat empat rakaat sebelum asar”. (HR Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi yang menilai hadis ini hasan, dan Ibnu Khuzaimah yang menilai hadis ini sahih)
3) Lapan Belas Rakaat
Jika dicampur pula dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal r.a, bilangan solat sunat adalah sebanyak 18 rakaat, iaitu tambahan dua rakaat sebelum solat maghrib, iaitu antara azan dan iqamah solat maghrib.
وَعَنْ عَبْدِاللهِ بْنِ مُغَفَّلٍ الـمُزَنِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "صَلُّوا قَبْلَ الـمَغْرِبِ، صَلُّوا قَبْلَ الـمَغْرِبِ، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ "لِمَنْ شَاءَ"، كَرَاهِيَةَ أنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً. (رَوَاهُ البخاري)
Bermaksud : Dari Abdullah bin Mughaffal al-Muzani r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Solatlah sebelum maghrib, solatlah sebelum maghrib. Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi untuk ketiga kalinya, “Bagi sesiapa yang mahu”, dibimbangi orang akan menjadikannya sebagai suatu ketetapan (kewajipan)”. (HR Bukhari)
Berdasarkan bilangan yang diberitakan itu mampu mengisyaratkan kepada kita betapa indahnya Islam yang kita anuti ini. Peluang untuk meraih habuan pahala yang berlipat ganda terbentang luas di hadapan kita. Terpulanglah kepada kemampuan kita untuk melaksanakannya bilangan rakaat solat sunat tersebut, tanpa menetapkannya sebagai suatu kewajipan.
Justeru, Islam tetap menjadikan amalan sunat ini sebagai bonus dan lapangan sasar bagi mereka yang mengharapkan habuan pada hari akhirat kelak. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah S.W.T :
"فَاسْتَبِقًوا الـخَيْرَاتِ".
Bermaksud : Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mencari kebaikan. (5:48)
Menurut Ibnu Qayyim
Sehubungan dengan itu, Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa bilangan rakaat yang dilakukan oleh Nabi s.a.w sehari semalam adalah sebanyak 40 rakaat : 17 rakaat bagi solat fardhu, 12 rakaat solat sunat seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Habibah r.a, 11 rakaat solat malam, dengan jumlah keseluruhannya ialah 40 rakaat.
Solat Malam Nabi s.a.w
Mari kita lihat satu contoh solat sunat yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, iaitu solat malam. Pernah suatu ketika Saidatina ’Aisyah memberitahu solat malam Nabi s.a.w. dari segi elok dan panjangnya solat tersebut.
"..فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.." (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)
Bermaksud : Jangan kamu bertanya tentang baik dan panjangnya solat tersebut. (Muttafaq ‘alaih)
Persoalannya : Mengapa dilarang bertanyakan bagaimana solat malam Nabi s.a.w dari segi elok dan panjangnya solat tersebut ?
Jawapannya mudah sahaja, iaitu larangan ini kerana ianya telah dimaklumi oleh para sahabat r.a ketika itu. Berkemungkinan juga ianya sukar untuk digambarkan keindahan solat malam yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.
Kesimpulan
Marilah kita mengikut jejak langkah Nabi s.a.w dalam menunaikan solat, samada fardhu maupun sunat. Mudah-mudahan kita akan diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T. untuk menyempurnakan solat fardhu yang diwajibkan sebaik mungkin. Sementara itu, solat sunat pula sebagai pelengkap kepada solat fardhu yang kita laksanakan. Semakin banyak solat sunat dan konsistennya solat tersebut, maka semakin hampirlah diri kita dengan Allah S.W.T. Hubungan yang akrab ini sudah pasti menjanjikan kedamaian dan ketenangan kepada kita selaku hambanya.
No comments:
Post a Comment