Kuasa sebagai tiket untuk melaksanakan amanah. Dengan kuasa yang ada, maka amanah yang dipertanggungjawabkan akan dapat dilunaskan dalam situasi yang terbaik.
Balckout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur |
Namun, janganlah kita lupa bahawa kuasa juga mampu melenyapkan amanah yang diberi. Bahkan kekuasaan itu menjadikan seseorang penguasa tersebut akan lebih bongkak dan sombong, ala kefiraunan di zaman nabi Musa a.s.
Inilah gambaran yang boleh disedut menerusi himpunan Blackout 505 di Padang Merbok semalam.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ini kerana pembangkang menghidap penyakit hati angkuh (BH, 23/6/2013).
Dalam situasi yang lain pula, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ‘SPR tak akan tunduk kepada tuntutan yang tak masuk akal itu. Kita tak akan berganjak’ (Sinar, 23/6/2013).
Adakah kenyataan ini juga boleh kita tafsirkan sebagai pengidap penyakit hati angkuh seperti yang telah dilabelkan kepada pihak pembangkang ?
Apa yang menghairankan kita, jika kita sentiasa mewar-warkan sebagai wira dalam menangani krisis peringkat antarabangsa, bahkan kerap menghantar bantuan dan khidmat nasihat untuk berunding, maka mengapa pergisiran dalaman ini tidak pula ke meja rundingan?
Sebaliknya, pihak media lebih suka menjemput hanya sebelah pihak, iaitu SPR bagi mempertahankan diri, sedangkan hujah balas pihak pembangkang tidak diberikan ruang?
Bagi saya, menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terpulang kepada diri masing-masing. Ada orang boleh diam dan senyap tanpa membuat bising. Namun, ada juga yang mesti membuka mulut, lantaran ketidakpuasan itu telah mula menyelinap ke seluruh pelusuk sendi mereka. Mereka ada kekuatan dan kemahuan untuk berbuat demikian. Biarkanlah, kerana kita negara demokrasi.
Sikap ini adalah fitrah ciptaan manusia. Termasuklah pengerusi SPR sendiripun tidak boleh berdiam diri apabila ada terjahan kepada kelemahan mereka.
Puncanya hanya satu, kita lebih mementingkan maruah diri daripada menjaga keamanan negara.
Alangkah indahnya, apabila kita ada kelemahan, dan kelemahan itu pula telah dapat dibuktikan, maka kita bermohon maaf dan baiki kelemahan tersebut. Kenapa mahu bersikap angkuh dan memberi seribu macam alasan, seolah-olah kita ini semuanya betul.
Perasaan diri yang mengatakan kita ini semuanya betul itulah punca kedua yang melarutkan pergeseran ini. Apabila kita merasakan diri ini sempuna, tiada sebarang kecacatan, maka di kala itu segala kritikan dianggap sebagai suatu penghinaan yang maha dahsyat, dan tidak akan dimaafkan di dunia hingga ke akhirat.
Mengapa sampai jauh begitu sekali kita tersimpang dari menyelusuri landasan kebenaran. Lari daripada kebenaran dan selesa atas pencongan kesesatan adalah kebinasaan untuk masa depan negara.
Dari itu, semua pihak mesti akur dan tunduk kepada kebenaran. Jika di pihak pembangkang ada kebenarannya, maka terimalah ia sebagai proses pembinaan negara yang lebih mantap. Pihak pembangkang juga perlu bermuhasabah diri agar menunjukkan kedewasaan dalam melestarikan negara tercinta ini.
Biarlah kita ada sifat saling tegur-menegur antara satu sama lain. Ini akan menambahkan lagi kemanisan dalam bernegara.
Janganlah nanti alam pula yang menegur kita atas kesilapan yang kita lakukan. Cebisan teguran itu telah mula memercik kepada kita lantaran jerebu yang terus meningkat dari hari ke hari. Namun kita tetap menyalahkan orang lain, tanpa sedikitpun rasa bersalah atas tindakan yang telah kita lakukan. Siri malapetaka masih belum ada kesudahan. Runtuhan jambatan, terjatuhnya penebat kilat dan sebagainya adalah terguran yang tersirat.
Semoga kita sentiasa mendapat perlindungan Allah S.W.T hendaknya.
No comments:
Post a Comment