Sunday, October 25, 2020
Siri Kuliah Tafsir Atas Talian
Dengan keizinan-Nya jua, kami mengorak langkah ke arah memperluaskan lagi ruang ilmu, khususnya yang berkaitan dengan penguasaan al-Quran dan kaedah beramal dengannya. Untuk sesi permulaan ini, kita akan dedahkan surah-surah lazim yang bermula dari surah ad-Dhuha hingga an-Naas.
Mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan guru kami, Sheikh Khalid bin
Sheikh Ibrahim al-Ibyari rahimahullah yang telah berjaya menyiapkan tafsiran Juzuk
Amma, termasuklah di dalamnya surah-surah lazim pada
hari Ahad 13/08/2014 bersamaan 17 Syawal 1435H yang disunting oleh Hj Mohd Borhanuddin
bin Dato’ Hj Abdul Kadir. Syukur, Alhamdulillah.
Semasa tafsir ini
diterbitkan, Tuan Sheikh Khalid telah dijemput Ilahi pada 6hb Januari 2020
(al-Fatihah), semoga Allah menempatkan al-marhum bersama para solihin dan
siddiqin. Moga tulisan ini menjadi Sodaqatun Jariah dan karamah
ilmiah buat beliau dan keluarganya.
Memulakan surah-surah
lazim dari Juzuk amma ini ialah surah ad-Dhuha. Merupakan surah yang ke-93
dengan ayatnya sebanyak 11 ayat. Isu utama yang diperkenalkan adalah isu kasih sayang Allah kepada nabi saw, isu
nikmat dan anugerah-Nya kepada ummah yang setia bersama-sama ajaran nabi saw.
Diikuti selepas itu, surah al-Insyirah yang membawa bersama-samanya 8 ayat,
surah yang ke-94 membawa isu anugerah Allah kepada kekasih-Nya saw dan isu
khabar gembira tentang masa kemenangan makin hampir. Kemudian dibawa pula surah
at-Tiin, merupakan surah yang ke-95, juga mempunyai 8 ayat dan isu yang cuba
diketengahkan ialah isu tiga nabi as yang agung dibawa sebagai model kehidupan
dan isu ciptaan manusia, baik dan buruk dalam perjalanan hidupnya.
Surah al-‘Alaq merupakan surah ke-96 daripada
siri surah-surah lazim. Ayatnya sebanyak 19 ayat dengan membawa isu ciptaan
manusia dan kaedah perolehan ilmu serta sikap sebahagian manusia yang kufur
ingkar kepada Pencipta. Selepasnya surah al-Qadr, iaitu surah yang ke-97 dengan
isu malam al-Qadr dan kemukjizatan al-Quran. Ayatnya sebanyak 5 ayat. Kemudian
didatangkan pula surah al-Bayyinah dengan 8 ayat yang merupakan surah yang
ke-98. Isu keikhlasan dalam beribadah dan pembahagian manusia: baik dan jahat
serta kesudahan kedua-dua pihak mereka menjadi tema utama surah ini.
Seterusnya surah al-Zalzalah yang merupakan
surah yang ke-99 dengan membawa isu hari kebangkitan dan timbangan amalan: baik
dan buruk menerusi 8 ayat yang ada di dalam surah ini. Manakala surah
al-‘Adiyat, 11 ayat pula merupakan surah yang ke-100 dengan membawa isu hari
kebangkitan dan timbangan amalan: baik dan buruk. Hal ini diteruskan lagi
menerusi surah al-Qari’ah, sebanyak 11 ayat yang merupakn surah yang ke-101. Ia
mengajak manusia supaya membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi hari
kebangkitan dan ringan-beratnya sesuatu amalan.
Surah at-Takathur, merupaka surah yang ke-102
dengan 8 ayat membicarakan isu mengejar kemewahan dunia dan kesedaran apabila
dibangkitkan nanti. Diikuti dengan surah al-‘Asr, iaitu surah yang ke-103
dengan hanya 3 ayat, namun isu yang dibawanya terlalu penting iaitu berhubung
dengan kepentingan masa dan memberi fokus kepada kebenaran dan kesabaran.
Manakala surah al-Humazah pula mengambil isu pengumpulan harta dan ancaman
tentang azab api neraka. Surah ini merupakan surah yang ke-104, bersama-samanya
9 ayat.
Surah yang ke-105 adalah surah al-Fiil yang
mengandungi 9 ayat. Ia membawa isu balasan Allah ke atas rejim bergajah dan
kehancuran mereka apabila cuba mencabar keagungan Allah swt. Manakala surah
yang ke-106 pula adalah surah Quraisy yang mengandungi 4 ayat. Ia memperihalkan
isu perjalanan orang-orang Quraisy ke utara dan selatan, yang berhadapan dengan
ketakutan dan kelaparan. Demikian juga surah yang ke-107, iaitu surah al-Ma’uun.
Surah ni mengajak kita agar menjaga kepentingan anak yatim dan suka menganjur
makan-minum untuk golongan miskin serta jangan sekali-kali leka daripada
mendirikan solat.
Surah al-Kauthar, surah yang ke-108 dengan
hanya 3 ayat, tetapi membawa isu besar iaitu isu penganugerahan al-kauthar
oleh Allah kepada baginda saw dan dipohon agar bersyukur atas anugerah terbesar
itu. Manakala surah al-Kafirun pula memperihalkan isu ketegasan dalam bab akidah
dan adanya garis pemisah yang jelas antara Islam dan bukan Islam. Surah ini
memiliki 6 ayat dan merupakan surah yang ke-109. Manakala surah yang ke-110
pula adalah surah an-Nasr yang mempunyai hanya 3 ayat, namun membawa khabar
gembira kepada perjuangan Islam dan laluan dakwah yang diasaskan oleh Nabi saw,
iaitu isu pembukaan Kota Mekah dan kemasukan Islam secara beramai-ramai. Maka,
beristighfar dan bertasbih dengan sebanyak-banyaknya.
Surah al-Masad, iaitu surah ke-111, yang membawa
5 ayat yang memperihalkan isu balasan Allah ke atas penghalang agama Allah dan
ianya terjadi pada setiap zaman. Seterusnya surah ke-112, iaitu surah al-Ikhlas
yang mempunyai 4 ayat dengan membawa isu yang sangat penting dalam soal akidah,
iaitu isu keesaan Allah dan Allah tempat yang dituju untuk segala permintaan.
Allah tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Allah tiada satupun makhluk
yang menyamai-Nya. Kemudian diikuti dengan surah yang ke-113, iaitu surah
al-Falaq yang mempunyai 5 ayat dalam memperihalkan isu keperluan untuk berlindung
dengan Allah dari sebarang mara bahaya hasil tindakan jahat pendengki.
Sementara surah yang terakhir, iaitu surah yang ke-114, yang juga merupakan
surah penutup kepada kitab suci al-Quran yang bertigapuluh juzuk ini membawa
bersama-samanya 6 ayat. Sudah semestinya surah ini memperihalkan penganggu
utama kepada umat manusia iaitu syaitan yang suka membuat pelbagai bisikan ke
hati-hati manusia. Maka itu, surah ini menjelaskan peri pentingnya keperluan
untuk memohon perlidungan Tuhan daripada sebarang gangguan dan bisikan syaitan
ke lubuk hati manusia.
Semoga tafsir ini mampu membuka minda kita untuk terus
mendampingi al-Quran, membaca dan beramal dengan saranan yang dikemukakan. Semoga
Allah menganjarkannya kepada guru kita dan kita semua dengan sebaik-baik
ganjaran dari-Nya.
Buku-buku Tafsir Terbitan Darul Waqie
Ini adalah sebahagian daripada buku-buku tafsir keluaran kami untuk dijadikan bahan bacaan ke arah memahami al-Quran al-Karim.
Wednesday, August 12, 2020
Prakata Surah ad-Dukhan
Prakata
بسم الله
الرحمن الرحيم
حمدا لك اللهم بك المعونة والتوفيق، ومنك الهداية لأقوم
الطريق، وبفضلك نطلب يقينا يملأ القلوب، فإنك الملجأ والنصير، وصلاة وسلاما على
محمد عبدك ورسولك الذي آتيته الحكمة وفصل الخطاب، وعصمته من الخطأ وألهمته
الصواب، وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسن
إلى يوم المآب. وبعد،
Mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan guru kami, Sheikh Khalid bin
Sheikh Ibrahim al-Ibyari rahimahullah yang telah berjaya menyiapkan tafsiran surah
ad-Dukhan ini pada pada hari Rabu 26/10/2016 Masihi bersamaan 2 safar
1438H. Syukur, Alhamdulillah.
Semasa tafsir ini
diterbitkan, Tuan Sheikh Khalid telah dijemput Ilahi pada 6hb Januari 2020 (al-Fatihah), semoga Allah
menempatkan al-marhum bersama para solihin dan siddiqin. Moga tulisan ini
menjadi Sodaqatun Jariah dan karamah ilmiah buat beliau dan keluarganya.
Ad-Dukhan. Demikianlah surah ini dinamakan sempena
perkataan ad-Dukhan yang disebut dalam ayat ke-10 dalam surah tersebut. Surah
ad-Dukhan adalah antara Surah Makkiyyah yang diturunkan di kota Mekah
bagi membahaskan isu aqidah, membetulkan aqidah yang telah berdarah daging
dalam diri masyarakat Arab di kala itu. Selain itu, surah ini turut
membicarakan isu utusan Allah dan Kitab yang diturunkan serta perhitungan tentang
hari kebangkitan.
Susunan ayat-ayat sebanyak 59 ayat ini tersusun begitu
indah. Dimulakan dengan pengisahan tentang al-Quran. Dari segi kefungsiannya,
al-Quran bertindak sebagai pemandu arah dan penunjuk jalan. Ia diterima secara
mutlak tanpa sebarang kekurangan mahupun kecacatan. Al-Quran diturunkan pada
waktu malam yang sunyi dan damai serta dihiasi keberkatan. Namun, ianya
bertindak amat tegas, tanpa ada sebarang kompromi, khususnya dalam meletak
garis panduan dan batu sempadan antara kebenaran dan kepalsuan, dengan penuh
kebijaksanaan. Mana mungkin, sesuatu yang amat bernilai, tiba-tiba penceritaannya
penuh dengan dongeng dan khurafat serta kebatilan. Mana mungkin ini boleh
terjadi!
Itulah sebesar-besar RAHMAT dari Tuhan kamu yang Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui akan segalanya.
Seterusnya surah ini menceritakan siapakah Tuhan yang
menurunkan al-Quran ini. Rupa-rupanya, ia datang dari Tuhan yang terlalu agung
untuk kita sembah, pemilik petala langit dan bumi serta isi antara
kedua-duanya. Bukan itu sahaja, bahkan Tuhan yang berkuasa menghidup dan
mematikan makhluk sekaliannya. Semua itu dalam genggaman-Nya.
Sebenarnya, itulah Tuhan kamu yang sebenar-benarnya.
Tuhan kepada nenek moyang kamu yang terdahulu. Dialah yang mencipta, menjaga,
menghidup dan mematikan nenek moyang kamu yang terdahulu. Alangkah hebatnya
Tuhan ini. Maka itu, janganlah pula kamu sengaja timbulkan kecelaruan dalam
aqidah kamu itu.
Bimbang sangat-sangat nanti kamu akan terpedaya. Hidup
dengan penuh kealpaan. Tenggelam dalam permainan dunia yang kamu itu
kadang-kadang sebagai tok dalangnya, tanpa kamu sedari, rupanya di belakang
kamu itu, terdapat satu zat yang terlalu agung. Semua makhluk akur dan tunduk
taat kepada-Nya. Sedangkan kamu pula masih mendabik dada mendongkak ke angkasa
sambil berkata: “Akulah segala-galanya”.
Tunggulah! suatu ketika nanti, langit yang membiru dan
awan yang memutih itu tidak kekal lama. Akan muncul secara tiba-tiba ASAP yang
menyumbat ke telinga kamu, memedihkan biji mata kamu, menyakitkan kerongkong
kamu serta menyumbat lubang hidung kamu. Pada kala itu, ke mana arah hala tuju
kamu, ke mana nafsu rakus yang meraja dalam diri itu hendak dibawa. Semuanya
terhenti secara tiba-tiba. Sudah pasti, bukan atas kehendak kamu. Namun, atas
kehendak Penguasa, yang menguasai dunia dan akhirat, yang ditangannya langit
dan bumi patuh dan taat.
Alhamdulillah. Syukur kerana kamu cepat sedar dari buaian
dunia yang melekakan. Sedar dan kembali taat. Sedar dan rasa diri bernasib baik
kerana apa yang diceritakan masih belum terjadi.
Nah! Kamu masih ada peluang dan ruang untk kendurkan
kerakusan nafsu itu. Kamu masih ada nafas iman dan keyakinan untuk kembali
kepada Tuhan yang menghidup dan mematikan itu. Lantas itu, kamu terus menadah
tangan lalu berdoa: “Ya Rabb, lepaskanlah kami daripada azab pedih yang
menyeksakan diri kami ini, kerana kami benar-benar insaf dan yakin untuk
kembali kepada mentaati-Mu”.
Namun begitu, masih terdapat dalam kalangan manusia yang
berdegil dan berlagak sombong. Baginya, dialah dia, tanpa ada dia yang lain
selain dia. Heran sungguh gelagat spesies seperti ini. Padahal, perkara yang
paling lemah, melekat pada dirinya pun, dia tidak mampu untuk melawannya.
Lihatlah kelopak mata yang turun dan naik. Turun untuk menutup mata dan naik untuk
membuka mata. Kelopak yang begitu ringan itupun tidak mampu untuk tuan badan
menguasainya. Kelopak itu lebih akur dan lebih taat atas perintah Tuhan yang
menjadikannya. Bila sampai masa, kelopak mata itu akan turun dan tamatlah
riwayat hidupnya.
Betulkah itu penghujung laluan usianya? Ohh! Tidak
sama sekali. Perjalanannya masih jauh. Beliau hanya melepasi sehari dua
daripada safaran yang panjang. Maka itu, diutuskan seorang rasul bagi
membimbing dan menunjuk arah, agar perjalanan yang jauh itu selamat dan berjaya.
Namun, terasa sedih sangat-sangat, mereka terus berpaling tadah dan
berbisik-bisik sesama mereka sambil berkata: “Kita ini diajar oleh seorang yang
gila lah”.
Jika demikian perangai mereka, maka tunggulah nanti
apa yang akan terjadi. Hari penghujung segala hari. Dunia yang begini indah
akan tersadai dan langit akan runtuh serta bukit bukau menjadi ‘gila’ dan
mabuk. Pada waktu itu, barulah mereka sedar dan insaf. Mereka perlu ingat, di
kala itu, tiada lagi pertolongan dan bantuan serta bimbingan dari penunjuk
jalan tadi. Biarlah mereka hanyut tenggelam dan binasa angkara kesombongan
mereka sendri, tidak mahu mendengar teguran dan sikitpun tak masuk untuk
dinasihati. Ingat! Tuhan kamu itu bersifat Muntaqim, iaitu ‘Pembalas
Dendam’. Dia mencatat dan merekod segala kesalahan yang kamu lakukan. Dia
bertindak balas dengan satu azab yang kamu pasti tak akan mampu menanggungnya.
Jika tidak
percaya, kamu lihatlah apa yang telah dilakukan oleh-Nya ke atas kaum Firaun
yang datang awal sedikit daripada kamu. Firaun tadi engkar dan berlagak
sombong, terus mencabar utusan Tuhan kamu. Utusan Tuhan kamu itu telah diganggu
dan disakiti, maka utusan itu (Musa as) berdoa kepada Tuhannya dengan berkata:
“Ya Allah! Mereka ini terlalu kejam”.
Ermmm! Tibalah saat Tuhan kamu bertindak. Lalu diminta
utusannya itu berlalu pergi merentasi laut yang terbentang luas, sebagai
menunjukkan bahawa permainan Allah bukan main-main apabila bertindak balas.
Terus di lapangan dan dicabar siapakah yang mampu menyelamatkannya apabila
Tuhan kamu bertindak balas. Akhirnya keangkuhan Firaun itu tersungkur lemas ke
dasar laut. Sengaja Tuhan kamu memilih laut untuk dijadikan medan pertempuran.
Ini kerana air yang di darat, kamu dapat kawal dan mampu membentengnya untuk
dijadikan empangan. Bahkan, kamu mampu menggunakan air itu untuk pelbagai acara
mengikut kesukaan hati kami. Sehingga Firaun pernah berkata bahawa air sungai Nil
itu mengalir atas arahan dan perintah daripadanya.
Nah! Jika benar-benar air itu di bawah kuasa jajahanmu,
marilah bertarung dengan air yang melaut biru ini. Sedangkan Firaun itu seorang
yang kuat, bala tenteranya ramai dan zon jajahannya luas. Bukan itu sahaja,
mereka terus menyombong dengan harta kekayaan yang mereka miliki, nikmat kemewahan
dunia tak habis nak dimakan, tujuh keturunan pun tak luak.
Namun ternyata, dia silap. Dia ditewaskan dengan cara
yang amat memalukan. Senjata (air) yang mereka agungkan itu memakan tuannya
sendiri. Bahkan air yang mematikan Firaun itulah memdukungnya ke persisiran
pantai. Ini sebagai pengajaran kepada kamu yang mendengar cerita ini. Usahlah dilawan
utusan rasul kamu itu. Akibatnya terlalu tragedis. Kamu akan dikuburkan dengan
begitu hina sekali. Manakala anak cucu kamu kelak, akan kenang kamu sebagai insan
yang terlalu dayus dan durjana kerana sanggup mengigit tangan yang menyuapkan
makanan dan susu.
Usahlah wahai kaum Quraisy, kamu terus menerus
mencabar dan mendustakan utusan Tuhan kamu itu. Memang benar, utusan itu tiada
menjanjikan emas berlian yang kamu harapkan, tiada intan permata dan mahligai
indah yang diberikan, tiada juga saliran air sungai dalam kebun kurma kalian. Namun,
utusan itu terlalu jujur, terlalu benar dan terlalu sayangkan kamu.
Tetapi, kamu terus menerus lupa daratan, hanyut di bawah
kemewahan nafsu yang rakus, dihilirkan aruskan untuk hidup seumpama binatang
buas, memakan mangsa tanpa mengira belas ihsan, menanduk, mengigit dan
mencengkam sesukanya. Ingatlah! Wahai kaum Quraisy, jika itu pilihan kamu, maka
Tuhan kamu juga tiada pilihan, kecuali bertindak ke atas kamu sebagaimana Tuhan
inilah juga yang pernah bertindak ke atas Firaun dan kuncu-kuncunya.
Bahkan, langit dan bumi juga turut bertindakbalas. Sikitpun
tak ada rasa kesian belas ke atas kamu, apabila Tuhannya telah bertindak,
sehinggakan untuk ucapkan selamat jalan pun tak teringin. Lagikan pula untuk
menitiskan air mata perpisahan. Sedihlah! jika ini terjadi. Sedarlah
cebat-cepat sebelum terlambat.
Wahai kaum Quraisy, jadilah semacam kaum Bani Israel
yang Tuhan selamatkan. Mereka dengar cakap nabi mereka. Tak inginkah kamu agar
Tuhan kamu selamatkan kamu sebagaimana yang dilakukan untuk Bani Israel?
Setiap hari, kamu menyakitkan Rasul yang diutuskan
kepada kamu ini. Setiap hari itu jugalah kamu memperlekehkannya, mencaci dan
mengherdik dengan pelbagi lontaran ayat-ayat sial kepadanya. Tak takutkah kamu
haa!
Apabila Rasul kamu memperihal akan adanya suatu kehidupan
lagi selepas hidup ini, maka kamu mula mencabarnya agar dihidupkan nenek moyang
kamu yang telah mati itu. Bahkan Ubai bin Khalaf sanggup patah-patahkan tulang untuk dicabar agar dihidupkan tulang belulang
ini kembali menjadi seekor binatang (ayat 78: Yaasin). Adakah kamu rasa diri
kamu itu kuat sangat untuk dibandingkan dengan kaum terdahulu, kaum ‘Aad, kaum Thamud,
kaum Tubba’. Jika dihitung dari segi kekuatan, kekuatan kamu tak sampaipun satu
persepuluh daripada kekuatan mereka (ayat 45: Saba’ ).
Sedarlah! Gunalah panca indera kamu yang waras itu,
mata untuk memerhati, telinga untuk mendengar, hidung untuk membau, tangan
untuk merasa dan mulut untuk memamah. Aktifkan semula panca indera kamu itu
sehingga ia betul-betul berfungsi dengan penuh bermakna sekali.
Sedarkah kamu yang Tuhan kamu itu tidak sekali-kali
menjadikan langit dan bumi itu tanpa ada hadafnya? Tujuan yang terbesar
adalah untuk menunjukkan bahawa di sebalik langit yang membiru dan bumi yang
menghijau ini, ada satu kuasa yang terlalu mutlak dan terlalu agung. Bahkan
langit dan bumi serta isi antara kedua-duanya adalah milik-Nya. Waraskanlah
minda kalian agar dapat berfikir dengan baik.
Sememangnya, hidup selepas kehidupan ini suatu yang
benar. Rasul yang diutuskan kepada kamu itu tidak sekali-kali bercakap bohong,
apatah lagi untuk menipu kamu. Kamu tahu tak! Pada hari itu tiada siapa lagi
yang dapat membantu kamu. Hiduplah kamu seorang diri tanpa bantuan dan
pertolongan dari yang lain. Mungkin kamu kata tak kisah, kerana di dunia inipun
kamu boleh hidup tanpa bergantung kepada sesiapa pun!.
Hai manusia! Sedar tak kamu, pada hari hidup kembali
itu, kami tiada punyai apa-apa lagi, keadaan yang penuh huru-hara dan kelam-kabut
serta gegak-gempita. Tiada siapa yg akan menegur sapa. Tuhan kamu lagilah,
tidak sekali-kali memandang ke arah kamu untuk timbul rasa belas kasihan kepada
kamu. Duduklah kamu di situ dalam keadaan panas terik, tiada seluar kain untuk
dipakai, tiada air makan untuk disuapkan dan tiada bayang untuk berteduh,
sebagaimana yang kamu kehendaki masa di dunia dahulu. Nak baju ada baju. Nak
makan ada makanan. Nak tidur ada katil dan pendingin hawa. Nikmatnya hidup kamu
yer!.
Syukur Ya Allah, kerana masukkan kami dalam kalangan
orang-orang yang menerima RAHMAT dari-Mu.
Kesian puak tadi, menjerit-jerit kehausan dan
kelaparan. Dahulu orang sudah cakap, tetapi sombong bagai nak rak. Nah! Rasalah
‘keenakan’ buah zaqqum, yang apabila dikunyah dan ditelan, ianya terlalu panas,
mendidih dan melebur perut usus kamu, mengelegak dalam perut semacam tembaga
cair yang dipanaskan. Aduuh! Sakitnya tuan.
Ingat tak lagi, Tuhan yang bersifat Muntaqim
tadi, tindakannya setakat ini belum puas lagi, lalu diarahnya para penjaga neraka
sambil menyuruh: “Rentaplah mereka dan seretkan ketengah api neraka yang
menjulang-julang itu, kemudian simbahkan ke kepala mereka air panas yang
mendidih, biar mereka rasakan”. Rasalah kata Tuhan kerana dahulu kamu ini
orang-orang mulia dan disanjung tinggi hidup mu itu.
Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kami terlepas.
Tidak boleh hendak dibayangkan, jika kamipun terlibat sama berkongsi azab
dengan mereka. Syukur Ya Rabb. Syukur.
Benarlah janji-Mu untuk memasukkan kami yang beriman
ini ke dalam syurga-Mu. Kami disediakan taman-taman yang indah permai dan mata
air yang mengalir segar. Kami rindukan suasana itu Ya Rabb.
Bukan itu sahaja, dibekalkan kepada kami pakaian
berlilitkan sutera halus yang begitu enak dipakai, sambil duduk-duduk
bersembang riang. Dipertemukan pula dengan bidadari syurga yang entah bagaimana
rupa jelitanya. Apa sahaja yang terlintas di fikiran kami, tiba-tiba terlihat
muncul di hadapan kami.
(وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي
صَدَقَنَا وَعْدَهُ وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ
نَشَاءُ ۖ فَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ) (az-Zumar:74)
Syukur Ya Rabb! kerana anugerahkan kami menerima
Anugerah Paling Cemerlang untuk kehidupan ini. Itulah yang dinamakan sebuah
KEMENANGAN YANG BESAR.
Semoga kupasan ini mampu membuka
minda kita untuk terus mendampingi al-Quran, membaca dan beramal dengan saranan
yang dikemukakan. Semoga Allah menganjarkannya kepada guru kita dan kita semua dengan
sebaik-baik ganjaran dari-Nya.
Editor
Ust Dr Mat Nawi bin Mat Jusoh
Usth Dr Surina binti Hj Hamed
& Ahli Darul Waqie










