Wednesday, August 12, 2020

Prakata Surah ad-Dukhan

 

Prakata

بسم الله الرحمن الرحيم

حمدا لك اللهم بك المعونة والتوفيق، ومنك الهداية لأقوم الطريق، وبفضلك نطلب يقينا يملأ القلوب، فإنك الملجأ والنصير، وصلاة وسلاما على محمد عبدك ورسولك الذي آتيته الحكمة وفصل الخطاب، وعصمته من الخطأ وألهمته الصواب،  وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسن إلى يوم المآب. وبعد،

Mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan guru kami, Sheikh Khalid bin Sheikh Ibrahim al-Ibyari rahimahullah yang telah berjaya menyiapkan tafsiran surah ad-Dukhan ini pada pada hari Rabu 26/10/2016 Masihi bersamaan 2 safar 1438H. Syukur, Alhamdulillah. 

Semasa tafsir ini diterbitkan, Tuan Sheikh Khalid telah dijemput Ilahi pada 6hb Januari 2020 (al-Fatihah), semoga Allah menempatkan al-marhum bersama para solihin dan siddiqin. Moga tulisan ini menjadi Sodaqatun Jariah dan karamah ilmiah buat beliau dan keluarganya.

Ad-Dukhan. Demikianlah surah ini dinamakan sempena perkataan ad-Dukhan yang disebut dalam ayat ke-10 dalam surah tersebut. Surah ad-Dukhan adalah antara Surah Makkiyyah yang diturunkan di kota Mekah bagi membahaskan isu aqidah, membetulkan aqidah yang telah berdarah daging dalam diri masyarakat Arab di kala itu. Selain itu, surah ini turut membicarakan isu utusan Allah dan Kitab yang diturunkan serta perhitungan tentang hari kebangkitan.

Susunan ayat-ayat sebanyak 59 ayat ini tersusun begitu indah. Dimulakan dengan pengisahan tentang al-Quran. Dari segi kefungsiannya, al-Quran bertindak sebagai pemandu arah dan penunjuk jalan. Ia diterima secara mutlak tanpa sebarang kekurangan mahupun kecacatan. Al-Quran diturunkan pada waktu malam yang sunyi dan damai serta dihiasi keberkatan. Namun, ianya bertindak amat tegas, tanpa ada sebarang kompromi, khususnya dalam meletak garis panduan dan batu sempadan antara kebenaran dan kepalsuan, dengan penuh kebijaksanaan. Mana mungkin, sesuatu yang amat bernilai, tiba-tiba penceritaannya penuh dengan dongeng dan khurafat serta kebatilan. Mana mungkin ini boleh terjadi!

Itulah sebesar-besar RAHMAT dari Tuhan kamu yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan segalanya.

Seterusnya surah ini menceritakan siapakah Tuhan yang menurunkan al-Quran ini. Rupa-rupanya, ia datang dari Tuhan yang terlalu agung untuk kita sembah, pemilik petala langit dan bumi serta isi antara kedua-duanya. Bukan itu sahaja, bahkan Tuhan yang berkuasa menghidup dan mematikan makhluk sekaliannya. Semua itu dalam genggaman-Nya.

Sebenarnya, itulah Tuhan kamu yang sebenar-benarnya. Tuhan kepada nenek moyang kamu yang terdahulu. Dialah yang mencipta, menjaga, menghidup dan mematikan nenek moyang kamu yang terdahulu. Alangkah hebatnya Tuhan ini. Maka itu, janganlah pula kamu sengaja timbulkan kecelaruan dalam aqidah kamu itu.

Bimbang sangat-sangat nanti kamu akan terpedaya. Hidup dengan penuh kealpaan. Tenggelam dalam permainan dunia yang kamu itu kadang-kadang sebagai tok dalangnya, tanpa kamu sedari, rupanya di belakang kamu itu, terdapat satu zat yang terlalu agung. Semua makhluk akur dan tunduk taat kepada-Nya. Sedangkan kamu pula masih mendabik dada mendongkak ke angkasa sambil berkata: “Akulah segala-galanya”.

Tunggulah! suatu ketika nanti, langit yang membiru dan awan yang memutih itu tidak kekal lama. Akan muncul secara tiba-tiba ASAP yang menyumbat ke telinga kamu, memedihkan biji mata kamu, menyakitkan kerongkong kamu serta menyumbat lubang hidung kamu. Pada kala itu, ke mana arah hala tuju kamu, ke mana nafsu rakus yang meraja dalam diri itu hendak dibawa. Semuanya terhenti secara tiba-tiba. Sudah pasti, bukan atas kehendak kamu. Namun, atas kehendak Penguasa, yang menguasai dunia dan akhirat, yang ditangannya langit dan bumi patuh dan taat.

Alhamdulillah. Syukur kerana kamu cepat sedar dari buaian dunia yang melekakan. Sedar dan kembali taat. Sedar dan rasa diri bernasib baik kerana apa yang diceritakan masih belum terjadi.

Nah! Kamu masih ada peluang dan ruang untk kendurkan kerakusan nafsu itu. Kamu masih ada nafas iman dan keyakinan untuk kembali kepada Tuhan yang menghidup dan mematikan itu. Lantas itu, kamu terus menadah tangan lalu berdoa: “Ya Rabb, lepaskanlah kami daripada azab pedih yang menyeksakan diri kami ini, kerana kami benar-benar insaf dan yakin untuk kembali kepada mentaati-Mu”.

Namun begitu, masih terdapat dalam kalangan manusia yang berdegil dan berlagak sombong. Baginya, dialah dia, tanpa ada dia yang lain selain dia. Heran sungguh gelagat spesies seperti ini. Padahal, perkara yang paling lemah, melekat pada dirinya pun, dia tidak mampu untuk melawannya. Lihatlah kelopak mata yang turun dan naik. Turun untuk menutup mata dan naik untuk membuka mata. Kelopak yang begitu ringan itupun tidak mampu untuk tuan badan menguasainya. Kelopak itu lebih akur dan lebih taat atas perintah Tuhan yang menjadikannya. Bila sampai masa, kelopak mata itu akan turun dan tamatlah riwayat hidupnya.

Betulkah itu penghujung laluan usianya? Ohh! Tidak sama sekali. Perjalanannya masih jauh. Beliau hanya melepasi sehari dua daripada safaran yang panjang. Maka itu, diutuskan seorang rasul bagi membimbing dan menunjuk arah, agar perjalanan yang jauh itu selamat dan berjaya. Namun, terasa sedih sangat-sangat, mereka terus berpaling tadah dan berbisik-bisik sesama mereka sambil berkata: “Kita ini diajar oleh seorang yang gila lah”.

Jika demikian perangai mereka, maka tunggulah nanti apa yang akan terjadi. Hari penghujung segala hari. Dunia yang begini indah akan tersadai dan langit akan runtuh serta bukit bukau menjadi ‘gila’ dan mabuk. Pada waktu itu, barulah mereka sedar dan insaf. Mereka perlu ingat, di kala itu, tiada lagi pertolongan dan bantuan serta bimbingan dari penunjuk jalan tadi. Biarlah mereka hanyut tenggelam dan binasa angkara kesombongan mereka sendri, tidak mahu mendengar teguran dan sikitpun tak masuk untuk dinasihati. Ingat! Tuhan kamu itu bersifat Muntaqim, iaitu ‘Pembalas Dendam’. Dia mencatat dan merekod segala kesalahan yang kamu lakukan. Dia bertindak balas dengan satu azab yang kamu pasti tak akan mampu menanggungnya.

 Jika tidak percaya, kamu lihatlah apa yang telah dilakukan oleh-Nya ke atas kaum Firaun yang datang awal sedikit daripada kamu. Firaun tadi engkar dan berlagak sombong, terus mencabar utusan Tuhan kamu. Utusan Tuhan kamu itu telah diganggu dan disakiti, maka utusan itu (Musa as) berdoa kepada Tuhannya dengan berkata: “Ya Allah! Mereka ini terlalu kejam”.

Ermmm! Tibalah saat Tuhan kamu bertindak. Lalu diminta utusannya itu berlalu pergi merentasi laut yang terbentang luas, sebagai menunjukkan bahawa permainan Allah bukan main-main apabila bertindak balas. Terus di lapangan dan dicabar siapakah yang mampu menyelamatkannya apabila Tuhan kamu bertindak balas. Akhirnya keangkuhan Firaun itu tersungkur lemas ke dasar laut. Sengaja Tuhan kamu memilih laut untuk dijadikan medan pertempuran. Ini kerana air yang di darat, kamu dapat kawal dan mampu membentengnya untuk dijadikan empangan. Bahkan, kamu mampu menggunakan air itu untuk pelbagai acara mengikut kesukaan hati kami. Sehingga Firaun pernah berkata bahawa air sungai Nil itu mengalir atas arahan dan perintah daripadanya.

Nah! Jika benar-benar air itu di bawah kuasa jajahanmu, marilah bertarung dengan air yang melaut biru ini. Sedangkan Firaun itu seorang yang kuat, bala tenteranya ramai dan zon jajahannya luas. Bukan itu sahaja, mereka terus menyombong dengan harta kekayaan yang mereka miliki, nikmat kemewahan dunia tak habis nak dimakan, tujuh keturunan pun tak luak.

Namun ternyata, dia silap. Dia ditewaskan dengan cara yang amat memalukan. Senjata (air) yang mereka agungkan itu memakan tuannya sendiri. Bahkan air yang mematikan Firaun itulah memdukungnya ke persisiran pantai. Ini sebagai pengajaran kepada kamu yang mendengar cerita ini. Usahlah dilawan utusan rasul kamu itu. Akibatnya terlalu tragedis. Kamu akan dikuburkan dengan begitu hina sekali. Manakala anak cucu kamu kelak, akan kenang kamu sebagai insan yang terlalu dayus dan durjana kerana sanggup mengigit tangan yang menyuapkan makanan dan susu.

Usahlah wahai kaum Quraisy, kamu terus menerus mencabar dan mendustakan utusan Tuhan kamu itu. Memang benar, utusan itu tiada menjanjikan emas berlian yang kamu harapkan, tiada intan permata dan mahligai indah yang diberikan, tiada juga saliran air sungai dalam kebun kurma kalian. Namun, utusan itu terlalu jujur, terlalu benar dan terlalu sayangkan kamu.

Tetapi, kamu terus menerus lupa daratan, hanyut di bawah kemewahan nafsu yang rakus, dihilirkan aruskan untuk hidup seumpama binatang buas, memakan mangsa tanpa mengira belas ihsan, menanduk, mengigit dan mencengkam sesukanya. Ingatlah! Wahai kaum Quraisy, jika itu pilihan kamu, maka Tuhan kamu juga tiada pilihan, kecuali bertindak ke atas kamu sebagaimana Tuhan inilah juga yang pernah bertindak ke atas Firaun dan kuncu-kuncunya.

Bahkan, langit dan bumi juga turut bertindakbalas. Sikitpun tak ada rasa kesian belas ke atas kamu, apabila Tuhannya telah bertindak, sehinggakan untuk ucapkan selamat jalan pun tak teringin. Lagikan pula untuk menitiskan air mata perpisahan. Sedihlah! jika ini terjadi. Sedarlah cebat-cepat sebelum terlambat.

Wahai kaum Quraisy, jadilah semacam kaum Bani Israel yang Tuhan selamatkan. Mereka dengar cakap nabi mereka. Tak inginkah kamu agar Tuhan kamu selamatkan kamu sebagaimana yang dilakukan untuk Bani Israel?

Setiap hari, kamu menyakitkan Rasul yang diutuskan kepada kamu ini. Setiap hari itu jugalah kamu memperlekehkannya, mencaci dan mengherdik dengan pelbagi lontaran ayat-ayat sial kepadanya. Tak takutkah kamu haa!

Apabila Rasul kamu memperihal akan adanya suatu kehidupan lagi selepas hidup ini, maka kamu mula mencabarnya agar dihidupkan nenek moyang kamu yang telah mati itu. Bahkan Ubai bin Khalaf sanggup patah-patahkan tulang  untuk dicabar agar dihidupkan tulang belulang ini kembali menjadi seekor binatang (ayat 78: Yaasin). Adakah kamu rasa diri kamu itu kuat sangat untuk dibandingkan dengan kaum terdahulu, kaum ‘Aad, kaum Thamud, kaum Tubba’. Jika dihitung dari segi kekuatan, kekuatan kamu tak sampaipun satu persepuluh daripada kekuatan mereka (ayat 45: Saba’ ).

Sedarlah! Gunalah panca indera kamu yang waras itu, mata untuk memerhati, telinga untuk mendengar, hidung untuk membau, tangan untuk merasa dan mulut untuk memamah. Aktifkan semula panca indera kamu itu sehingga ia betul-betul berfungsi dengan penuh bermakna sekali.

Sedarkah kamu yang Tuhan kamu itu tidak sekali-kali menjadikan langit dan bumi itu tanpa ada hadafnya? Tujuan yang terbesar adalah untuk menunjukkan bahawa di sebalik langit yang membiru dan bumi yang menghijau ini, ada satu kuasa yang terlalu mutlak dan terlalu agung. Bahkan langit dan bumi serta isi antara kedua-duanya adalah milik-Nya. Waraskanlah minda kalian agar dapat berfikir dengan baik.

Sememangnya, hidup selepas kehidupan ini suatu yang benar. Rasul yang diutuskan kepada kamu itu tidak sekali-kali bercakap bohong, apatah lagi untuk menipu kamu. Kamu tahu tak! Pada hari itu tiada siapa lagi yang dapat membantu kamu. Hiduplah kamu seorang diri tanpa bantuan dan pertolongan dari yang lain. Mungkin kamu kata tak kisah, kerana di dunia inipun kamu boleh hidup tanpa bergantung kepada sesiapa pun!.

Hai manusia! Sedar tak kamu, pada hari hidup kembali itu, kami tiada punyai apa-apa lagi, keadaan yang penuh huru-hara dan kelam-kabut serta gegak-gempita. Tiada siapa yg akan menegur sapa. Tuhan kamu lagilah, tidak sekali-kali memandang ke arah kamu untuk timbul rasa belas kasihan kepada kamu. Duduklah kamu di situ dalam keadaan panas terik, tiada seluar kain untuk dipakai, tiada air makan untuk disuapkan dan tiada bayang untuk berteduh, sebagaimana yang kamu kehendaki masa di dunia dahulu. Nak baju ada baju. Nak makan ada makanan. Nak tidur ada katil dan pendingin hawa. Nikmatnya hidup kamu yer!.

Syukur Ya Allah, kerana masukkan kami dalam kalangan orang-orang yang menerima RAHMAT dari-Mu.

Kesian puak tadi, menjerit-jerit kehausan dan kelaparan. Dahulu orang sudah cakap, tetapi sombong bagai nak rak. Nah! Rasalah ‘keenakan’ buah zaqqum, yang apabila dikunyah dan ditelan, ianya terlalu panas, mendidih dan melebur perut usus kamu, mengelegak dalam perut semacam tembaga cair yang dipanaskan. Aduuh! Sakitnya tuan.

Ingat tak lagi, Tuhan yang bersifat Muntaqim tadi, tindakannya setakat ini belum puas lagi, lalu diarahnya para penjaga neraka sambil menyuruh: “Rentaplah mereka dan seretkan ketengah api neraka yang menjulang-julang itu, kemudian simbahkan ke kepala mereka air panas yang mendidih, biar mereka rasakan”. Rasalah kata Tuhan kerana dahulu kamu ini orang-orang mulia dan disanjung tinggi hidup mu itu.

Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kami terlepas. Tidak boleh hendak dibayangkan, jika kamipun terlibat sama berkongsi azab dengan mereka. Syukur Ya Rabb. Syukur.

Benarlah janji-Mu untuk memasukkan kami yang beriman ini ke dalam syurga-Mu. Kami disediakan taman-taman yang indah permai dan mata air yang mengalir segar. Kami rindukan suasana itu Ya Rabb.

Bukan itu sahaja, dibekalkan kepada kami pakaian berlilitkan sutera halus yang begitu enak dipakai, sambil duduk-duduk bersembang riang. Dipertemukan pula dengan bidadari syurga yang entah bagaimana rupa jelitanya. Apa sahaja yang terlintas di fikiran kami, tiba-tiba terlihat muncul di hadapan kami.

(وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاءُ ۖ فَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ) (az-Zumar:74)

Syukur Ya Rabb! kerana anugerahkan kami menerima Anugerah Paling Cemerlang untuk kehidupan ini. Itulah yang dinamakan sebuah KEMENANGAN YANG BESAR.

Semoga kupasan ini mampu membuka minda kita untuk terus mendampingi al-Quran, membaca dan beramal dengan saranan yang dikemukakan. Semoga Allah menganjarkannya kepada guru kita dan kita semua dengan sebaik-baik ganjaran dari-Nya.

 

Editor

Ust Dr Mat Nawi bin Mat Jusoh

Usth Dr Surina binti Hj Hamed

& Ahli Darul Waqie


No comments:

Post a Comment