Tuesday, August 27, 2013

Majalah INILAH ISLAM

Keluaran terkini.
Jika sesiapa berhajat, bolehlah berhubung dengan saya dengan harga RM10.00, termasuk belanja pos.

Tuesday, August 6, 2013

APABILA Kita Tidak Mahu Berubah

Perubahan  adalah suatu yang pasti. Samada kita mahu atau tidak, perubahan tetap mendatangi kita. Antara perubahan yang pasti mendatangi kita ialah perubahan masa. Dulu kanak-kanak, kini sudah menjadi remaja. Dulu kita kuat, kini kita telah mula menampakkan alur ketuaan.

Perubahan masa yang saya utarakan adalah suatu perubahan yang tidak memerlukan penat lelah untuk mempertahankannya. Sebaliknya amat berbeza dengan perubahan minda.

Mari kita cuba kupaskan isu terkini yang sibuk dibicarakan meskipun ianya tidaklah menjadi sesuatu yang dasar dalam perbahasan ilmiah. Isu menyentuh anjing dan mempersendakan agama, sehingga memaksa para perunding JAKIM mengeluarkan hujjah dan mencari hukum tentangnya.

Mari kita memahami adat orang Melayu. Orang Melayu lebih sensitif dengan anjing daripada menutup aurat. Orang Melayu begitu elergik dengan babi berbanding meminum arak. Bagi orang Melayu, seorang yang menyentuh anjing boleh membawa kepada haram. Bahkan mampu menggugat aqidah mereka. Itu tanggapan kita orang Melayu.

Sedarkah kita, ini bukannya hukum Islam ? Ini adalah hukum orang Melayu yang bercampur-aduk antara adat dan ibadat. Akhirnya perkara yang haram, tidak jadi haram dan sensitif. Sebaliknya, perkara yang halal pula,  boleh bertukar menjadi haram menurut adat pusakan orang Melayu.

Ini adalah berpunca daripada kedangkalan ilmu agama. Kedangkalan ini pula berpunca daripada kita yang malas membaca. Kita lebih suka mendengar dan menurut secara membabi buta.

Saya bukanlah penyokong kepada isu video yang dihebohkan. Namun, jika pembuat video itu sememangnya berhasrat untuk menghina Islam, maka hukumnya adalah haram. Bukan sahaja dengan anjing, hatta menggunakan mimbar dan masjid sekalipun, jika ia bertujuan untuk menghina Islam, maka hukumnya adalah haram.

Kembali kepada cerita orang Melayu begitu jijik dengan anjing. Pernah di kala saya kanak-kanak dahulu mengejar dan menghalau anjing apabila ia memasuki kampung halaman. Kejar dan membaling batu ke arahnya, sehingga anjing itu ‘bercudar’ lari menyelamatkan diri. Betapa peliknya tindakan kami di kala itu. Apakan daya, pemikiran kami berada pada tahap itu.

Dari itu, kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita terhadap sesuatu isu agar ia bersessuaian dengan kaca mata Islam tanpa dicemari unsur kemelayuan yang memesong fakta sebenar.

Ini bukan bermakna saya anti kepada Melayu. Mana mungkin, saya orang Melayu, mak ayah sayapun Melayu, maka sudah pasti saya berbangga dengan kemelayuan ini. Namun, apabila fahaman Islam menjengah minda kita, maka di kala itu kita hendaklah dan mesti melebihkan Islam dalam segala perkara. Dalam bahasa mudah, Melayu mesti ikut Islam, bukannya Islam ikut Melayu. Jika kita memaksa Islam supaya mengikuti adat Melayu kita, maka punahlah Islam tadi dan rosak kesucian agama.

Lihatlah apa yang berlaku apabila hari raya menghampiri. Orang Melayu mula sibuk balik ke kampung untuk bertemu sanak-saudara. Islam tetap menyuruh kita bersilatul rahim, namun fahaman hari raya telah terpesong. Hari raya mesti ada mercun, hari raya mesti ada kuih-muih, hari raya mesti terkenang ibu ayah, hari raya mesti ziarah kubur dan sebagainya. Dan lagi parah, hari raya mesti bersukaria dan berhibur kerana hari-hari lapar telah berlalu.

Sememangnya Islam menyuruh kita untuk bergembira sempena menyambut hari raya. Namun bergembira sebagai tanda bersyukur atas nikmat pemberian. Bersyukur kerana kita telah mengembalikan diri kita kepada fitrah. Dalam contoh mudah, selama sebulan kereta kita dibawa ke workshop untuk dibaiki dan diperbetulkan serta diganti mana-mana alatan yang rosak agar kereta kita itu sebaris dengan kereta yang baharu keluar dari kilang.

Lantaran itu maka kita bersyukur.

Namun sedihnya, orang Melayu kita tidak  mengambil konsep raya tersebut sepenuhnya. Sebaliknya hanya mengambil kotak, isi dalamnya ‘ditohok’. Akhirnya dapatlah kita berhari raya kerana kita mahu beraya mengikut adat budaya kita. Kita berbangga pula kerana datuk nenek kita berbuat demikian.  Demikianlah sambutan perayaan kita dari setahun ke setahun tanpa menghampiri gariasan Islam yang diturunkan.

Ini berpunca daripada minda kita yang malas berubah dan malas pula membaca. Sebagaimana isu anjing tadi. Sampai bilakah kita akan memebenci kepada anjing ? dan sampai bilakah pula anjing begitu jijik dalam diri kita orang Melayu? adakah ia sejijik tidak menutup aurat ? atau adakah ia sejijik berjudi dan meminum arak ?

Marilah kita mengubah minda untuk berbahas tentang isu pokok berbanding memerah otak menghabiskan masa untuk isu cabang seumpama ini.

Perbahasan isu ‘juziayyat’ seperti ini menjadikan kita beranggapan Islam teramat sempit. Lihatlah bagaimana bala yang menimpa puak Bani Israel apabila berbicara tentang lembu. Mereka telah memasuki isu furu’ sehingga menyusahkan mereka sendiri. Jika di peringkat awal mereka menurut apa yang diminta oleh nabi Musa a.s., maka sudah pasti lembu itu tidaklah menjadi kesukaran bagi mereka kerana lembu itu banyak dan mudah pula dicari. Namun, apabila mereka bertanya, dan setiap pertanyaan mereka telah menambahkan lagi syarat yang baharu, maka akhirnya mereka terpaksa mencari seekor lembu yang muda berwarna kuning keemasan dan tidak pula digunakan untuk membajak. Inilah yang kita katakan sebagai sengaja mencari bala.

Oleh itu, Islam yang kita anuti ini, usahlah kita sucikan ia dengan meletakkan di dalam almari kaca, lalu dikunci dan digril, dilarang menyentuh dan sebagainya. Apabila ada orang yang cuba berbahas tentangnya, maka kita marah dan murka kepadanya.

Perlulah kita sedar bahawa Islam itu perlu keluar dari almari tersebut. Biarkan ia bebas menjalar di muka bumi untuk bertemu dengan sesiapa sahaja. Biarlah Islam dibahas dan diamal, bukannya dipuja dan diperasap apabila diperlukan.

Kembalikan hakikat Islam sebagai agama ilmu dan amal yang sudah pasti mampu menjanjikan keamanan dan kesejahteraan. Selagi mana kita menjauhkan diri dengan Islam, maka selagi itulah kita akan mencari bala dan kesengsaraan. Marilah kita hidup bersama Islam yang Allah SWT anugerahkan kepada kita ini.

Selamat berhari raya, semoga diampun segala dosa.

HUKUM Mengambil Vaksin

Pengertian Vaksin
Vaksin berasal dari bahasa latin, vaccinia (cacar sapi). Ia merupakan bahan antigen yang disuntik ke dalam tubuh bagi merangsangkan pengeluaran antibodi. Dengan adanya antibodi dalam kandungan darah kita, maka dapatlah ia menghalang serangan penyakit dan sekaligus memusnahkan bakteria yang memudharatkan tubuh kita. Dalam bahasa mudah, pengambilan vaksin ini akan bertindak sebagai kaedah pencegahan untuk menghasilkan kekebalan aktif terhadap sesuatu penyakit.

Penghasilan Vaksin
Ada beberapa cara penghasilan vaksin, iaitu :
1-    Menghasilkan vaksin hidup yang dibuat dari bakteria yang sudah dilemahkan daya virusannya.
2-    Mencipta vaksin yang dibuat dari bakteria  yang dimatikan dengan kaedah pemanasan.
3-    Vaksin yang dibuat dari beberapa jenis bakteria dengan memasukkan racun yang telah dilemahkan ke dalam aliran darah.
4-    Vaksin yang dibuat dari bahagian tertentu daripada haiwan atau tumbuhan dengan melakukan kloning dari gen virus atau bakteria melalui penyatuan DNA.

Namun apa cara sekalipun, pengambilan vaksin mempunyai tujuannya yang sama, iaitu menstabilkan fungsi tubuh tanpa menimbulkan kesan penyakit yang ada. Antara contoh vaksin yang telah dijumpai ialah vaksin campak, vaksin influenza, vaksin kolera, vaksin hepatitis B, vaksin meningitis dan sebagainya.

Hukum Mengambil Vaksin
Secara umumnya, vaksin tidaklah membahayakan. Sebaliknya, mampu memberi perlindungan bagi mengatasi pelbagai penyakit yang serius. Hukum mengambil vaksin tersebut adalah dibenarkan dan tidak pula bercanggah dengan tuntutan agama kerana ia termasuk dalam kategori penjagaan diri daripada penyakit sebelum penyakit tersebut menular.

Ini berdasarkan hadis sahih di bawah :
"مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَـمْ يَضُرَّهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ".
(رواه البخاري رقم الحديث 5445)
Bermaksud : Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma ajwah setiap hari, maka dia akan terhindar sehari itu dari racun dan sihir”. (HR Imam Bukhari)

Hadis ini, secara jelas mensyariatkan pengambilan ‘sebab’ untuk membenteng diri dari penyakit sebelum ia terjadi . Hukum mengambil pencegahan adalah sama halnya dengan hukum mendapatkan rawatan daripada sesuatu penyakit yang dialami.

Hukum Berubat Dengan Benda Haram
Perlu difahami bahawa haramnya sesuatu najis itu kerana zat atau sifat yang ada padanya. Namun apabila sifatnya telah berubah, maka hukumnya juga akan berubah. Seumpama haramnya meminum arak adalah kerana sifatnya yang memabukkan. Namun, apabila sebab (memabukkan) sudah tiada, maka hukumnya juga akan berubah. Oleh itu, hukum meminum air nira atau air tuak adalah diharuskan lantaran sifat arak yang memabukkan tadi sudah hilang.

Inilah kaedah yang digunapakai oleh para fuqaha apabila mereka menyebut :
"الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا".
Bermaksud : “Sesuatu hukum itu adalah berkait rapat dengan sebabnya wujud ataupun tiada”.

Begitu juga dengan kulit bangkai. Pada asalnya adalah haram digunakan. Namun apabila disamak, maka ianya bertukar menjadi harus. Lagipun perkara ini telah berubah menjadi suatu benda yang baharu. Oleh itu, hukum asal digunakan iaitu harus, selagi tiada dalil  yang menajiskannya atau mengharamkannya. Ini adalah pendapat mazhab Abu Hanifah, mazhab Maliki, mazhab Ahmad dan Zohiriah.

Istilah Darurat
Darurat adalah suatu keadaan terdesak untuk memberi keharusan terhadap perkara yang haram. Dengan merujuk kepada situasi dirinya, seandainya beliau tidak mengambil hal-hal yang haram itu, nescaya akan binasa dan mendapat bahaya yang lebih besar akan menimpa dirinya, hartanya dan kehormatannya. 

Dalam suatu kaedah fiqhiyah menyebut :
"الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الـمَحْظُورَاتِ".
Bermaksud : “Darurat itu membolehkan sesuatu yang dilarang”.
Oleh kerana itu al-Izzu bin Abdul Salam (Qawaid al-Ahkam) mengatakan:  Seandainya seorang itu terdesak untuk makan binatang yang haram, maka dia diharuskan memakannya sebab kerosakan jiwa dan anggota badan lebih besar daripada kerosakan memakan binatang yang haram tersebut”.

Sesungguhnya syariat Islam ini terbangun atas kemudahan. Terlalu banyak dalil yang mendasari hal ini, bahkan imam al-Syatibi (al-Muwafaqat) mengatakan : “Dalil-dalil tentang kemudahan bagi umat ini telah mencapai darjat yang pasti”.  Juga sebagaimana yang disebut oleh imam al-Syafie  : “Kaedah syariah di bangun atas dasar bahawa segala sesuatu apabila sempit akan menjadi luas”.

Hukum Berubat Dengan Benda Haram
Ada dua pendapat dalam bahagian ini : Pendapat pertama mengatakan haram dan ini adalah pendapat jumhur berdasarkan hadis di bawah :
فَقَالَ صلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "إنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ داَءٌ".(روى مسلم)
Bermaksud : “Sesungguhnya khamr itu bukan ubat melainkan penyakit” (HR Muslim).

Manakala berubat dengan perkara yang lain selain arak, terdapat perselisihan ulama : Pertama : Dibenarkan dalam keadaan darurat. Ini adalah pendapat Hanifiah, Syafieyah dan Ibn Hazm. Bercontohkan nabi s.a.w. membenarkan sutera  bagi orang yang terkena penyakit kulit. Sebagaimana Baginda s.a.w. juga membenarkan orang yang sedang berihram mencukur rambutnya apabila ada penyakit.

Kedua : Tidak boleh secara mutlak. Ini adalah pendapat Malikiah dan Hambaliah.

Ini berdasarkan hadis sahih di bawah :
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ  : "إنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ".(رواه أبو داود)
Bermaksud : “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubatnya, Dia menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan benda yang haram”.

Pendapat yang kuat
Pada asalnya tidak boleh berubat dengan benda-benda yang haram kecuali dalam keadaan darurat, iaitu apabila penyakit dan ubatnya memenuhi kriteria di bawah :
1-    Penyakit tersebut dari jenis penyakit yang harus diubati
2-    Benar-benar yakin bahawa ubat itu sangat bermanfaat pada penyakit tersebut
3-     Tidak ada pengganti lainnya yang mubah (harus).

Hukum Vaksin
Kebanyakan fatwa yang dikeluarkan ada menyebut :
1-    Penggunaan vaksin ini telah diakui manfaatnya oleh para doktor iaitu melindungi kanak-kanak dari cacat fizikal dengan izin Allah. Sebagaimana belum ditemui pengganti lainnya hingga sekarang. Oleh itu, penggunaan ubatan dan imunisasi hukumnya adalah dibenarkan.
2-    Dirtambah pula perkata ini termasuk dalam dalam kategori darurat, sedangkan tujuan pensyariatan adalah untuk membendung keburukan dan meraih kemanfaatan.

Petunjuk Nabawi
Kita semua maklumi bahawa jiwa dan semangat yang kuat akan lebih mudah bagi kita untuk menahan diri daripada penyakit yang mendatang. Ini jelas dengan hanya membaca surah al-Fatihah dapat mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya menyebut :
عَن جَابِرِ بْنِ عَبدِاللهِ، عَنِ النَّبيِّ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أنَّهُ قَالَ : "لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ". (رواه مسلم)
Bermaksud : Setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila ubat itu menepati sesuatu penyakit, maka akan disembuh dengan izin Allah S.W.T.” (HR Muslim)

Hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari dalam sahih mereka :
عَنْ عَطاءٍ، عَن أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ  صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "مَا أَنْزَلَ اللهُ مِنْ دَاءٍ إلاَّ أَنْزَلَهُ شِفَاءً".  (رواه الشيخان)
Bermaksud : Tidak sekali-kali Allah S.W.T menurunkan sesuatu penyakit melainkan bersama-samanya ada penawar”.  (HR al-Shaikhan)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Nabi s.a.w. menyebut perkataan ‘berbetulan’ antara penyakit dan ubatan. Ini kerana secara dasarnya bahawa setiap makhluk di alam ini hidup dan wujud secara berpasangan, maka begitulah hakikatnya rawatan, setiap penyakit akan berpasangan dengan ubatan.

Berdasarkan hadis tersebut juga memerintahkan kita supaya mencari ubatan dan tidak boleh dengan hanya berserah diri semata-mata. Ini sebagaimana tidak boleh menahan lapar, dahaga, sejuk, panas dan sebagainya dengan tidak berusaha mencari penyelesaiannya.

Sekiranya jalan usaha telah dicari, namun penyakit tidak juga sembuh, maka pada ketika itu hendaklah bergantung hati kepada Allah S.W.T. untuk mencari kebaikan dunia dan akhirat. Di samping menjauhkan diri daripada segala yang boleh merosakkan diri dan agama.

Di sini kita menolak pendapat yang beranggapan bahawa kita tidak perlu mencari ubat. Mereka berhujah, sekiranya sembuh itu taqdir daripada Allah S.W.T., maka kenapa kita perlu berusaha mencari ubat. Tambah mereka lagi, penyakit yang mendatang itu adalah taqdir daripada Allah S.W.T., maka siapalah kita untuk menolak atau melawan taqdir yang telah ditetapkan.

Persoalan seumpama ini hanyalah dikeluarkan oleh mereka yang dangkal ilmu agamanya. Sedangkan para sahabat r.a. yang begitu hampir dengan nabi s.a.w.  dan mereka yang lebih arif tentang hikmah sesuatu kejadian adalah jauh sekali untuk mengeluarkan ungkapan seumpama ini.

Kita boleh lagi bertanya kepada mereka yang meragui tentang ketentuan Ilahi ini dengan bertanya kepada mereka : Adakah cara ini akan menentukan seseorang itu mesti melakukan sesuatu sebab untuk memperolehi musababnya (hasilnya), samada baik maupun buruk ?. Ini kerana kebaikan atau keburukan apabila telah ditentukan, maka sudah pasti ianya akan terjadi.

Fahaman seumpama inilah yang akan merosakkan agama, dunia dan alam seluruhnya. Pemikiran seperti ini hanya luahan kata bagi mereka yang menolak dan menentang kebenaran sebagai hujah untuk mempertahankan kehendak mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-An’aam (6:148) :
.. öqs9 uä!$x© ª!$# !$tB $oYò2uŽõ°r& Iwur $tRät!$t/#uä .. ÇÊÍÑÈ
Bermaksud : “:..Jika Allah menghendaki, nescaya kami dan bapa-bapa kami tidak akan mempersekutukan-Nya..”.

Kesimpulan
Ringkasnya, Usaha mencari ubat dan membuat kajian terhadap sesuatu penyakit adalah dituntut dan digalakkan dalam agama kita. Apabila pesakit itu merasakan bahawa di hadapannya ada peluang untuk sembuh, maka hatinya akan sentiasa menaruh harapan dan menafikan perasaan berputus asa. Setelah hatinya bermotivasi dan bersemangat, maka akan bangkitlah perasaan dan kekautan rohaninya dan sekaligus akan menguatkan lagi jiwa untuk berhadapan dengan penyakit yang menimpanya.

Demikianlah halnya dengan doktor apabila beliau mengetahui bahawa di sana terdapat penawar kepada penyakit yang dialami oleh pesakitnya. Ini akan menggerakkan hatinya untuk berusaha dan mengkaji ubat-ubatan tersebut.

Maka itu, mengambil vaksin dan melakukan pencegahan diri daripada terkena serangan penyakit adalah juga bertepatan dengan kehendak syara’. Namun, jika vaksin tersebut mengandungi unsur-unsur yang diharamkan maka ianya dibenarkan demi mengelak daripada perkara yang lebih buruk daripada berlaku keatasnya. Dan pada masa yang sama tetap berusaha untuk mengkaji dan mengenal pasti ubatan yang baharu sebagai ganti yang ianya lebih baik dan halal dari segi agama kita. Wallahua’alam.

Tuesday, July 9, 2013

MEREKA UNTUNG, Kita Rugi..!?

Kini isu rampasan kuasa di Mesir hangat diperkatakan. Namun, ia telah dinafikan oleh pihak yang bertindak sebagai perampas tersebut. Sememangnya itulah yang menjadi pegangan sesetengah kita. Tiada siapapun yang mencuri, sanggup untuk dipanggil sebagai pencuri. Begitu juga seorang penyamun, akan marah apabila dirinya digelar sebagai penyamun. Meskipun, mereka tertangkap semasa menyamun. Lalu ditanya kepadanya, “Adakah awak menyamun?”, pasti jawapnya, “Ohh...tidak. Ini sekadar lakonan je”.

Mesir Bergolak
Demikianlah Mesir yang kembali bergolak. Dahulu Husni Mubarak menjadi ancaman kepada suara jalanan. Majoriti rakyat mula membeci kepadanya. Ingin Dihumban dan diterajang semahunya. Dikutuk dan dihina sekuat hati agar turun dan berundur. Akhirnya takhta menjadi milik rakyat, lalu dipilih Dr. Mohamed Mursi sebagai presiden yang baharu melalui jalan yang sah, iaitu proses pilihan raya.

Genap 1 tahun 5 hari, Presiden Dr. Mohamed Mursi memerintah sebagai Presiden ke-5 Republik Arab Mesir. Kini beliau telah digulingkan. Orang yang menggulingkannya pula dari kalangan mereka yang rapat dengannya. Juga daripada mereka yang telah diberi kepercayaan olehnya. Panglima tentera yang juga Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fatah al-Sisi. Kemudian diletakkan di bawah pemerintahan sementara, Adly Mansour yang juga orang kepercayaan Mursi.

Untung dan Rugi
Dalam situasi ini, mari kita berbicara tentang untung dan rugi. Siapakah yang untung, dan siapa pula yang rugi? Atau adakah di sana orang yang untung melimpah ruah, dan yang lain pula rugi lalu ditimpa malang?

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita melihat watak yang ditampilkan dalam pementasan ini. Watak utama yang terdiri daripada Jeneral Abdel Fatah al-Sisi, dibantu pula oleh Adly Mansour. Termasuklah Dr. Muhammad el-Baradei, ketua parti Dustur (perlembagaan) yang masih terkesan dengan bayangan Husni Mubarak. Watak sasaran pula ialah tuan Presiden, Dr. Mohamed Mursi.

Watak belakang tabir juga perlu ditonjolkan. Siapakah pelakon watak tersebut, sering bergerak di belakang tabir. Sekaligus bertindak sebagai penerbit kepada pementasan tersebut.

Berdasarkan skrip lakonan tersebut, Dr. Mursi akan berhadapan dengan cabaran dan halangan yang kuat demi mencapai situasi untung-untung kepada rakyat Mesir.

Kurang Kesabaran
Dek kerana kurangnya sifat sabar dan ammarah kegopohan telah mendominasi diri, maka putaran roda menjadikan situasi rugi-rugi telah berada di atas. Apa yang menghairankan kita, 30 tahun rakyat Mesir hidup dalam kesabaran di bawah rejim Mubarak, namun kini hanya 1 tahun mereka telah berdemo dan melahirkan rasa tidak puas hati. Mana mungkin, 30 tahun terjajah minda, kuasa dan maruah untuk bangkit dalam masa 1 tahun ? Mustahil.

Akibatnya, situasi ini menjanjikan rugi-rugi kepada rakyat Mesir. Perjalanan separuh jalan terhapus begitu sahaja. Mereka kembali ke pangkal jalan untuk menyelusuri jalan yang sama, atau laluan yang lebih sukar daripada sebelumnya.

Habuan Situasi
Mari kita menjawab persoalan, siapakah pula yang mendapat habuan daripada situasi ini? Habuan untung-untung. Sudah pasti keuntungan berpihak kepada mereka yang merangka skrip dan bertindak sebagai pengarah yang tersirat serta penerbit yang berbakat. Kekecohan umat akan diambil kesempatan oleh musuh yang sedari awal babak sudah mula memasang jerat, menghitung hari untuk menerkam dan teruja apabila jeratnya mengena.

Lantaran itulah, kita lihat beberapa pemerintah Arab secepat kilat mengucap syabas kepada tentera atas rampasan kuasa ini. Bagi para penguasa Arab, mereka cukup bimbang jika Mesir berada di bawah pemerintahan yang celik aqal dan aqidah. Kerana mereka yang celik ini akan bertindak pintar dan bijak demi kepentingan agama dan rakyat, bukannya menggaut keuntungan demi nafsu perut mereka semata-mata.

Sikap Penguasa
Bagi mereka, untuk terus menjadi penguasa dan bagi menjamin pula kelangsungan kuasa yang ada, maka rakyat perlu diperbodohkan. Inilah yang telah dilakukan oleh Firaun kepada rakyat Mesir semasa pemerintahannya. Rakyatnya pula akur dengan suruhan tersebut, kecuali ahli sihir apabila terpancar kebenaran di kala hari perlawanan menentang nabi Musi a.s, lantas para tukang sihir bangkit melawan dan menentang Firaun untuk berlaku taat dan patuh kepada nabi Musa a.s.

Hiburan Melalaikan
Antara langkah untuk memperbodohkan rakyat ialah dengan memberi sogokan hiburan dan keseronokan yang melalaikan mereka daripada berfikir untuk masa depan negara. Serahkan urusan negara hanya kepada mereka yang bertindak sebagai penguasa.

Mesir tidak pernah lupa kepada lagenda penyanyi pujaan mereka, Ummi Kalthum yang mengakibatkan bumi Mesir terhuyung-hayang bagaikan lalang dek kemerduan suaranya. Orang tua dan muda silih berganti menghiburkan diri.

Hasan al-Bana
Apabila al-Syahid Hassan Al-Bana mengejutkan igauan tersebut, maka penguasapun terus marah dan menjeling ke arahnya. Kesudahannya mereka membunuh pimpinan ikhwan Muslimin ini. Begitu juga al-marhum Syed Qutb hingga ke tali gantung. Namun, cengkaman ini kembali berfungsi. Penahanan dan tangkapan mula aktif. Barisan pimpinan yang bergerak dalam ikhwan telah dijadikan sasaran.

Mari kita tanya, adakah ini lumrah dalam kehidupan seorang pejuang ?

Lumrah Seorang Pejuang
Jawapannya mudah sahaja. Ini bukan sahaja lumrah sebagai pejuang, bahkan laluan Islam perlu menyelusuri denai-denai seumpama ini. Demikianlah pesanan Allah S.W.T bahawa laluan Islam tidak semudah yang kamu sangkakan. Jika ia dekat dan senang dikunjungi, pasti ramai yang mendatanginya, namun sebaliknya ia sukar dan jauh serta beronak duri.

Sememangnya Islam terbangun atas dasar ilmu dan ma’rifat. Sebaliknya, penguasa yang degil ini telahpun tewas untuk berhujah secara ilmiah, namun nafsu mereka masih membara dan mengatakan mereka tetap perlukan kemenangan. Lantaran itu, kuasa jahannam akan digunakan persis Firaun tanpa mempedulikan hakikat kebenaran.

Teguhlah Sebagaimana Diperintah
Untuk beristiqamah sebagaimana yang diarahkan adalah tema kepada kesempurnaan Islam. Mana mungkin, amalan Islam hanya berkisar di surau dan masjid serta majlis-majlis ilmu. Juga tidak mungkin Islam itu muncul di kala Ramadhan dan pada musim haji. Islam perlu berada di mana-mana, dan pada bila-bila masa sahaja. Ia perlu ditampilkan ketika kita berada dibendang dan di pejabat, ketika di kesesakan jalanraya dan di pilihanraya. Ia mesti muncul pada setiap tika dan waktu tanpa ada batasan sempadan dan garis waktu.

Puncak Daulah
Apabila Islam telah menggapai kemuncak daulah, maka di kala itu Islam mula menghampiri titik kesempurnannya. Amalan dari  al-Quran dan suruhan dalam al-Hadis akan diamalkan tanpa ada sekatan dan bantahan. Nah, di kala itu kita akan melihat Islam akan mentadbir, tidak lagi ditadbir. Islam akan menguasai, tidak lagi dikuasai. Islam akan mengatur, tidak lagi diatur. Apabila ini berjaya, maka pasti keamanan, ketenteraman dan keadilan akan tertegak. Jua terlaksanalah apa yang disebut sebagai negara yang subur dan Tuhan Yang Maha Pengampun.

Sudah pasti, situasi seumpama ini amat digeruni dan ditakuti oleh para penyamun dan perompak. Mana mungkin, darah daging mereka telah sebati sebagai penyamun, tiba-tiba ia dihalang dan disekat. Mereka akan marah dan murih. Tak cukup di situ, mereka akan mencari penyokong dan meminta simpati agar situasi ini tergendala.

Dek kebodohan yang lain, maka mereka turut serta dan percaya bahawa inilah cara keadilan akan dapat dikembalikan. Padahal, ia adalah suatu kezaliman dan penindasan yang akan menetas.

Demikianlah sikap penyamun, apabila tersepit, mereka akan bertukar watak sementara waktu untuk menjadi alim dan berpura-pura baik. Apabila jawatan telah diperolehi dan apa yang mereka inginkan telah diraih, kembalilah mereka ke alam yang sebenar iaitu sebagai penyamun.

Dr. Mohamed Mursi
Jelaslah kepada kita bahawa Dr. Mohamed Mursi telah menjadi mangsa kerakusan gerombolan tertentu yang ingin melihat umat Islam sentiasa bertelagah. Keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk bertindak hero dalam menyelesaikan masalah.

Kita masih belum serik dengan apa yang berlaku di Iraq. Mereka mencipta alasan untuk mencapai wawasan. Akhirnya Iraq musnah, sedangkan keuntungan hasil bumi Iraq mereka yang dapat.

Bumi Mesir akan menuju ke situ, jika rakyatnya tidak begitu pintar menilai keadaan. Kita juga perlu berawas lantaran corak Mesir mungkin terpantul sama ke negara kita. Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kita dan negara umat Islam amnya.