Perubahan adalah suatu yang pasti. Samada kita mahu atau tidak, perubahan tetap mendatangi kita. Antara perubahan yang pasti mendatangi kita ialah perubahan masa. Dulu kanak-kanak, kini sudah menjadi remaja. Dulu kita kuat, kini kita telah mula menampakkan alur ketuaan.
Perubahan masa yang saya utarakan adalah suatu perubahan yang tidak memerlukan penat lelah untuk mempertahankannya. Sebaliknya amat berbeza dengan perubahan minda.
Mari kita cuba kupaskan isu terkini yang sibuk dibicarakan meskipun ianya tidaklah menjadi sesuatu yang dasar dalam perbahasan ilmiah. Isu menyentuh anjing dan mempersendakan agama, sehingga memaksa para perunding JAKIM mengeluarkan hujjah dan mencari hukum tentangnya.
Mari kita memahami adat orang Melayu. Orang Melayu lebih sensitif dengan anjing daripada menutup aurat. Orang Melayu begitu elergik dengan babi berbanding meminum arak. Bagi orang Melayu, seorang yang menyentuh anjing boleh membawa kepada haram. Bahkan mampu menggugat aqidah mereka. Itu tanggapan kita orang Melayu.
Sedarkah kita, ini bukannya hukum Islam ? Ini adalah hukum orang Melayu yang bercampur-aduk antara adat dan ibadat. Akhirnya perkara yang haram, tidak jadi haram dan sensitif. Sebaliknya, perkara yang halal pula, boleh bertukar menjadi haram menurut adat pusakan orang Melayu.
Ini adalah berpunca daripada kedangkalan ilmu agama. Kedangkalan ini pula berpunca daripada kita yang malas membaca. Kita lebih suka mendengar dan menurut secara membabi buta.
Saya bukanlah penyokong kepada isu video yang dihebohkan. Namun, jika pembuat video itu sememangnya berhasrat untuk menghina Islam, maka hukumnya adalah haram. Bukan sahaja dengan anjing, hatta menggunakan mimbar dan masjid sekalipun, jika ia bertujuan untuk menghina Islam, maka hukumnya adalah haram.
Kembali kepada cerita orang Melayu begitu jijik dengan anjing. Pernah di kala saya kanak-kanak dahulu mengejar dan menghalau anjing apabila ia memasuki kampung halaman. Kejar dan membaling batu ke arahnya, sehingga anjing itu ‘bercudar’ lari menyelamatkan diri. Betapa peliknya tindakan kami di kala itu. Apakan daya, pemikiran kami berada pada tahap itu.
Dari itu, kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita terhadap sesuatu isu agar ia bersessuaian dengan kaca mata Islam tanpa dicemari unsur kemelayuan yang memesong fakta sebenar.
Ini bukan bermakna saya anti kepada Melayu. Mana mungkin, saya orang Melayu, mak ayah sayapun Melayu, maka sudah pasti saya berbangga dengan kemelayuan ini. Namun, apabila fahaman Islam menjengah minda kita, maka di kala itu kita hendaklah dan mesti melebihkan Islam dalam segala perkara. Dalam bahasa mudah, Melayu mesti ikut Islam, bukannya Islam ikut Melayu. Jika kita memaksa Islam supaya mengikuti adat Melayu kita, maka punahlah Islam tadi dan rosak kesucian agama.
Lihatlah apa yang berlaku apabila hari raya menghampiri. Orang Melayu mula sibuk balik ke kampung untuk bertemu sanak-saudara. Islam tetap menyuruh kita bersilatul rahim, namun fahaman hari raya telah terpesong. Hari raya mesti ada mercun, hari raya mesti ada kuih-muih, hari raya mesti terkenang ibu ayah, hari raya mesti ziarah kubur dan sebagainya. Dan lagi parah, hari raya mesti bersukaria dan berhibur kerana hari-hari lapar telah berlalu.
Sememangnya Islam menyuruh kita untuk bergembira sempena menyambut hari raya. Namun bergembira sebagai tanda bersyukur atas nikmat pemberian. Bersyukur kerana kita telah mengembalikan diri kita kepada fitrah. Dalam contoh mudah, selama sebulan kereta kita dibawa ke workshop untuk dibaiki dan diperbetulkan serta diganti mana-mana alatan yang rosak agar kereta kita itu sebaris dengan kereta yang baharu keluar dari kilang.
Lantaran itu maka kita bersyukur.
Namun sedihnya, orang Melayu kita tidak mengambil konsep raya tersebut sepenuhnya. Sebaliknya hanya mengambil kotak, isi dalamnya ‘ditohok’. Akhirnya dapatlah kita berhari raya kerana kita mahu beraya mengikut adat budaya kita. Kita berbangga pula kerana datuk nenek kita berbuat demikian. Demikianlah sambutan perayaan kita dari setahun ke setahun tanpa menghampiri gariasan Islam yang diturunkan.
Ini berpunca daripada minda kita yang malas berubah dan malas pula membaca. Sebagaimana isu anjing tadi. Sampai bilakah kita akan memebenci kepada anjing ? dan sampai bilakah pula anjing begitu jijik dalam diri kita orang Melayu? adakah ia sejijik tidak menutup aurat ? atau adakah ia sejijik berjudi dan meminum arak ?
Marilah kita mengubah minda untuk berbahas tentang isu pokok berbanding memerah otak menghabiskan masa untuk isu cabang seumpama ini.
Perbahasan isu ‘juziayyat’ seperti ini menjadikan kita beranggapan Islam teramat sempit. Lihatlah bagaimana bala yang menimpa puak Bani Israel apabila berbicara tentang lembu. Mereka telah memasuki isu furu’ sehingga menyusahkan mereka sendiri. Jika di peringkat awal mereka menurut apa yang diminta oleh nabi Musa a.s., maka sudah pasti lembu itu tidaklah menjadi kesukaran bagi mereka kerana lembu itu banyak dan mudah pula dicari. Namun, apabila mereka bertanya, dan setiap pertanyaan mereka telah menambahkan lagi syarat yang baharu, maka akhirnya mereka terpaksa mencari seekor lembu yang muda berwarna kuning keemasan dan tidak pula digunakan untuk membajak. Inilah yang kita katakan sebagai sengaja mencari bala.
Oleh itu, Islam yang kita anuti ini, usahlah kita sucikan ia dengan meletakkan di dalam almari kaca, lalu dikunci dan digril, dilarang menyentuh dan sebagainya. Apabila ada orang yang cuba berbahas tentangnya, maka kita marah dan murka kepadanya.
Perlulah kita sedar bahawa Islam itu perlu keluar dari almari tersebut. Biarkan ia bebas menjalar di muka bumi untuk bertemu dengan sesiapa sahaja. Biarlah Islam dibahas dan diamal, bukannya dipuja dan diperasap apabila diperlukan.
Kembalikan hakikat Islam sebagai agama ilmu dan amal yang sudah pasti mampu menjanjikan keamanan dan kesejahteraan. Selagi mana kita menjauhkan diri dengan Islam, maka selagi itulah kita akan mencari bala dan kesengsaraan. Marilah kita hidup bersama Islam yang Allah SWT anugerahkan kepada kita ini.
Selamat berhari raya, semoga diampun segala dosa.
No comments:
Post a Comment