Sebuah filem yang dilahirkan khusus untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-56. Bahkan ada yang lebih ekstrem lagi apabila berhasrat memakai songkok bagi lelaki dan berbaju kurung tradisional bagi perempuan sebagai tanda jati diri kemelayuan yang telah mula mereput dek gigitan zaman.
Berlainan pula bagi negeri Pulau Pinang ini apabila Ketua Menterinya mengeluarkan arahan melalui Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow agar menghalang filem itu daripada ditayang di pawagam bagi seluruh negeri tersebut sebagai tanda protes gubahan ceritan yang hendak diketengahkan.
“Itu membayangkan kebodohan mereka”. Demikianlah marahnya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek.
Usah dimarah dan diperbodohkan orang. Jika kita memiliki kuasa tayangan dan mampu pula menandingi keupayaan mereka, tayanglah melalui rangkaian tv nasional yang kita miliki. Jimat duit rakyat dan kos masa juga tidak terbuang. Di kala itu, saya pasti, penguasa Pulau Pinang tidak akan mampu menyekat saluran tv tadi daripada menerobosi mata dan telinga rakyat pulau mutiara itu.
Atau adakah mereka sudah lupa kaedah yang digunakan semasa PRU-13 yang lalu? Meskipun rakyat tidak suka, namun dipaksakan dua cuping telinga dan sepasang mata rakyat terlopong ke kaca tv.
Hakikatnya tidak sedemikian. Hakikatnya juga perlu diyakini bahawa keuntungan adalah segala-galanya. Kuasa kapitalis masih mendepani daripada kuasa yang lain. Meskipun mereka berhujjah bahawa filem ini untuk memberi pendedahan kepada rakyat yang ‘buta’ sejarah. Inilah sejarah perjuangan para pimpinan negara yang tersorok dan perlu ditonjolkan. Namun pada hakikatnya adalah keuntungan yang ingin diraih.
Tidak salah untuk mengaut keuntungan. Apa yang salahnya apabila memaksa seseorang membenarkan sesuatu yang salah.
Apakah sejarah itu benar atau membenarkan sejarah ? Dua ungkapan ini amat jauh berbeza.
Untuk mendapat sejarah yang benar amat sukar dek kerana pembarinya telah tiada. Penunjuk ke arah itu juga tumpul apabila sejarah negara telah terpalit dengan lumpur penjajah yang terkenal dengan tindakan suka memesong kebenaran sesuatu fakta.
Dari dulu, kini dan selamanya. Sebagai contoh, fakta yang mengatakan kumpulan Ikhwan Muslimin sebagai pemberontak dan pengganas adalah usaha memesong kebenaran fakta agar ianya memihak kepada si pengkhianat. Demikian juga dengan fakta bahawa Saddam Hussien ada menyembunyikan tenaga nuklear di negaranya. Akibatnya habis negara Iraq disamun dan dirogol semahu-mahunya.
Jika demikian perihal yang berlaku, maka tidak mustahil sejarah negara kita juga telah dicerobohi dan dinodai semahu-mahunya. Lantaran itu, anak-anak di sekolah telah menelan racun yang disangka penawar. Bermula dengan penggunaan istilah daripada pejuang kepada pemberontak, berakhir dengan pertengkaran sesama sendiri yang sekaligus mampu melenyapkan kesepaduan rakyat. Sementara itu, pengkhianat yang sebenar pula dipanggil ‘sir’ dan diuploadkan ke dalam buku sejarah dengan gelaran ‘sir’. Manakala raja pula dilantik mengetuai adat istiadat keagamaan. Sedangkan penjajah yang persis lanun dibiarkan meratah tanah air ini pula dilantik sebagai tuan. Alangkah malangnya sejarah negaraku ini.
Maka itu, usaha membenarkan sejarah akan cuba sedaya upaya diketengahkan. Sejarah yang memperihalkan kehebatan raja dan penguasa dijadikan fokus utama. Manakala rakyat pula dihidangkan dengan paradigma ketaatan yang maha tinggi, akur dan patuh serta sembah kepada penguasa.
Catatan sejarah seumpama ini sengaja dinukilkan agar rakyat tahu bahawa ketaatan kepada penguasa menjadi suatu kewajipan yang tiada tolak bandingnya. Berbeza pula dengan penguasa yang mempunyai kuasa melakukan apa sahaja yang terlintas di fikirannya, hatta yang tidak boleh diterima akal sekalipun. Hal ini juga berlaku dalam catatan sejarah pemerintahan kerajaan Islam silam.
Kejahatan al-Hajjah Ibnu Yusuf al-Thaqafi sengaja disembunyikan. Bahkan ramai sejarahwan melabelkan al-Hajjah sebagai seorang yang fasih berbalaghah, amat sukakan syeir, mengagungkan al-Quran, amat baik hati dan mulia peribadi. Padahal beliau merupakan seorang yang teramat zalim, suka membunuh dan berusaha menghapuskan sesiapa sahaja yang menentangnya demi medaulatkan kerajaan Umaiyyah. Penentang tersebut digelar ‘khawarij’ dengan menyamakan mereka seperti kumpulan ‘khawarij’ pada zaman Saidina Ali krw.
Berbalik kepada filem Tanda Putera yang menjadi kontrovesi ini juga ada kaitan dengan perkara yang sama.
Seandainya filem ini hanya untuk mengangkat pemimpin tertentu yang berusaha sedaya mungkin demi menjaga perpaduan negara dengan mengenengahkan pengorbanan mereka sahaja, maka itu ianya dipertikaikan. Ini kerana filem ini tidak lain hanya untuk memuliakan pemimpin tersebut. Maka ia tidak ubah sebagaimana plot cerita sejarah yang lampau yang hanya sesuai diberi tontonan untuk para bangsawan sahaja.
Sedangkan, jika penayangan ini ingin mengambil sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita, maka ianya adalah kurang bertepatan. Ini kerana perjuangan untuk mencapai kemerdekaan adalah melibatkan semua pihak. Bermula dari penduduk desa sehinggalah kepada barisan pimpinan rakyat, lebih-lebih lagi para ulama yang mengajar di pondok-pondok. Mereka sanggup menggembelingkan tenaga demi menyampah dengan kehadiran penjajah. Mereka rela menggadai nyawa demi memprotes penguasaan penjajah atas negara tercinta. Jika tidak keterlaluan bahawa merekalah pejuang sebenar demi tanahair tercinta.
Alangkah indahnya negaraku ini jika hari kemerdekaannya dapat diraikan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuklah pihak yang berhaluan kiri, kerana mereka juga turut merindui akan kemerdekaan negara tersayang ini.
Maaf jika tercubit. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-56.
No comments:
Post a Comment