Tuesday, October 9, 2012

Lagi Surat Pembaca ...

Assalamuwalaykum tuan. nak tanya. blog ni banyak copy paste dari blog orang lain ke atau tulis sendiri. Kadang2 pening tengok kandungan bertukar2 style. Mohon jelaskan. tq.

Anonymous

on 8/13/12

Jawapan saya :

Terima kasih atas kesudian tuan berkongsi minda ilmiah bersama saya.

Di bahagian atas intro sayapun saya dah catatkan di sana bahawa blog ini adalah FIKRAH SAYA. Bermaksud semua idea yang saya sampaikan adalah dari minda dan idea saya, kecuali jika ada di sana tercacat penulisnya dan sumber dari mana saya memetiknya.

Saya bermohon maaf kepada tuan dan rakan-rakan yang terkadang tulisan berbahasa Arab itu tidak menepati citarasa dan kehendak yang dihasratkan. Ada juga rakan saya memaklumkan mengenai tulisan ayat al-Quran yang mereka tidak dapat membacanya.

Masalah ini timbul kerana font yang saya miliki tiada terdapat dalam komputer yang tuan miliki.

Keduanya mengenai teks berbahasa Arab. Teks itu sebenarnya adalah draf penulisan saya dalam buku teks. Elok rasanya saya berkongsi di blog agar dapat dimanfaatkan bersama.

Ringkasnya, ini blog saya dan ia adalah idea saya dan tulisan saya.

Sekian.


Monday, October 8, 2012

PENGEMIS KAYA !


==================== Sisipan  Sosial=====================
Itulah bunyi tajuk akhbar Sinar Harian (8/10/2012) yang terpapar gah di muka depan.

Saya cuba mencari makna di sebalik paparan ini. Adakah ianya ditulis berasakan vakum yang kosong atau membawa sesuatu mesej penting yang hendak disampaikan?

Jika mengikut nujuman saya, sudah pasti saya mengandaikan ianya ingin memberitahu kepada kita semua tentang kayanya rakyat kita ini. Lihatlah, si pengemis sahaja mampu menabung sehingga RM60k dan memiliki simpanan tunai sebanyak RM15k.

Bermakna orang yang tidak mengemis pasti memiliki aset berlipat-lipat kali ganda.

Mari kita kaitkan ini dengan isu sekitaran kita.

(1) Tentang bajet yang telah diparlimenkan. 
Ini bermakna, meskipun negara kita dengan bebanan hutang sebanyak RM500 bilion dan defisit selama 15 tahun, kita masih mampu hidup mewah sebagaimana mewahnya negara-negara kaya yang lain. Meskipun hakikat sebenarnya yang bermewah-mewahan ini hanyalah spesies VIP dan VVIP, sedangan rakyat marahain terceruk dan terperuk.

(2)     Bantuan one-off.
Bantuan rakyat telah berjaya mengemiskan rakyat sendiri agar sentiasa menagih dan mengemis demi sebuku garam secupak beras. Walhal, tersimpan dalam kocek rakyat wang dan harta yang berkarung. Pemberian ini bagaikan sindiran tajam dan umpanan di mata kail.

(3) Menuntut royalti.
Rakyat Kelantan dengan semangat waja berusaha dan bermati-matian untuk menuntut hak royalti petroleum mereka. Mereka sanggup menunggu “sampai ceroh” agar permintaan mereka didengar dan dipertimbangkan serta ditunaikan.

Namun, bagi pihak kerajaan, tak ubah bagaikan pengemis yang berkerumunan di depan pintu rumah si kaya sambil merayu dan pohonkan simpati. Sedangkan rakyat Kelantan kaya raya dan berduit.

Agar dilihat hina dan rendahnya maruah diri, maka ditonjolkan paparan akhbar itu.

Ragam kehidupan masyarakat ini memberitakan kita bahawa lantai keadilan tidak sama rata. Ada yang membukit, ada yang rata, bahkan ada juga yang berlopak dan berlubang-lubang, tak ubah seperti jalan kampung yang diturap jika ada pilihanraya. Itupun kampung kerajaan, manakala kampung pembangkang tunggulah sehingga rumput menebal bagi menutup lopak-lopak terabai.


Sunday, October 7, 2012

BUKU TEKS OH BUKU TEKS

 
Buku Teks Bahasa Arab Ting. 5

Hari ini dalam Sinar (7/10/2012) dan juga Harakah ada menyiarkan BANYAK kesalahan yang terdapat dalam buku teks Bahasa Arab Tingkatan 5.
 
Apakah sebenarnya cara yang terbaik bagi Pak Ali untuk memetik segugus buah petai ?
 
(A) Dengan menebang pokok petai tersebut.
(B) Dengan menggunakan kekuatan fizikal dirinya.
(C) Dengan membiarkan ia sehingga terjatuh sendiri.
(D) Dengan menggunakan sebatang galah yang panjang.
(E) Dengan mengupah seekor beruk untuk memanjatnya.

Apa yang jelasnya ialah semua tindakan yang diambil itu akan tercapai objektif, iaitu untuk memetik segugus buah petai.

Namun, adakah tindakan yang diambil itu telah dimasukkan bersama  elemen kecerdikan (hikmah)?

Ramai orang lebih gemar mengambil tindakan popular untuk mencari glamour. Berapa kerat sangatkah yang berniat ikhlas dan benar-benar untuk memperbetulkan keadaan secara bijak?

Orang dulu-dulu sering mengungkapkan, “Rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak”, “Ikut hukum memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak”, “Ingin bertanduk, maka dipahatnya kepala”, dan banyak lagi pesanan nenek moyang kita sebagai pedoman kepada anak cucu cicitnya.

Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 4
Karangan : Ust Mat Nawi,
Ust Mohd. Rizuan & Ust. Zaini

Ulasan saya berdasarkan pengalaman sejengkal kera sebagai penulis buku teks bahasa Arab. Pengalaman menang (Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 4) dan pengalaman kalah (Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 5).

Ingin saya katakan begini, sebagai cerita belakang tabir yang tidak pula ramai mengetahuinya. Apa yang mereka inginkan ialah seorang bayi yang comel lagi montel.

Untuk mendapat seorang bayi yang secomel itu, bukan sedikit masa dan tenaga yang dikorbankan. Lebih-lebih lagi sebagai penulis buku teks berbahasa Arab.

Pihak kementerian mewajibkan kita agar dapat menyiapkan deraf 10 bab secara penuh untuk melayakkan diri memasuki tender. Amalan ini, pada pengetahuan saya agak berbeza dengan mata pelajaran lain, Sains umpamanya hanya dikehendaki menyiapkan 3 bab sahaja.

Deraf Buku Teks Bahasa Arab Ting 5
Karangan : Ust Mat Nawi,
Ust. Mohd. Rizuan &
Ust Mohd. Sobri


Tuan-tuan!
Untuk menyiapkan 10 bab ini bukan kerja mudah. Mencari, merangka, menulis, membetul, membaris, bahkan segalanya kita perlu amati.

Biasanya kesilapan berlaku antara penulis dan percetakan itu apabila alihan fail dilakukan. Penerima dan penaip pula agak kurang memahirkan diri dengan bahasa Arab. Situasi ini kerap berlaku kesilapan baris  dan ayat.

10 bab siap lalu dihantar untuk tender. Katakan gagal dan itupun adat dalam pertandingan. Seolah-olah jasa selama 8 bulan terkubur begitu sahaja.

Diandaikan menang pula, berani saya katakan, berapa sen sahaja upahan yang disediakan berbanding subjek lain. Sains umpamanya, hanya perlu menulis 3 bab, jika menang maka bolehlah meneruskan bab-bab yang lain dengan bayaran royaltiRM80k, berbanding kami hanyak sekitar RM18k sahaja.

Nak dikira kerja kami sebagai penulis buku teks Bahasa Arab lagi rumit, seolah-olah kami perlu menyiapkan dari A to Z. Manakala pihak syarikat pula hanya perlu memasukkan gambar dan grafik yang berkaitan.

Berbeza dengan subjek Matematik, pihak syarikat akan memasukan segala grafik, gambarajah dan sebagainya, penulis hanya membekalkan idea dan sedikit olahan.

Mereka yang ada pengalaman menulis sahaja yang tahu duduk bangun akan hal tersebut.

Kesilapan sememangnya ada. Namun, sebagai penulis kita berusaha untuk mengurangkan kesilapan yang ada.  Tetapi, terkadang tetap ada kesilapan tersebut. Hanya al-Quran kitab yang zero defect.

Berkaitan uslub, ini terpulanglah kepada penulis itu bagaimana cara mengolah sesuatu isu. Bagi penulis yang lain, sudah pasti beliau akan menggunakan uslub yang lain. Ini sepatutnya tidak boleh dipertikaikan, kecualilah jika uslub tersebut jauh tersasar.

Manakala kesilapan nahu pula, dari zaman Sibawih sampai kini tak akan habis-habis perselisihan tersebut. Dek kedangkalan kita, maka kita hanya menghukumkan secara Basrah sahaja dengan menafikan Kufah.

Walau apapun, pendedahan seumpama ini sedikit sebanyak mencelikkan pihak yang berwajib.

Cuma terdetik juga kebimbangan di hati ini, Janganlah pula nanti, tiada siapapun yang sanggup untuk menulis buku tersebut lantaran kecerewetan ini. Kecerewetan yang memusnah, bukannya membina. 

Kurangkan cerewet, tingkatkan daya, insya Allah, anak-anak kita akan berjaya.

KAHWIN MENCARI GLAMOUR

==================== Sisipan Sosial =====================
Rasanya tidak lengkap jika tidak diulas serba sedikit mengenai isu yang hangat diperbahaskan.

Cerita pasal kahwin, tiada seorangpun yang tak suka, semua suka.

Bapa mertua akan dapat menantu maka bertambahlah bilangan ahli keluarga. Kakak juga turut gembira kerana mendapat adik ipar.

Dan yang paling seronok sekali ialah pengantin. Ini kerana bermula tarikh perkahwinannya, maka bermulalah seorang insan yang akan menjadi penyeri taman sanubarinya. Makan pakai terjaga, tidur mandi terbela.

Tetapi dalam kes sahabat kita di Melaka ini, kelihatan bapa pengantin lebih gembira daripada si pengantin. Mungkin dia ada sebabnya tersendiri.

Menurut katanya, itu anaknya kahwin, bilangan tetamu mencecah ratusan ribu. Jika bapa pengantin kahwin, katanya jumlah tetamu lebih besar lagi bilangannya.

Saya secara peribadi tidak percaya bilangan itu akan bertambah selipat kali ganda. Silap-silap tok imam dan pak bilalpun cabut lari.  Tuan-tuan boleh mengandaikan sebabnya.

Berbalik kepada isu perkahwinan tadi, dan telah menjadi adat warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi iaitu mencari glamour.

Matlamat sebenar perkahwinan adalah untuk mencari keberkatan Ilahi. Apabila menyebut pasal berkat, maka ianya hendaklah bermula dan berakhir serta pengisiannya hendaklah selari dengan tuntutan agama.

Nabi saw pernah bersabda bahawa keberkatan itu berada pada perkahwinan yang paling mudah.

Apabila perkahwinan itu mudah, maka semua orang tidak akan merungut. Dari tukang masak, hinggalah kepada mak andam. Semua suka dan gembira lantaran tuan rumah melaksanakan secara sederhana dan simple.

Kecualilah jika ada sesetengahnya memasang pukat di sebalik majlis tersebut. Maka sudah pasti, mereka inginkan yang paling glamour, paling cun dan paling meriah. Berkemungkinan sebagai catatan sejarah dan rekod negara sepanjang 750 tahun, mungkin.

Dalam kes sahabat kita ini, saya berpendapat, jika semua kos adalah ditanggung oleh poketnya sendiri, maka tiada seorangpun yang berani mengangkat suara untuk merungut. Ini kerana duit mak bapaknya.

Baiklah, adapula yang mengatakan ianya adalah hasil sumbangan badan-badan tertentu.  Lantas kita akan bertanya, atas dasar apakah ianya disumbangkan? Adakah kerana beliau berasal dari keluarga yang miskin, hidup melarat dan tiada kemampuan untuk menjamu para jemputan?

Ringkasnya, kita lebih suka mencari glamour daripada mencari pahala.  

UST FAUZI KE TANAH SUCI

Minggu sudah dilapangkan masa untuk bertandang ke rumah sahabat karib saya ust Mohd. Fauzi Yahya yang menginap di Bangi sempena keberangkatan beliau bersama isteri ke Tanah Suci.

Hasrat yang sentiasa dikendong walau ke mana mengarah untuk dijemput menjadi tetamu al-Rahman.

Semoga beliau dan isteri dilimpahkan Allah swt akan kesihatan dan ketabahan sepanjang berada di tanah suci, pergi dan balik.

Juga dipohonkan Allah swt menganugerahkan kepada sahabat saya ini haji yang mabrur, saie yang masykur, dosa-dosa yang maghfur dan perjalanan yang maisur.

[Warkah daripada Ustaz Ku Othman]

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..

Bila ditenung wajah ini, teringat daku di masa yang lalu..

ketika mana kita berdua bersama-sama membantu orang ramai dan merawat serta memberi khidmat nasihat kepada mereka..

Di mana daku pergi, di situ ada wajah ini..
Wajah yang mengingatkan kenangan lampau detik lara, pilu, sedu, manis, semasa dulu.  

Kekadang termimpi daku bersama wajah ini merawat pesakit dirasuk hantu dan pesakit yang memerlukan bantuan dan rawatan.
Rupa-rupanya mimpi mengganggu daku ketika daku melabuhkan tirai malam.

Semoga Tuhan sahaja membantu wajah ini ketika wajah ini bersama daku semasa di sabah dahulu..

Mudah-mudahan Allah memberi rahmat, keselamatan, hidayah, berkat dan kesihatan kepada wajah ini dan keluarganya..

aamiin..

Ukhuwah fillah abadan abada

(Madehah Rehana bt Ku Othman)
        4hb. Oktober 2012

Bersua Rakan Lama

Sempat mengunjungi sahabat lama di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur yang berputik pengenalan antara kami berduasemasa menuntut  di Mamar Jamaluddin Al-Afhgani, Kenitra, Morocco.

Ustaz Dr. Abd. Rahman Abdullah yang kini bertugas di IPSAH di Sungai Petani.

Kedatangan beliau sekeluarga ke Kuala Lumpur bagi meraikan anugerah kedoktoran isterinya dari UM.

Tahniah kepada Ustazah Dr. Ghazilah Md. Isa atas anugerah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Bahasa Arab.

Tahniah diucapkan.