Wednesday, January 9, 2013

KEJAR SAMPAI MATI

Ada sesuatu yang rasanya ingin saya kongsikan bersama. Namun dibimbangi ianya dikata orang kerana sempena sesuatu.

Dua hari lepas, saya berkuliah hadis di Jasin, Melaka.

Dalam kuliah tersebut, saya ada menyebut tentang karenah merebut pangkat dan jawatan.

Bagi saya, mudah sahaja. Sesiapa yang bekerja dan mencari makan demi keuntungan dunia, maka seluruh hidupnya akan menjadi balapan.

Setiap kali beliau berlari dan mengejar, maka balapan itu juga turut berputar, seolah-olah tiada garisan penamat.

Namun, mujurlah ada mereka yang bertugas bagi menghentikan 'games' tersebut.

Jika tidak, pasti pengejar itu akan tersungkur dek keletihan dan kepanasan mentari.

Amat berbeza dengan mereka yang meletakkan matlamat kerjaya hanya kerana Allah demi mencari keredhaanNya.

Pasti jawatan, pangkat dan dunia akan mencari dan mengejarnya.

Sekadar mengingati diri sendiri.

ISU TOLAK NAIK HAJI

Ada seorang sahabat saya bertanyakan hukum mengenai seseorang yang menolak tawaran menunaikan haji.

Ulasan saya kepadanya :

Pertama sekali - Bukannya menolak, sebaliknya menangguhkan ibadah tersebut pada tahun-tahun berikutnya.

Dalam hal ini, terdapat dua pendapat :

1) Mazhab Hanafi - Ibadah haji hendaklah ditunaikan secara bersegera seupaya mungkin (
على الفور )

Pendapat ini adalah selari dengan pendapat mazhab Maliki yang menuntut ianya disegerakan, meskipun dalam bentuk pengembaraan. Berjalan dan berhenti, mengambil upah lalu meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Kota Mekah.

Namun pendapat bagi pengikut mazhab tersebuk sejak kebelakangan ini telah meletakkan ianya boleh dilakukan secara penangguhan (
على التراخي )

2) Mazhab al-Syafie - Ibadah haji bolehlah ditunaikan secara penangguhan (
على التراخي) kerana tempohnya panjang, sekali seumur hidup. Berbeza dengan ibadah solat yang yang perlu dikerja pada setiap awal waktu, dan waktunya pula berulang-ulang.

Manakala, apabila merujuk kepada situasi kita di Malaysia, maka eloklah ianya ditunaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji, seandainya tiada sebab-sebab yang dimunasabahkan ('uzur syar'ie), lantaran untk menunggu giliran ke berikutnya adalah belum pasti.

Lagipun, siapa yang tidak rindu untuk berkunjung ke Baitullah, tempat yang telah diseru panggil oleh nabi Allah Ibrahim as.

Saya teramat yakin, sesiapa yang telah diberi kesempatan untuk berkunjung ke sana, pasti akan berkunjung lagi untuk kali-kali yang keberikutnya. Alangkan indahnya suasana beribadah di sana. Lokasi penyuburan iman yang diidam-idamkan.

Ya Allah, gerakkanlah hati kami untuk ke sana. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya.

DATUK OH DATUK

Kesiuman kita terletak pada ungkapan yang kita tuturkan.

Dr Hasan sepatutnya bercakap bidang yang beliau mahir tentangnya sahaja.

Apabila ketitir ingin bersuara semacam terkukur maka sumbanglah jadinya.

Haiwan pun memahami sunnah ciptaan Ilahi. Lembu tidak akan mengembek, dan kambing pula jauh sekali untuk mengeboh
.

Lihatlah apa yang terjadi kepada haiwan yang bernama 'kanjing', iaitu kacukan antara kambing dan anjing. Kambing tidak, anjingpun tidak. Haram pula memakan dagingnya.

Dari itu, besarlah harapan saya jika Dr Hasan 'aqidah' ini hanya bercakap dalam bidangnya sahaja. Itu lebih sopan dan lebih bermaruah.

Kerana untuk bercakap pasal aqidah, kita perlu terlebih dahulu menguasai ilmu mantiq, seperti ilmu mustalah hadis dan ilmu usul fiqh untuk mempelajari hafis dan mengaji hukum-hakam.

Jika tidak, tersunggkurlah kita dalam membezakan antara kambing dan burung.

Baginya kambing itu berjalan dan burung itu pula terbang.

Namun jika terjumpa kambing terbang, maka kita memustahilkannya, kerana kambing tak boleh terbang.

Tetapi dalam ilmu tauhid kata boleh, kerana sifat dan zat boleh dipisahkan.

Kerana keegoan diri, maka dicuba juga bercakap, akhirnya yang terang dikaburkan kembali, yang sudah jelas dikelabukan balik.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari tipu daya mereka.

AMANAT YANG DITENATKAN

Kenapa kita suka mengungkit perkara yang lepas. Kata P Ramlee, barang yang lalu usah dikenang, kelak merana badan.

Orang yang suka memandang ke belakang ialah mereka yang berputus asa untuk mengharungi masa depan. Mereka ini adalah kelompok yang tertewas sebelum ditewaskan. Mereka juga telah dikecundangkan oleh diri mereka sendiri.

Laki bini yang intimpun boleh bercerai berai seandainya perangai di masa muda diperbesarkan. Khususnya bagi mereka yang terlajak sempadan.

Usah kata manusia, binatangpun marah jika diungkit kata engkau adalah kucing pungutan tepian jalan. Ia juga tahu memberontak.

Sementelah pula, jika ungkitan itu berbaur pertuduhan yang disempitkan ruang untuk pembelaan.

Saya yakin, menteri penerangan pun melatah jika isunya diketengahkan tanpa ada sedikitpun ucapan balas. Lihat sahaja, bagaimana menteri wanita suatu ketika dahulu, menyinga, merimau dan melembu atas isu yang dikaitkan. Bukan main marah lagi mereka.

Berbalik kepada amanat yang kecoh diperkatakan. Saya sendiri belum membacanya secara keseluruhan. 1981, di masa itu saya baharu sahaja di Tingkatan 1. Masih mentah untuk memahami apa itu ?

Namun, atas dasar keyakinan padu kepada tuan guru, atas kepercayaan kepada ilmu yang terpaku di bahu, juga atas penghormatan yang perlu diseru, maka saya meletakkan amanat tersebut sebagai suatu langkah berani menyedarkan ummat yang terhanyut dek arus taqlid ikutan di kala itu.

Maka, adalah salah sama sekali jika kita menggunakan alatan lalu, untuk membetulkan mesin yang baharu. Nanti kita diketawakan orang kerana masih menggunakan 'handphone' lama. Yang usianya telah mencecah 30 tahun lampau.

Kenapa UMNO sukakan barangan usang ? Adakah kerana ia telah usang, maka begitu serasi dengan hal-hal keusangan ini ?

Justeru, jika isu ini diangkat untuk memecah-belahkan ummat, maka UMNOlah yang terlebih dahulu sepatutnya dipersalahkan di kala ramai orang telah melupakan.

Adakah benar-benar mereka ini berniat untuk membetulkan aqidah ummat ? Mereka betul-betul inginkan keharmonian hidup ? Mereka sangat-sangat teruja mencari perpaduan bangsa ?

Jika ingin, usahlah lagi bertindak sedemikian. Usahlah memaksa tuk mufti berfatwa lagi. Cukuplah meraih simpati dari agamawan yang kurang mengerti. Kelak, ianya mecetuskan lagi kekecohan sesama sendiri.

Jika diandaikan amanat itu songsang, biarlah yang soangsang itu seorang. Kenapa harus dipalit semua orang ?

Maka UMNO janganlah marah, jika dilabelkan orang sebagai 'batu api'. Batu yang keras, bertindak pula mengapikan orang.

Cukuplah syaitan sahaja sebagai 'batu api'.

HANYUT DI DARAT

Hanyut. Hanyut membawa pelbagai erti. Hanyut arus deras di kala hujan lebat. Hanyut minda di kala hilang kewarasan iman. Hanyut aqidah di kala habuan dunia melimpah ruah.

Hanyut yang saya maksudkan di sini ialah hanyut budaya.

Budaya Melayu yang bersopan santun, berakhlak budi dan berhemah tinggi terhakis dek budaya asing yang menyelinap masuk.

Nantilah kita lihat di malam sambutan tahun baharu 2013. Warwarannya telah berselerak di kaca tv dan media.

Meskipun hakikatnya, tahun baharu ini disambut ataupun tidak, ia tetap akan kunjung tiba. Tanpa dirai dan dibungapikanpun, ia tetap akan muncul. Tanpa jampi serampah oleh menterinyapun, ia tetap menyinar jua.

Jika begitu, apa pula fungsi sambutan dan kemeriahan melampau yang dianjurkan itu? Sedangkan ianya bukanlah sebagai prasyarat untuk menapak ke 2013.

Saya pernah berhujjah tentang senaman bersulam iringan muzik. Objektif dari aktiviti tersebut adalah berpeluh. Tanpa muzikpun kita akan berpeluh. Oleh itu, apa gunanya muzik tadi.

Itulah yang dikata orang, 'lebih sudu dari kuah'.

Saya bukanlah anti sangat pada hiburan, sebagaimana antinya sesetengah mereka itu pada hudud.

Namun, jika setiap aktiviti bagaikan suatu kemestian terhadap hiburan, dan terkadang ianya mendominasikan keadaan, maka itu sudah dianggap keterlaluan yamg mengakibatkan keaiban.

Aib pada budaya kita. Aib pada persekitaran yang dibelenggu kesusahan hidup. Dan yang paling teruk ialah aib pada Tuhan Yang Menciptakan.

MEMBANTU ATAU MENJADI HANTU

Apabila hujan turun, maka berlakulah banjir. Ini fenomena biasa kejadian alam ciptaan Allah.

Jika hujan turun mencurah-curah, banjir pula tidak melanda, maka itu suatu keanehan.

Samalah dengan bantuan banjir. Cuma yang anehnya.
bantuan datang mencurah-curah kali ini tidak seperti sebelumnya, terutamanya di negeri- negeri Pakatan Rakyat.

Adakah ini petanda bahawa pilihan raya sudah hampir benar-benar berlaku?

Isu bantuan mangsa banjir RM500 dihulurkan tanpa diminta.

Soalan yang berkaitan juga. Adakah bantuan ini sememangnya untuk membantu atau sebaliknya?

Kalau benar-benar ingin membantu dan prihatin pula pada nasib rakyat, maka hulurlah tanpa ada sebarang sempena.

Isu jalan raya di Kelantan, isu royalty, isu air bersih, kesemuanya adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat. Bantulah....mengapa perlu meletakkan syarat-syarat tertentu pulak. Jika kelantan beralih kuasa kepada BN, baharulah Sungai Golok hendak didalamkan.

Maka itulah sebabnya saya katakana, ia bukannya hendak membantu, sebaliknya mahu jadi hantu.

Ini kerana hantu sahaja yang gemar meletakkan syarat-syarat tertentu kepada tuan yang memeliharanya. Aku jaga engkau, dan engkau pula mestilah tunaikan permintaanku. Jika tidak, engkau akan ku tulah dan ganggu, engkau, anak cucu cicit engkau.

Lihatlah dendam mereka yang bergelar hantu setan ini.

Mohon Allah swt jauhkan dan selamatkan kita semua dari mala petaka mereka semua.

ISU PANGGILAN ‘SHEIKHUNA’ (TUAN GURUKU)

Saya cambahkan idea ini lantaran ada rakan yang menggunakan  ungkapan ini : “Shekhuna - شيخنا dalam situasi yang tidak sesuai.

Ungkapan “Sheikh” bermaksud seorang alim dalam bidang hadis yang dilazimi oleh seorang penuntut hadis untuk beberapa tempoh tertentu, lalu menerima darinya hadis-hadis, dan sekaligus meriwayatkan hadis-hadis tersebut kepada yang lain.

Menurut Sheikh Albani, adalah memadai sekiranya beliau telah mengikuti majlis bersama sheikh tersebut walaupun hanya sekadar satu jilsah (sekali majlis). Dan adalah tidak layak baginya untuk memanggil guru tersebut sebagai sheikhnya dengan hanya membaca buku-buku karangan beliau.

Saya masih ingat semasa saya bersama rakan-rakan mengunjungi Sheikh Ibrahim bin Siddiq di Tanger yang merupakan salah seorang ulama hadis yang tersohor di Maghribi. Ketika itu, kami baharu sahaja menunaikan solat Jumaat. Kami bermohon izin untuk sesi bergambar. Tiba-tiba, saya terdengar salah seorang dari kalangan ahli jemaah memanggil Sheikh Ibrahim dengan panggilan “Sheikhi” iaitu tuan guruku.

Dari situ, fahamlah saya, begitu juga bagi rakan-rakan yang berkecimpung dalam bidang hadis, betapa bernilainya ungkapan seumpama ini.

Ungkapan ini berupa ijazah atas ilmu yang dicurahkan kepada kita yang memungkinkan kita untuk meriwayatkan sesebuah hadis darinya.

Seandainya seseorang itu tidak pernahpun menghadiri majlis ilmu yang dikendalikan oleh sheikh hadis tersebut, dan juga tidak pernah walau sekali bersemuka dengannya, maka ungkapan “sheikhi” yang diucapkan adalah berupa tadlis (penipuan).

al-Tadlis dalam ilmu hadis bermaksud seseorang itu meriwayatkan sesebuah hadis dari perawi hadis yang sezaman dengannya, padahal beliau tidaklah pula mendengarnya sendiri dari perawi hadis tersebut. Sedangkan dalam ungkapannya beliau menyebut, “Perawi itu memberitahunya sekian dan sekian”.

Meskipun Ibnu Taimiyyah ada menyebut, “Sesiapa sahaja yang telah memanfaatkan ilmunya kepada seseorang, maka beliau adalah sheikhnya”.

Ini adalah dalam bentuk yang terlalu umum.

Tambahan kini, pelbagai rekaan yang disandarkan kepada seseorang yang alim dalam ungkapan : Sheikhi (guruku), Sheikhuna (guru kami), termasuklah ungkapan dukturuna, maka ia bolehlah digolongkan dalam istilah hadis tersebut sebagai serpihan tadlis yang berharap di sebalik semua itu untuk menaikkan martabatnya, ataupun untuk meyakinkan orang ramai akan kata-katanya, padahal beliau tidakpun walau seketika bertemu muka dengan sheikh tersebut.

Lagi malang, jika ungkapan “sheikh” yang diajukan itu pula bukanlah ditujukan kepada orang yang benar-benar mahir dalam bidang hadis, sebaliknya hanya berpura-pura alim, lalu digelarnya “sheikh” oleh para pengikut ‘totoknya’.

Kesimpulannya, untuk menyebut “sheikh” (tuan guru) kepada seseorang yang benar-benar alim adalah sesuai sebagai lambang penghormatan kita terhadapnya, meskipun kita tidak pernah bersemuka dengannya. Namun ungkapan “sheikhi” (tuan guruku) atau “sheikhuna” (tuan guru kami) adalah tidak digalakkan sama sekali, seandainya orang tersebut tidak pernah bertemu muka (bersemuka) dengannya.

Semoga Allah swt menyelamatkan kita dari tipu daya seumpama ini.