Tuesday, May 14, 2013

PESIAPAN DIRI MENANTI RAMADHAN

Ramadhan akan menjelang kembali. Hanya tinggal dua bulan sahaja lagi, kaki kita akan melangkah menuju bulan yang bandingannya lebih baik daripada seribu bulan. Namun begitu, adakah kita telah bersedia untuk menyambutnya? Apakah pula persiapan diri dan anak isteri kita untuk memacu kejayaan dunia dan akhirat yang kian menerpa ini?
Betulkan niat
Langkahan pertama bermula dengan memperbetulkan niat. Ini bertepatan dengan hadis nabi s.a.w bahawa semua amal itu berdasarkan niat yang kita sertakan. Tanpa niat yang benar, maka sudah pasti amalan ibadah tersebut bertukar menjadi adat kebiasaan.
Berapa banyak amalan dalam kehidupan bermasyarakat telah bertukar menjadi adat yang diperturunkan sejak zaman berzaman. Contohnya, seorang yang mandi kerana panas adalah berbeza dengan seorang yang mandi dengan berniat membersihkan diri untuk solat berjemaah di masjid. Begitu juga dengan seorang yang beristirehat di dalam masjid adalah berlainan jika dibandingkan dengan seorang yang berehat yang disertakan niat beri’tikaf. Demikianlah juga seorang yang yang menahan makan dan minum pada siang hari di bulan Ramadhan kerana diet adalah bersalahan dengan mereka yang memasang niat untuk berpuasa.
Kesemua yang pertama tadi tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala, sedangkan yang kedua itu pula diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T atas niat yang telah diniatkan untuk melaksanakan ibadah tersebut.
Dari itu, niat hendaklah diberikan keutamaan khusus sebelum kita melakukan sesuatu amalan.
Betulkan ilmu
Seterusnya, mengisi dada dengan ilmu yang benar telah menjadi suatu tuntutan. Ilmu yang benar akan membawa kita menyusuri jalan kebenaran. Lantaran itu, setiap dari kalangan kita membaca surah al-Fatihan yang ada di dalamya doa yang agung iaitu memohon bantuan Allah S.W.T agar diberikan hidayah petunjuk menuju jalan kebenaran. Manakala bagi orang Islam yang telahpun memperolehi hidayah agar dikekalkan ni’mat hidayah itu sepanjang masa.
Ilmu yang benar akan memberi jaminan kehidupan yang direhdai oleh Allah S.W.T. Ungkapan “Bacalah” sebagai prasyarat ke arah itu. Arahan iqra’ ini tidak hanya tertumpu sekadar membaca, bahkah dituntut untuk memahami, menghayati, membuat kajian dan analisis agar ilmu yang dibekalkan itu dapat berkembang biak dan tumbuh subur di persada akademik kehidupan.
Tanpa ilmu yang benar juga akan menjadikan kita sentiasa diselubungi dengan kekaburan dan kegelapan.
Benarkan amalan
Rentetan daripada ilmu yang benar tadi akan membuahkan amalan yang benar. Amalan yang benar hendaklah diteraskan kepada tunjuang syariat yang meniang seri kehidupan.
Ada beberapa perkara yang perlu kita perbetulkan dalam amalan ibadah seharian kita, khususnya di kala menghampiri Ramadhan al-Mubarak. Sebagai contohnya, berpuasa pada bulan Rejab dengan berpandukan hadis di bawah :
" صَومُ أوَّلِ يَومٍ مِن رَجَبٍ كَفاَّرَةٌ ثَلاثَ سِنِيْنَ، وَالثَّانِي كَفَّارَةٌ سَنَتَيْنِ، ثُمَّ كُلِّ يَومٍ شَهْرًا ".
Bermaksud : “Berpuasa pada hari pertama di bulan Rejab adalah kaffarah (penghapus dosa) selama tiga tahun, manakala pada hari kedua pula selama dua tahun, dan pada hari-hari berikutnya seumpama satu bulan pada setiap hari”.
Hadis di atas adalah antara himpunan daripada hadis-hadis dhaif berkaitan kelebihan bulan Rejab.  Begitu juga dengan hadis yang kedua ini :
" رَجَبٌ شَهْرُ اللهِ، وَشَعْبَانُ شَهْرِي، وَرَمَضَانُ شَهْرُ أمَّتِي ".
Bermaksud : Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku, dan Ramadhan bulan  untuk umatku.
Kedudukan hadis ini adalah terlalu dhaif dan munkar, bahkan ada sesetengah ulama mengkategorikannya sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu.
Hukum beramal dengan hadis dhaif
Menurut pendapat Imam Bukhari dan Imam Muslim yang dipegang oleh Ibnu Hazm al-Zohiri adalah menolak hadis-hadis ini. Samada untuk beramal dengan hadis-hadis tersebut bagi mencari fadhilat atau sebagai sandaran dalam sesuatu hukum. Ini adalah mazhab yang lebih selamat.
Bagi pendapat Imam Ahmad dan Abu Daud yang kedua-dua mereka beramal dengan hadis dhaif adalah dibenarkan. Bagi mereka, hadis dhaif lebih diberi keutamaan berbanding kata-kata ulama.
Menurut Ibnu Hajar pula, hadis-hadis yang dhaif ini dibenarkan untuk beramal dengannya dalam hal-hal yang bersangkutan dengan fadhilat dan nasihat agama. Syaratnya hendaklah tidak tersangat dhaif dan anggaplah amalan itu tiada ‘thabit’ (disebut) dalam hadis yang sahih, hanya sekadar ‘ihtiyat’ (berjaga-jaga) sahaja.
Antara doa yang dinukilkan oleh Imam Ahmad dan Musnadnya (1/259) :
حدّثنا عبدُالله، حدّثنا عُبيدالله بن عمر، عَن زَائدة بن أبي الرقاد، عَن زياد النميري، عن أنس بن مالك قال : "كَانَ النَّبيُّ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ إذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ : اللّهُمَّ باَرِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ". (إسناده ضعيف)
Bermaksud : Adalah nabi s.a.w berdoa apabila tibanya bulan Rejab : “Ya Allah! berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan berkatilah jua kami pada bulan Ramadhan”.
Maka berdoa sebagaimana nabi s.a.w. berdoa  agar dilimpah keberkatan pada bulan-bulan tersebut adalah dibenarkan menurut pendapat Ibnu Hajar tadi.
Tanda-tanda hadis dhaif
Antara tanda-tanda hadis dhaif ialah membawa makna yang melampau dalam sesuatu hal dan tidak pula diterima aqal. Seperti menjanjikan pahala yang terlampau besar dek amalan yang ringkas. Contohnya :
"لُقْمَةٌ فِي بَطْنِ جَائِعٍ خَيْرٌ مِن بِنَاءِ ألْفِ جَامِعٍ".
Bermaksud : “Satu suap ke mulut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid”.
Perbaharui iman
Sebagai persiapan menanti bulan yang dijanjikan Allah dengan pelbagai keistimewaan, maka iman dan keyakinan diri hendaklah diperbaharui.  Iman dapat diperbaharui dengan memperbanyakkan ingatan dan kerinduan kepada Maha Pencipta, menzahirkan lemah diri dan menghidupkan rasa kebergantungan hanya kepada Yang Maha Esa.
Perhatikan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Anfaal (4 : 23):
$yJ¯RÎ) šcqãZÏB÷sßJø9$# tûïÏ%©!$# #sŒÎ) tÏ.èŒ ª!$# ôMn=Å_ur öNåkæ5qè=è% #sŒÎ)ur ôMuÎ=è? öNÍköŽn=tã ¼çmçG»tƒ#uä öNåkøEyŠ#y $YZ»yJƒÎ) 4n?tãur óOÎgÎn/u tbqè=©.uqtGtƒ ÇËÈ  
Ertinya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.
Banyakkan berzikir
Seseorang yang berzikir akan merasakan dirinya sentiasa didampingi oleh Allah S.W.T dalam setiap kerdipan mata dan hembusan nafas. Kekuatan berzikir ini juga turut disahut oleh para makhluk lain yang menghuni alam ini, seumpama guruh di langit turut bertasbih dan bertahmid kepada Yang Maha Esa.
Lakukan mujahadah diri
Selain itu, bermujahadah adalah merupakan jalan terbaik untuk memperbaiki dan menyuburkan iman, lantaran godaan dan himpitan nafsu yang meragam.  Justeru, ibadah yang berkualiti perlulah dirancang dengan sebaik mungkin bagi memberi ruang yang secukupnya untuk berada di bulan Ramadhan al-Mubarak nanti.
Antara amalan yang bakal dilaksanakan ialah membanyakkan bacaan al-Quran, bersolat tarawih dan qiamullail, suka menderma, menjaga tabiat diri dan tutur bicara serta mendidik nafsu agar menjadi jinak dan patuh arahan.
Kesimpulan
Semoga kunjungan tetamu agung ini menjanjikan kepada kita sesuatu yang mampu membahagiakan kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat nanti.
رَوَى مُسلِمٌ عَن أبِي هُريرةَ أنَّ رَسُولَ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ : "إذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أبْوابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّياطِيْن".
Bermaksud : Apabila Ramadhan tiba maka dibuka segala pintu rahmat, ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan". (Sahih Muslim, No. 1793)
 

No comments:

Post a Comment