Setiap peristiwa yang berlaku sudah pasti menyembunyikan banyak mutiara bernilai yang perlu digali. Mutiara itu hendaklah dikutip, digilap dan diasingkan dari butiran pasir yang mengelirukan. Saya yakin Dr Hasan mampu menilai mana pasir dan mana pula mutiara.
Dalam situasi ini, beliau boleh menyemak surah at-Taubah ayat (118) yang mengisahkan seramai 80 orang dari kalangan kaum muslimin yang tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Alasan mereka ialah dek kepanasan terik mentari, tambahan pula kebun-kebun tanaman telah mula menampakkan hasil dengan buah-buahannya yang telah ranum. Mereka lebih selesa untuk berada di bawah naungan dedaun yang rendang sambil menyejukkan badan di aliran anak-anak sungai.
Sebaik sahaja para pejuang Islam pulang dari medan pertempuran, maka 80 orang yang tadi dipanggil untuk bertemu dengan Rasulullah saw lantaran ketidak-hadiran mereka dalam peperangan tersebut. Masing-masing mengemukakan alasan agar terlepas dari tindakan tatatertib.
Manakala tiga orang daripada mereka menyerah diri dan mengaku salah serta tidak lagi berdaya untuk mengemukan alasan sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain. Mereka itu ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi' dan Hilal bin Umayyah. Sesalan yang teramat sangat lantaran ketidak-sertaan mereka bersama Rasulullah saw dalam peperangan tersebut.
Banyak pengajaran yang kita dapat petik dari peristiwa ini. Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali adalah orang pandai. Maka, sudah pasti mampu memahami dan menganalisis fakta dari peristiwa tersebut.
Yang penting sekali ialah kesetiaan dan kewala'an kepada presiden parti adalah segala-galanya. Jangan sekali-kali kita membentuk meeting dalam meeting. Maksud saya, tak usahlah wahai Dr. Hasan Ali untuk mengajak rakan-rakan yang lain (ust. Nasha sebagai contoh) agar mengiakan idea yang kita bawa.
Nampak...kini dia dipecat dari parti berkuat kuasa serta merta. Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat lebih tiga jam di Kuala Lumpur berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS, sebagaimana yang diumumkan oleh YB tuan presiden.
Selepas ini YB Datuk Hasan Ali berdepan dengan dua pilihan, sama ada :
(1) Kembali balik kepada parti dengan membuat pengakuan dan sumpah taat setia tanpa berbelah bahagi, atau
(2) Terus berada di luar parti dan bebas membuat sidang media dan bercakap apa sahaja yang terlintas.
(1) Kembali balik kepada parti dengan membuat pengakuan dan sumpah taat setia tanpa berbelah bahagi, atau
(2) Terus berada di luar parti dan bebas membuat sidang media dan bercakap apa sahaja yang terlintas.
Bagi saya, pulanglah balik kepada parti seandainya beliau ikhlas dalam perjuangan. Untuk apa kita membina puak baharu dengan alasan puak lama telah lari dari landasan perjuangan. Sampai bila kita asyik membilang nombor satu sampai sembilan, kemudian diulang balik membilangnya. Kita kata kita pandai membilang angka, tetapi orang kata kita sebaliknya. Ini samalah dengan mereka yang seronok bersenam atas roda senaman, katanya berbatu-batu kayuhannya, padahal gerakan kakinya hanya berpusing pada angka yang sama. Sedih dan cukup sadis...
No comments:
Post a Comment