Kini di dada-dada akhbar penuh dengan sokongan padu kepada badan kehakiman negara yang bebas. Apa tidaknya setelah badan tersebut dicakar dan dicurigai tahap kebebasan dan keadilannya.
Nah, kini bertali arus sokongan demi sokongan bagi meletakkan kedaulatan undang-undang mengatasi segala-galanya.
Suka saya menyedut satu kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Ali Karramallah Wajhah.
Dalam suatu perjalanan, Saidina Ali membawa bersamanya baju besi yang diikat di belakang kudanya. Tiba-tiba baju tersebut telah terjatuh tanpa beliau sedari. Mencari-carilah Saidina Ali akan baju besinya itu di merata tempat yang beliau lalui. Namun hampa.
Selang beberapa waktu, Saidina Ali telah terserempak dengan seorang yang berbangsa Yahudi dan di tangan beliau terdapat baju besi. Lantas Saidina Ali (yang pada masa itu menjawat jawatan khalifah) memohon darinya agar dikembalikan baju besinya itu. Orang Yahudi tersebut tetap berkeras dan enggan memulangkannya kepada Saidina Ali.
Rentetan itu, Saidina Ali membawa kes ini ke mahkamah dengan membuat pertuduhan ke atas Yahudi itu. Setelah sesi pertuduhan dan penghujahan balas, maka hakim membuat keputusan. Keputusan hakim adalah baju besi itu tetap menjadi milik orang Yahudi.
Saidina Ali hampa namun redha dan akur keputusan mahkamah. Kelihatan sugul di mata beliau lantaran baju besi kesayangannya telah menjadi milik orang.
Di luar mahkamah, orang Yahudi tersebut telah menahan dan menarik tangan Saidina Ali, lalu berkata : "Wahai Ali, aku tahu baju besi ini adalah milik kamu. Namun aku kagum dengan penghakiman ini kerana :
(1) kamu sebagai amirrul Mu'minin sanggup untuk berada dalam mahkamah ini seperti oarang-orang kebanyakan,
(2) walaupun kamu memiliki badan yang gagah dan kuat, serta pangkat dan jawatan, kamu tetap mencari keadilan di dalam mahkamah ini,
(2) walaupun kamu memiliki badan yang gagah dan kuat, serta pangkat dan jawatan, kamu tetap mencari keadilan di dalam mahkamah ini,
(3) jika inilah caranya Islam mengajar umatnya, maka aku dengan penuh kerelaan menyerahkan kembali baju besi ini kepada kamu dan,
(4) aku mengucap dua kalimah syahadah".
Tuan-tuan, perhati dan renunglah situasi di luar mahkamah ini. Cukup terharu dan hiba kita dibuatnya. Bahkan ini dijadikan satu medan dakwah yang amat hebat tentang kebebasan dan keadilan sejagat.
Seandainya kita kembali kepada sinaran Islam yang sebenar, pasti orang yang menuduh akan datang menemui orang yang dituduh dan selesaikan sementara badan masih bernyawa. Sanggupkah kita berdepan dengan Malikul Mulk di mahkamah Rabbul Jalil ? Mampukah kaki kita berdiri di hadapan Allah tanpa penguambela dan peguamcara ?
Marilah kita selesaikan segala urusan kita di dunia ini. Bila mati kelak, sekurang-kurangnya urusan sesama manusia telah kita selesaikan. Buangkan ego dan hancurkan segala kesombongan diri untuk mencari keredhaan yang kekal abadi.
Salam perjuangan demi keadilan sejagat.
No comments:
Post a Comment