Friday, January 6, 2012

Pakar Motivasi Yang Perlu Dimotivasikan


Semalam saya terbaca dalam Malaysiakini melaporkan bahawa Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata : "Saya kasihan terhadap Anwar tetapi beliau tidak seharusnya menjadikan masalah peribadinya sebagai isu negara dan mengheret orang lain bersama. Pelajar sekolah menengah juga harus kekal di sekolah-sekolah dan tidak menjejaskan pelajaran mereka," katanya.
Masa saya membaca petikan dari akhbar itu, saya sudah menyangka, tajuk ini akan disiarkan dalam surat khabar arus perdana. Sangkaan saya betul. Pagi tadi, saya menjenguk kedai runcit yang menjual surat khabar, nah terpampang berita ini di halaman depan (Utusan Melayu dan Sinar).
Sebagai muslim yang berpaksikan agama itu nasihat menasihati, maka itu saya mengambil peluang di sini.
Saya tidaklah mengenali sangat peribadi Datuk Dr Hasan Ali. Pernah satu ketika saya menghadiri ceramah beliau di Hamas, Jasin, Melaka. Orangnya cukup hebat. Begitu profesional. Tambahan pula dapat membaca al-Quran dengan baik. Saya respect.
Namun, akhir-akhir ini, banyak cerita sensasi mengenai dirinya. Saya tidak pasti, sama ada itu rekaan semata-mata atau memang betol-betol, bukan cobaan  (meminjam ungkapan Bujang Lapok).
Dalam mana-mana perlawanan, kita tidak dibenarkan sama sekali membuka ruang untuk musuh mengambil kesempatan ke atas kita. Mohon rujuk surah al-Anfaal (ayat 15-16) yang mana Allah mengeluarkan amaran keras kepada mereka yang lari dari medan perjuangan atau cenderung memihak kepada parti musuh lantaran melihat kekuatan musuh tersebut.
Memberi bola tanggung adalah satu keaiban yang teramat dahsyat. Bertambah dahsyat lagi sekiranya perlawanan itu melibatkan pro-pro belaka. Senario ini terjadi dalam dua keadaan, sama ada pemain itu tidak pandai atau memang sengaja dilakukan.
Burung ketitir jarang berkukur kalau dibandingkan dengan burung terkukur. Namanya pun sudah terkukur, jadi tidak hairanlah burung terkukur akan sentiasa berkukur walaupun tanpa diagah (diacah). Tetapi, sekiranya burung ketitir (merbok) itu berkukur, mesti ianya memberikan sesuatu alamat, sama ada sudah miang ingin berbini ataupun juga padi sudah menguning.
Kita boleh berselisih pendapat, namun dek kerana perselisihan itu kita bermasam muka, maka hal itu Islam tidak menggalakkan. Ingat akan pesanan para pejuang kita, as-Syahid Imam Hasan al-Banna : (نتعاون فيما اتفقنا ونعتذر فيما اختلفنا  ), maksudnya : kita bantu membantu dalam hal yang kita sepakati, dan bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam hal-hal yang kita berselisih.
Selamat berjuang demi masa depan Islam yang gemilang.

No comments:

Post a Comment