Sunday, January 1, 2012

Kini Ramai Berpenyakit 'Ghurur'...



Rasulullah saw telah berpesan bahawa umatnya pada akhir zaman akan dilanda penyakit ghurur.
Ghurur bermaksud apabila seseorang itu merasakan dirinya hebat dan kehebatannya itu melebihi orang lain. Dia merasakan dirinya alim dan kealimannya melebihi orang lain, dan pada masa yang sama, dia menganggap orang lain itu jahil dan bodoh serta tidak layak untuknya berbicara dengan mereka.
Sebaik sahaja seseorang itu dijangkiti penyakit tersebut, maka akan muncullah tanda-tanda menerusi tindakannya yang luar biasa. Jika sebelum ini dia ramai kenalan, tetapi kenalan tersebut telah mula menjauhinya.Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila dia menganggap sesuatu itu tidak akan terlaksana tanpa kehadirannya. Dari itu, ghurur adalah kemuncak kepada penyakit kibriya’ (ego dan bangga diri).
Sengaja saya membuka tirai tahun 2012 ini dengan tajuk ini lantaran banyak sangat kedengaran cerita-cerita yang dipaparkan di dada-dada akhbar menyentuh perihal demikian. Bermula dari penternak lembu sehinggalah kepada pakar-pakar motivasi.
Bagi penternak lembu, sepatutnya mereka tahu bersyukur setelah diberi peluang untuk bertemankan lembu-lembu. Belajarlah sesuatu dari lembu-lembu tersebut. Kalaulah lembu itu seekor binatang yang tiada sangat kepentingannya, masakan Allah swt menyebutnya di dalam al-Quran dan diletakkan pula surah al-Baqarah (yang bermaksud lembu betina) sebagai surah kedua selepas al-Fatihah. Surah tersebut juga merupakn surah terpanjang (286 ayat). Adakah kita melupainya?
Untuk titipan bersama, ayat 67-73 dari surah tersebut menyatakan bahawa nabi Musa as telah menyuruh golongan Bani Israil menyembelih seekor lembu sebagai syarat untuk mengadili mereka dalam kes pembunuhan salah seorang daripada mereka.
Kita bertanya, kenapakah nabi Musa as memilih lembu sebagai taruhan ? Jawabnya, kerana golongan tersebut menjadikan lembu sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah swt. Ini menjatuhkan imej mereka, maka disuruh sembelih ‘tuhan’ tersebut. Apa lagi, berdolak-dalihlah mereka dan bermati-matian mempertahankan untuk tidak menyembelih lembu itu. Akhirnya lembu itu disembelih, lalu diambil sebahagian daripada anggotanya untuk dipukul pada badan si mati, bangkitlah si mati itu lalu memberitahu siapa yang sebenarnya melakukan pembunuhan ke atas dirinya.
Pada penghujung cerita ini, merekalah sebenarnya yang melakukan pembunuhan itu, tetapi untuk menyelamatkan diri, mereka telah menyandarkan bukti pembunuhan kepada orang lain. Demikianlah liciknya perangai orang-orang Yahudi, namun, kelicikan itu tetap juga dibongkarkan Allah swt.
Renung-renungkanlah untuk kebaikan bersama.

No comments:

Post a Comment