Islam adalah ad-din yang menganjurkan umatnya belajar sedaya mungkin agar mampu mengeluarkan minda, hati dan emosi kita dari kegelapan jahiliyyah kepada sinaran ilmu.
Kata bijak pandai, proses mencari ilmu akan terhasil apabila penitisan ilmu terlaksana ke dalam diri manusia. Ianya pula hendaklah disalurkan secara tersusun menerusi tandak tanduk dan perilaku yang bertepatan dengan ilmu yang beliau pelajari.
Justeru, ramailah kebelakangan ini sudah mula berbicara pasal pembelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan supaya diwujudkan waktu rehat fleksibel untuk membolehkan anak-anak bersarapan di sekolah agar proses pembelajaran tidak terjejas. Manakala media pula turut sama membincangkan bebanan buku yang murid-murid dipaksa pikul pada setiap hari.
Tertarik saya kepada dua aliran ini, satunya membicarakan pasal makan, dan satu lagi pula mengenai beg sekolah. Seingat saya, dari dulu sampai kini, itu lah cakap-cakapan bagai diulang tayang pada setiap awal sesi persekolahan dibuka.
Bagi mereka - agaknya- asal ada laporan untuk disiarkan, kira ok lah tu. Yang satu itu pula, asalkan bercakap, kira hidup dan bernyawalah tu.
Sayang sekali, tiada pula yang memberi penumpuan kepada kandungan kurikulum yang diajar. Subjek Pendidikan Islam yang merudum di PMR hari itu. Dalam UPSR pula, subjek ini bagaikan hidup segan mati tak mahu, dipinggirkan sejauh mungkin.
Apabila ada rungutan suara dari para penuntut seperti yang dilaporkan media tentang demonstrasi penuntut UPSI, maka secepat kilat kita melabelkan kumpulan itu sebagai 'kurang ajar' ataupun dalam bahasa agak sopan sikit 'kurang beradab'.
Saya bukanlah penyokong demonstrasi yang ekstremis. Namun, sekiranya, itu sahaja jalan yang boleh kita 'ajarkan' sesetengah pihak, maka apa salahnya?.
Semasa saya menuntut di Maghribi dahulu, budaya ini kerap terjadi, khususnya pada awal sesi pembelajaran lantaran pihak pentadbir universiti menutup sebarang rundingan. Akhirnya, pihak pentadbir terpaksa akur, kerana kewujudan pensyarah itu berkait rapat dengan kewujudan penuntut. Mana mungkin seorang pensyarah bersyarah, hanya di kelas meja dan kerusi yang kosong.
Begitu juga, adakah kita memberi tanggapan bahawa tukang sihir Firaun bertindak kurang ajar apabila melanggar arahan rajanya Firaun. Situasi ini berlaku setelah mereka tewas di tangan nabi Musa as. lantas merekapun sujud kepada Allah Rabbul Jalil meskipun Firaun berada di hadapan mereka. Pada masa itu, mereka sudah tidak peduli lagi sebarang tindakan yang bakal dikenakan ke atas mereka.
Marilah kita fikir-fikirkan bersama...
No comments:
Post a Comment