Monday, December 10, 2012

KESIHATAN DALAM BERIBADAH

=====================Sentuh Amal===================

Kesihatan merupakan anugerah Ilahi yang tiada tolak bandingnya. Semua orang inginkan kesihatan yang sempurna, tanpa diganggu dan diusik, meskipun oleh selsema, jauh sekali dari penyakit yang melekat sehingga ke mati.

Maka benarlah dikata orang, kesihatan itu bagaikan mahkota yang berada di atas kepala seseorang.  Dipuja, dipuji dam dicari agar hidupnya sentiasa terulik dengan kesihatan yang terbaik.

Namun begitu, kesihatan juga adalah ujian daripada Allah swt sebagaimana sesetengah dalam kalangan kita diuji dengan kesakitan. Ujian kesihatan dikatakan lebih mencabar berbanding ujian kesakitan. Ramai orang mampu bersabar atas kesakitan yang dialami, namun agak kurang mensyukuri atas nikmat kesihatan yang diperolehi.  Firman Allah swt dalam surah Saba’ (34:13) yang bermaksud :
Bermaksud : “...dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang tahu bersyukur”.

Kepentingan Sihat
Islam yang diturunkan Allah kepada penganutnya adalah menitik-beratkan penjagaan kesihatan agar penganutnya sentiasa dapat beramal ibadah kepada Maha Pencipta dalam keadaan yang sesempurna mungkin. Jika tidak, mana mungkin ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin seandainya tahap kesihatan terganggu.
Bahkan, Islam meletakkan penjagaan kesihatan dan keselamatan nyawa berada pada tahap kedua selepas penjagaan agama. Jauh dari itu, Islam memberi laluan ‘rukhsan’ (kelonggaran) apabila berlakunya pertembungan antara kepentingan agama dan keselamatan nyawa. Acap kali kita mendengar isu darurat yang mengharuskan kita melakukan perkara yang diharamkan oleh agama lantaran menjaga keselamatan nyawa.

Keanjalan Islam
Justeru, Islam yang bersifat anjal memberi ruang kepada umatnya di saat berhadapan dengan sesuatu kesukaran.

Seorang perempuan yang bertudung diharuskan membuka tudungnya bagi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang lemas di kolam renang, seandainya tudungnya itu sebagai penghalang dalam menjalankan misi menyelamat tersebut.

Begitu juga, seorang pesakit yang mengidap barah payu dara adalah dibenarkan untuk membuka auratnya sekadar mencukupi untuk dilakukan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya di kala ketiadaan doktor wanita.

Berbeza pula bagi seorang perempuan yang meninggal dunia sedangkan tiada pula orang perempuan lain untuk memandikannya. Maka di saat itu, sepakat jumhur bahawa si mati tersebut tidak perlulah dimandikan, memadai dengan hanya bertayammum kerana tayammum itu lebih ringan pendedahan aurat kepada si lelaki yang menguruskan jenazahnya itu. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menentukan apabila berlakunya pertembungan antara arahan (memandikan jenazah) dan larangan (melihat aurat), maka diutamakan larangan berbanding arahan.

Lihatlah, betapa murninya agama Islam. Teramat mengambil berat ke atas kepentingan menjaga kehidupan. Sanggup bertolak-ansur demi menjaga nyawa penganutnya. Sebaliknya, apabila telah meninggal, maka tiadalah lagi kepentingan penjagaan nyawa tersebut. Dari itu, memadailah dengan hanya mengambil jalan ringkas dan lebih selamat, dengan cara bertayammum tanpa perlu lagi memandikannya, terhindar pula dari sebarang unsur fitnah.

(Tulisan lanjut boleh diperolehi dalam majalah INILAH ISLAM keluaran Februari 2013)

No comments:

Post a Comment