Monday, December 10, 2012

MERAWAT PENYAKIT HATI

=====================Sentuh Hati===================

Hati itu segumpal darah yang berada di sebelah diri dada setiap manusia. Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai al-Qalbu (dengan huruf Qaf), bukannya al-Kalbu (dengan huruf Kaf) yang meluas penggunanya dalam bahasa Melayu, sedangkan al-Kalbu itu sebenarnya merujuk kepada seekor binatang yang bergelar anjing.

Sesetengah ulama menghimpunkan hati, ruh dan nafsu dengan membawa maksud yang sama. Bagi memudahkan pemahaman kita, maka kita katakan hati itu adalah cawan dan nafsu itu pula air yang diisi di dalamnya. Manakala ruh itu pula hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahuinya.

Sandaran Nas
Hadis yang diriwayatkan Nu’man bin Bashir r.a, beliau mendengar Nabi saw bersabda :

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (... ألا أنّ فِي الـجَسَدِ مُضْغَةً، إذَا صَلُحَتْ صَلُحَ الـجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الـجَسَدُ كُلُّهُ، ألا وَهِيَ الْقَلْبُ).(صحيح مسلم ج: 3 ص: 1219)
Ertinya : “...Ketahuilah bahawa sesungguhnya di dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh badan. Namun sekiranya daging itu rosak, maka musnahlah seluruh badan. Daging itu ialah hati”.

Hati Dalam Kesakitan 
Hati yang sempurna akan menjaminkan kesejahteraan hidup bagi pemiliknya, dunia maupun akhirat. Namun, hati tersebut jika tidak dijaga dan dikawal serta ditazkiahkan dengan pedoman Ilahi, pasti ianya akan musnah, rosak dan sakit. Firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah (10)  yang bermaksud:

Ertinya : Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Perkara Yang Merosakkan Hati
Apabila terlalu menurut kata hawa nafsu yang sentiasa membisikkan kepada kita keseronokan duniawi. Akhirnya mata, telinga, dan aqal kita tewas dek bisikan tersebut.

Bahkan, patuhan mereka terhadap kerajaan nafsu ini melantunkan kehidupan mereka dengan memuncakkan kesombongan, keangkuhan dan ketakburan. Perhatikan apa kata Firaun apabila diutuskan utusan Ilahi kepadanya sebagaimana yang disebut dalam surah an-Naziaat (23-24) yang bermaksud :
Ertinya : lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, - Dengan berkata:  "Akulah Tuhan kamu, yang tertinggi".

Rantaian nafsu ini tanpa berkesudahan. Semenanjung Tanah Arab pula dimamahnya dengan berbekalkan budaya jahiliyyah, bersulamkan aqidah sembahan berhala, hancurlah sudah maruah wanita, binasalah pula sosial kehidupan yang bersendikan perjudian dan minuman keras. Beginilah nasib kaum Arab lantaran bernafsukan halwa semata-mata.

Hati juga akan menjadi punah ranah apabila dunia menjadi matlamat dalam kehidupan. Mengejar dunia seolah-olah mahukan kehidupan ini berlanjutan sehingga berkurun-kurun lamanya.

Hati yang rosak, musnah dan busuk tadi melaungkan semangat jahanamiah. Menjulang tuannya supaya melawan, menentang dan mencabar kebenaran. Lantaran kebenaran itu tidak bersejajarkan kehendak nalurinya.
(Tulisan lanjut boleh diperolehi dalam majalah INILAH ISLAM keluaran Februari 2013)

No comments:

Post a Comment