Friday, December 14, 2012

RAWATAN NABAWI (Siri II)

======================Diskusi Buku===================
Petunjuk Nabi saw dalam Rawatan
Dalam penulisan buku ini, beliau membawa kita mengenali secara lebih dekat tentang amalan nabi saw dalam bidang perubatan untuk diri baginda saw sendiri, kaum keluarganya dan juga para sahabat ra.

Telah sepakat para doktor bahawa jika sekiranya sesuatu penyakit itu hanya memadai dengan berehat dan mengambil makanan yang sesuai, maka tidak perlu lagi diberi ubat. Ubat sebagai penawar dan pada masa yang sama, ia juga akan membawa kemudharatan kepada badan jika diambil secara berlebihan.

Oleh itu, amalan perubatan hendaklah menentukan ubat berdasarkan jenis pemakaian. Orang kampung biasanya terdedah kepada penyakit yang berpunca daripada satu-satu makanan sahaja. Manakala orang bandar pula lebih terdedah kepada penyakit yang berpunca daripada pelbagai jenis makanan yang juga memerlukan ubat-ubatan yang pelbagai.

Dikatakan amalan rawatan cara ini diperolehi setelah membuat perbandingan antara pemakanan dan ubatan. Ada pula yang beranggapan hasil daripada pengalaman dan juga ilham menerusi mimpi dan sebagainya. Tidak kurang juga yang berkata ianya diperolehi daripada pengamatan terhadap haiwan, umpamanya seekor burung yang menyelam di dalam air agar dapat mengembalikan balik kekuatannnya, seperti seekor ular yang keluar daripada lubang yang gelap, akan menyusuri sejenis daun untuk memulihkan matanya.

Contoh ini dan banyak lagi contoh-contoh yang lain adalah anugerah Ilahi untuk dimanfaatkan bersama. Bahkan lebih daripada itu, iaitu anugerah Allah swt kepada kita menerusi nabi-Nya saw yang tidak mampu dicapai oleh aqal manusia, dan tidak pula mampu diterokai oleh pengalaman dan pengamatan bijak pandai, iaitu dengan membina rawatan hati, mengubat jiwa, bergantung penuh kepada Allah swt dan berserah diri kepada-Nya. Semua itu telah dikenal pasti merupakan cara rawatan terbaik dan memberi kesan yang mendalam.

Kita juga telah amati bahawa cara ini masih berada di atas landasan sebagaimana yang dikehendaki dalam ilmu perubatan. Sememangnya apabila hati telah berpaut teguh kepada Pencipta, Tuhan yang mencipta penyakit dan penawarnya, Tuhan yang mengatur urusan alam ini, merupakan salah satu daripada cara penyembuhan yang sewajarnya diamalkan.

Kita semua maklumi bahawa jiwa dan semangat yang kuat akan lebih mudah baginya untuk menahan diri daripada penyakit yang mendatang. Ini jelas dengan hanya membaca surah al-Fatihah dapat mengurangkan kesakitan yang dialami oleh seseorang.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya ;
عَن جَابِر بن عبدالله، عَن النَّبي صلّى الله عَليهِ وسَلّم أنَّهُ قَالَ : "لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإذَا أصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ، بَرَأَ بِإذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ".
Bermaksud : “Setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila penyakit itu menepati ubatnya, maka akan disembuhkan dengan izin Allah swt”.  (Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari dalam sahih mereka :
عَن عَطاء، عَن أبي هُرَيرةَ، قَال : قَال رَسولُ الله صلّى الله عَليهِ وَسلّم : مَا أنزلَ الله مِن دَاءٍ إلاّ أنْزَلَ لَه شِفَاءً".
Bermaksud : “Tidak sekali-kali Allah swt menurunkan sesuatu penyakit melainkan ada bersama-samanya penawar”.       (Hadis riwayat Muslim & Bukhari)

Dalam hal yang sama, hadis yang disebut oleh Imam Ahmad :
عَن أُسَامة بن شَريك، قَال : كُنتُ عِندَ النَّبي صلّى الله عَليه وَسلّم، وَجَاءَت الأعْرابُ، فَقالُوا : يَا رَسولَ الله : أَنَتَدَاوَى ؟، قَال : نَعَم يَا عِبادَ الله، فَإنّ الله عَزّ وَجَلّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إلا وَضَعَ لَه شِفَاءً، غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ. قَالُوا : مَا هُو ؟ قَال : الـهَرَمُ.
Bermaksud : “Semasa aku (Usamah) bersama Nabi saw tiba-tiba muncul sekumpulan Arab datang bertanyakan Nabi saw kata mereka : Wahai Rasulullah! Apakah benarkan kami untuk berubat ? Maka jawab Nabi saw : Ya, wahai hamba-hamba Allah sekalian. Sesungguhnya Allah tidak meletakan sesuatu penyakit melainkan bersama-samanya penawar, kecuali satu sahaja. Mereka bertanya, apakah yang satu itu ? Maka jawab Nabi saw : Itulah penyakit tua”.   (Hadis Musnad Ahmad)
وفي لَفظ : إنّ الله لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إلا أنْزَلَ لَه شِفَاءً، عَلِمَهُ مَن عَلِمَهُ، وَجَهِلَهُ مَن جَهِلَهُ".
Bermaksud : “Sesungguhnya Allah swt tidak sekali-kali menurunkan penyakit melainkan turun bersama-samnya penawar, maka tahulah ubatnya bagi orang yang tahu, dan jahillah bagi orang yang jahil”.

Kesemua hadis yang dinyatakan di atas tadi dengan jelas menerangkan kepada kita akan adanya penyakit dan pasangannya iaitu penawarnya.

Merujuk kepada hadis di atas juga, dapat kita katakan secara umum, dan tidak diambil ubat-ubatan yang membunuh dan sukar untuk disembuhkan. Berkemungkinan ada ubatnya, namun Allah swt tidak mendedahkannya kepada kita, kerana secara dasarnya kita tidak mengetahui sesuatu apapun kecuali apa yang diajar oleh Allah swt kepada kita.

Oleh itulah, nabi saw meletakkan perkataan ‘berkebetulan’ antara penyakit dan ubatan. Secara dasarnya juga bahawa setiap makhluk di alam ini hidup dan wujud secara berpasangan, maka begitulah juga hakikatnya rawatan, setiap penyakit akan berpasangan dengan ubatan.
Difahamkan di sini bahawa setiap ubat-ubatan yang diambil secara berlebihan atau salah guna, maka akan bertukar kepada jenis penyakit yang baru. Berikut adalah keadaan-keadaan yang mengagalkan sesuatu rawatan, iaitu :

1) Ubatan terlalu sedikit,
2) waktu rawatan yang tidak sesuai,
3) kekuatan badan yang lemah, dan
4) halangan-halangan lain yang mendatang.

Sebaliknya, jika rawatan itu berkebetulan dengan suasana yang diperlukan, maka ada kemungkinan besar penyakit tersebut dapat diubati.

Berdasarkan hadis ini juga adalah memerintahkan kita supaya berusaha mencari ubat, dan tidak boleh dengan hanya berserah diri semata-mata. Ini sebagaimana tidak boleh menahan lapar, dahaga, sejuk, panas dan sebagainya dengan tidak berusaha mencari penyelesaiannya.

Sekiranya jalan usaha telah dicari, namun penyakit tidak juga sembuh, maka pada ketika itu, hendaklah bergantung hati kepada Allah swt untuk mencari kebaikan dunia dan akhirat, di samping menjauhkan diri daripada segala yang boleh merosakkan diri dan agama. Inilah andaian ringkas tentang hadis yang kita bicarakan.

No comments:

Post a Comment