Saturday, January 7, 2012

Apabila Tibanya Pertolongan Allah...

Semua kita adalah lemah. Lemah untuk mencapai sesuatu. Lemah untuk menghalang sesuatu. Lagi lemah apabila berdepan dengan kekuatan Rabbul Jalil.

Dari itu, janganlah sekali-kali kita atau berkali-kali berhasrat atau cuba mempertaruhkan kekuatan untuk berdepan dengan kekuatan Yang Maha Gagah.

يا حسرة على العباد Alangkah ruginya ummat ini apabila mereka cuba untuk mencabar dan memperadukan tenaga dan kehebatan yang ada untuk menentang Tuhannya.

Sedarkah mereka, siapakah yang memberikan mereka udara untuk bernafas, yang memberikan mereka makan dan minum untuk terus hidup, yang mendidik dan membesarkan mereka, dan yang menganugerahkan mereka segala-galanya sehingga dilantik menjadi khalifah di dataran ini ???.

Inilah sikap manusia, cukup sukar untuk mensyukuri, namun amat mudah pula untuk memprotes. Sedangkan udaran yang diberikan itu tidak pernahpun dibilkan, sinaran mentari yang senantiasa muncul tanpa jemu-jemu, tidak pernah pula dituntut bayarkan.

Pabila datang saat dan ketikanya, maka pertolongan Allah swt akan muncul jua. Pertolongan yang mengatasi segala persiapan dan kekuatan para zalimin. Pertolongan yang bisa meranapkan perancangan para makirin. Pertolongan itu datang untuk menunjukkan bahawa di sana ada Tuhan yang perlu dihormati dan disembah. Datangnya pertolongan itu sebagai ganjaran atas penat lelah para pejuang. Kedatangannya atas arahan dari Allah swt tanpa seorangpun mampu menolak atau mengelak.

Pada masa itu, terhantuk atau tergadah tiada gunanya lagi. Ibarat Firaun yang telah tewas dan menyerah kalah, namun segala-galanya sudah terlambat. Usahlah kita mengulangi sikap kefiraunan ini dalam diri kita.

Masa masih ada. Tidak perlu untuk kita berlindung di sebalik tiang mahkamah. Sepanjang masa asyik terlepas dari kejahatan yang dilakukan. Sering mengenakan orang lain sebagai mangsa kerakusan kita. Sedar dan sedarlah...

Syabas kepada para pejuang keadilan, semoga Allah memberi pertolongan kepada tuan.
















Friday, January 6, 2012

Tunjuk Perasaan di Melaka


Tengahari tadi saya sempat bersolat Jumaat di salah sebuah masjid di negeri Melaka. Saya sengaja pilih masjid ini setelah diperkenalkan oleh sahabat saya untuk bersolat di dalamnya. Ruangannya cukup selesa, angin berderu-deru menjadikan udara begitu nyaman semacam berada di tepi pantai, ahli jemaahnya yang tidaklah terlalu sesak memungkin kita bersolat di saf hadapan mes...kipun datang lewat.

Sesampai sahaja saya di masjid itu, tok khatib baharu sahaja menaiki mimbar. Jelas suara tok khatib, nyaring dan lantang, sukar untuk kita memejamkan mata meskipun terasa mengantuk. Berbeza dengan sesetengah khatib yang mana suaranya makin membuatkan orang terlena.

Kandungan khutbahnya juga selari dengan isu-isu semasa. Banyak memberi penekanan kepada akhlak persaudaraan sesama muslim. Akhlak yang makin hari makin terhakis.

Namun begitu, saya ada beberapa cadangan agar khutbah yang disampaikan itu lebih berbisa.

(1) Tajuknya ialah persaudaraan dalam Islam. Tajuk seumpama ini dah biasa kita dengar. Apa kata kita tukarkan kepada tajuk : "Hidupkan persaudaraan, Hancurkan Perpecahan".

(2) Cara menyampaikan khutbah itu menampakkan sangat bahawa kita sedang membaca teks. Ini menjadikan penyampaian itu tidak real. Eloklah rasanya tok khatib tadi membaca dahulu teks tersebut dengan nada orang bersyarah dan tandakan tempat-tempat yang sepatutnya berhenti dan perlu diberikan penekanan.

(3) Tersalah membaca ayat al-Quran, sepatutnya "al-mu'minin", tetapi dibaca "al-mu'minaat". Begitu juga perkataan "yarham", tetapi dibaca "yarjam". Saya tidak pastilah sama ada teks itu yang silap ataupun tok khatib yang tersalah. Apa pun, ini boleh diatasi dengan hanya memilih ayat-ayat lazim sebagai melengkap rukun khutbah tersebut.

Walau apa pun, sekalung penghormatan untuk tok khatib tadi.

Sebenarnya saya nak ceritakan perkara yang lain, iaitu tunjuk perasaan telah berlaku di masjid tadi. Jangan terkejut pula, tunjuk perasaan itu ialah demonstrasilah (meminjam kata tuan guru Nik Aziz).

Dalam bahasa Arab, demonstari ialah 'muzhaharat', bermakna menunjukkan sesuatu. Memang kita melaksankan perhimpunan pada hari Jumaat adalah untuk menunjukkan sesuatu. Menunjukkan bahawa Islam itu hebat, Islam itu ramai penyokongnya, Islam itu agama yang perlu berada di tengah-tengah masyarakat.

Maka itulah sebabnya, demonstrasi agung akan berlaku setiap tahun pada musim haji. Di kala ini, semua insan akan menunjukkan perasaan masing-masing, perasaan berbangga kerana menjadikan Islam pegangan hidup, perasaan bersyukur dan berterima kasih atas segala ni'mat yang diperolehi, dan pelbagai lagi perasaan yang perlu ditunjukkan agar ianya dijadikan salah satu cabang dakwah kepada manusia sejagat.

Inilah ajaran Islam bawaan Rasulullah saw untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Ajaran yang amat-amat mementingkan berjemaah kerana 'tangan' Allah berada dalam jemaah (يد الله مع الجماعة ).

Pakar Motivasi Yang Perlu Dimotivasikan


Semalam saya terbaca dalam Malaysiakini melaporkan bahawa Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata : "Saya kasihan terhadap Anwar tetapi beliau tidak seharusnya menjadikan masalah peribadinya sebagai isu negara dan mengheret orang lain bersama. Pelajar sekolah menengah juga harus kekal di sekolah-sekolah dan tidak menjejaskan pelajaran mereka," katanya.
Masa saya membaca petikan dari akhbar itu, saya sudah menyangka, tajuk ini akan disiarkan dalam surat khabar arus perdana. Sangkaan saya betul. Pagi tadi, saya menjenguk kedai runcit yang menjual surat khabar, nah terpampang berita ini di halaman depan (Utusan Melayu dan Sinar).
Sebagai muslim yang berpaksikan agama itu nasihat menasihati, maka itu saya mengambil peluang di sini.
Saya tidaklah mengenali sangat peribadi Datuk Dr Hasan Ali. Pernah satu ketika saya menghadiri ceramah beliau di Hamas, Jasin, Melaka. Orangnya cukup hebat. Begitu profesional. Tambahan pula dapat membaca al-Quran dengan baik. Saya respect.
Namun, akhir-akhir ini, banyak cerita sensasi mengenai dirinya. Saya tidak pasti, sama ada itu rekaan semata-mata atau memang betol-betol, bukan cobaan  (meminjam ungkapan Bujang Lapok).
Dalam mana-mana perlawanan, kita tidak dibenarkan sama sekali membuka ruang untuk musuh mengambil kesempatan ke atas kita. Mohon rujuk surah al-Anfaal (ayat 15-16) yang mana Allah mengeluarkan amaran keras kepada mereka yang lari dari medan perjuangan atau cenderung memihak kepada parti musuh lantaran melihat kekuatan musuh tersebut.
Memberi bola tanggung adalah satu keaiban yang teramat dahsyat. Bertambah dahsyat lagi sekiranya perlawanan itu melibatkan pro-pro belaka. Senario ini terjadi dalam dua keadaan, sama ada pemain itu tidak pandai atau memang sengaja dilakukan.
Burung ketitir jarang berkukur kalau dibandingkan dengan burung terkukur. Namanya pun sudah terkukur, jadi tidak hairanlah burung terkukur akan sentiasa berkukur walaupun tanpa diagah (diacah). Tetapi, sekiranya burung ketitir (merbok) itu berkukur, mesti ianya memberikan sesuatu alamat, sama ada sudah miang ingin berbini ataupun juga padi sudah menguning.
Kita boleh berselisih pendapat, namun dek kerana perselisihan itu kita bermasam muka, maka hal itu Islam tidak menggalakkan. Ingat akan pesanan para pejuang kita, as-Syahid Imam Hasan al-Banna : (نتعاون فيما اتفقنا ونعتذر فيما اختلفنا  ), maksudnya : kita bantu membantu dalam hal yang kita sepakati, dan bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam hal-hal yang kita berselisih.
Selamat berjuang demi masa depan Islam yang gemilang.

Thursday, January 5, 2012

Belajar Menjadi Kurang Ajar?

Islam adalah ad-din yang menganjurkan umatnya belajar sedaya mungkin agar mampu mengeluarkan minda, hati dan emosi kita dari kegelapan jahiliyyah kepada sinaran ilmu.
Kata bijak pandai, proses mencari ilmu akan terhasil apabila penitisan ilmu terlaksana ke dalam diri manusia. Ianya pula hendaklah disalurkan secara tersusun menerusi tandak tanduk dan perilaku yang bertepatan dengan ilmu yang beliau pelajari.
Justeru, ramailah kebelakangan ini sudah mula berbicara pasal pembelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan supaya diwujudkan waktu rehat fleksibel untuk membolehkan anak-anak bersarapan di sekolah agar proses pembelajaran tidak terjejas.  Manakala media pula turut sama membincangkan bebanan buku yang murid-murid dipaksa pikul pada setiap hari.
Tertarik saya kepada dua aliran ini, satunya membicarakan pasal makan, dan satu lagi pula mengenai beg sekolah. Seingat saya, dari dulu sampai kini, itu lah cakap-cakapan bagai diulang tayang pada setiap awal sesi persekolahan dibuka.
Bagi mereka - agaknya- asal ada laporan untuk disiarkan, kira ok lah tu. Yang satu itu pula, asalkan bercakap, kira hidup dan bernyawalah tu.

Sayang sekali, tiada pula yang memberi penumpuan kepada kandungan kurikulum yang diajar. Subjek Pendidikan Islam yang merudum di PMR hari itu. Dalam UPSR pula, subjek ini bagaikan hidup segan mati tak mahu, dipinggirkan sejauh mungkin.
 
Apabila ada rungutan suara dari para penuntut seperti yang dilaporkan media tentang demonstrasi penuntut UPSI, maka secepat kilat kita melabelkan kumpulan itu sebagai 'kurang ajar' ataupun dalam bahasa agak sopan sikit 'kurang beradab'.
Saya bukanlah penyokong demonstrasi yang ekstremis. Namun, sekiranya, itu sahaja jalan yang boleh kita 'ajarkan' sesetengah pihak, maka apa salahnya?.
Semasa saya menuntut di Maghribi dahulu, budaya ini kerap terjadi, khususnya pada awal sesi pembelajaran lantaran pihak pentadbir universiti menutup sebarang rundingan. Akhirnya, pihak pentadbir terpaksa akur, kerana kewujudan pensyarah itu berkait rapat dengan kewujudan penuntut. Mana mungkin seorang pensyarah bersyarah, hanya di kelas meja dan kerusi yang kosong.
Begitu juga, adakah kita memberi tanggapan bahawa tukang sihir Firaun bertindak kurang ajar apabila melanggar arahan rajanya Firaun. Situasi ini berlaku setelah mereka tewas di tangan nabi Musa as. lantas merekapun sujud kepada Allah Rabbul Jalil meskipun Firaun berada di hadapan mereka. Pada masa itu, mereka sudah tidak peduli lagi sebarang tindakan yang bakal dikenakan ke atas mereka.
 Marilah kita fikir-fikirkan bersama...

Apabila Kuasa Menguasai Kita

Ramai orang inginkan kuasa untuk jadi berkuasa. Bila berkuasa, dia berpeluang untuk melakukan apa sahaja. Mereka ini  terlalu  sayangkan kuasa yang ada. Terkadang melebihi dari yang lain. Apa tidaknya, kuasa itu pelaris untuk segala-galanya. Dari itu, mereka teramat bimbang akan kehilangannya. Berhempas-pulaslah mereka demi mempertahankan kuasa yang dimiliki.  Tanpa disedari, orang lain telah  melihatnya sebagai gila kuasa. 
Orang yang sudah gila, janganlah diharapkan dirinya akan mengaku gila. Orang gila bermati-matian mengatakan orang lain itu gila. Apabila seseorang itu telah ‘bergila’ (berkelakuan gila), dia turut mengajak orang lain supaya ‘menggila’ (menjadi-jadi gila) seperti dirinya, dan dia akan bertambah seronok jika orang lain itu lebih gila darinya.
Tuan-tuan, saya memohon maaf atas kekerapan perkataan  ‘gila’ yang ditintakan.
Oleh itu, sebelum kita ‘gila kuasa’, renung-renungkanlah ayat-ayat Allah swt yang memperihalkan di dalam al-Quran akan nasib gerombolon ini.
Antaranya, kisah Firaun apabila dia mengatakan dialah pemilik sebenar bumi Mesir dengan mengambil bukti sungai Nil mengalir di bawah tapak kakinya. Jauh dari itu, dia dengan keangkuhannya telah mendaulatkan dirinya sebagai tuhan yang maha agung.
Kita bertanya, kenapakah Firaun tersasar begitu jauh sehingga sanggup  pula menjadikan dirinya sebagai tuhan ? Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana kuasa yang beliau miliki.
(Gambar atas : Mumia Maha Firaun)

Tuesday, January 3, 2012

Berbohong Untuk Bermaruah ?...




Antara sifat keji yang sepatutnya dihindari setiap insan yang menggelarkan dirinya muslim adalah sifat bohong, dalam bahasa Arab dipanggil kazib.

Namun, ada sesetengah dari kalangan kita beranggapan pembohongan itu adalah jaket keselamatan yang perlu dipakai demi menyelamatkan maruah diri. Kalaulah bercakap bohong itu mampu memartabatkan harga diri, sudah pasti Rasulullah saw dan para sahabatlah ra akan menjadi kumpulan pertama memiliki sifat demikian.

Sedangkan sejarah Islam tiada memberitakan hal demikian. Rasulullah saw sendiri dianugerahkan gelaran al-amin lantaran baginda saw berlaku jujur dan amanah serta benar dalam perwatakan harian baginda saw.

Sebaliknya sejarah Islam menampilkan puak-puak yang sering melakukan pembohongan ini adalah terdiri dari kelompok para munafiqin seperti Musailamatul al-Kazzab, Abdullah bin Ubai bin Salul dan sespecies yang lain.

Dari itu, siapakah yang benar dan siapakah pula yang berbohong tentang isu pembiayaan wang zakat berjumlah RM63,650 bagi tujuan pembiayaan kos guaman membabitkan menteri agama kita ?

Begitu juga, siapakah pula yang berbohong dalam tindakan yang diambil ketika menyuraikan demonstrasi para penuntut UPSI tempoh hari sehingga menyebabkan kecederaan sebilangan penuntut termasuk Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang Talib.

Samalah juga dengan kes permohonan maaf yang dilaporkan Harakah, namun dinafikan oleh tuan badan.

Rakyat telah muak dan mual dengan siri-siri pembohongan seumpama ini. Sudah sampai masanya kita berkata benar. Bercakap benar tidak merugikan apa-apa. Malah, menaikkan lagi martabat diri.

Benarlah kata orang tua-tua, sekali kita berbohong, maka kita akan terus berbohong, sehinggalah disebut dalam agama kita sebagai kazzab. Kazzab bermaksud, kelakuan melampau (sighah mubalaghah) dalam berbohong.

Bacalah ayat 9-10 surah al-Baqarah yang memperihalkan orang-orang berbohong. Mereka cuba untuk menipu Allah swt dan orang-orang yang beriman, sebaliknya merekalah yang membohongi diri mereka sendiri tanpa mereka sedari, kerana di dalam hati mereka itu ada penyakit dengki dan jahat, lantaran itu, Allah swt tambahkan lagi penyakit tersebut.

Marilah kita memohon perlindungan Allah swt dari dijangkiti dengan penyakit-penyakit ini akibat dari tindakan kita yang berbohong.

Sunday, January 1, 2012

Kini Ramai Berpenyakit 'Ghurur'...



Rasulullah saw telah berpesan bahawa umatnya pada akhir zaman akan dilanda penyakit ghurur.
Ghurur bermaksud apabila seseorang itu merasakan dirinya hebat dan kehebatannya itu melebihi orang lain. Dia merasakan dirinya alim dan kealimannya melebihi orang lain, dan pada masa yang sama, dia menganggap orang lain itu jahil dan bodoh serta tidak layak untuknya berbicara dengan mereka.
Sebaik sahaja seseorang itu dijangkiti penyakit tersebut, maka akan muncullah tanda-tanda menerusi tindakannya yang luar biasa. Jika sebelum ini dia ramai kenalan, tetapi kenalan tersebut telah mula menjauhinya.Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila dia menganggap sesuatu itu tidak akan terlaksana tanpa kehadirannya. Dari itu, ghurur adalah kemuncak kepada penyakit kibriya’ (ego dan bangga diri).
Sengaja saya membuka tirai tahun 2012 ini dengan tajuk ini lantaran banyak sangat kedengaran cerita-cerita yang dipaparkan di dada-dada akhbar menyentuh perihal demikian. Bermula dari penternak lembu sehinggalah kepada pakar-pakar motivasi.
Bagi penternak lembu, sepatutnya mereka tahu bersyukur setelah diberi peluang untuk bertemankan lembu-lembu. Belajarlah sesuatu dari lembu-lembu tersebut. Kalaulah lembu itu seekor binatang yang tiada sangat kepentingannya, masakan Allah swt menyebutnya di dalam al-Quran dan diletakkan pula surah al-Baqarah (yang bermaksud lembu betina) sebagai surah kedua selepas al-Fatihah. Surah tersebut juga merupakn surah terpanjang (286 ayat). Adakah kita melupainya?
Untuk titipan bersama, ayat 67-73 dari surah tersebut menyatakan bahawa nabi Musa as telah menyuruh golongan Bani Israil menyembelih seekor lembu sebagai syarat untuk mengadili mereka dalam kes pembunuhan salah seorang daripada mereka.
Kita bertanya, kenapakah nabi Musa as memilih lembu sebagai taruhan ? Jawabnya, kerana golongan tersebut menjadikan lembu sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah swt. Ini menjatuhkan imej mereka, maka disuruh sembelih ‘tuhan’ tersebut. Apa lagi, berdolak-dalihlah mereka dan bermati-matian mempertahankan untuk tidak menyembelih lembu itu. Akhirnya lembu itu disembelih, lalu diambil sebahagian daripada anggotanya untuk dipukul pada badan si mati, bangkitlah si mati itu lalu memberitahu siapa yang sebenarnya melakukan pembunuhan ke atas dirinya.
Pada penghujung cerita ini, merekalah sebenarnya yang melakukan pembunuhan itu, tetapi untuk menyelamatkan diri, mereka telah menyandarkan bukti pembunuhan kepada orang lain. Demikianlah liciknya perangai orang-orang Yahudi, namun, kelicikan itu tetap juga dibongkarkan Allah swt.
Renung-renungkanlah untuk kebaikan bersama.