Tuesday, May 15, 2012

Mencari Kebenaran

 

“Dalam Islam. tidak boleh menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yang fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam”. (Tan Sri Harussani Zakaria, BH, Mei 14, 2012)

Sejarah Islam mengajar kita tata cara membina sebuah negara yang berlandaskan agama. Nabi saw selama hampir 13 tahun menanam benih iman ke dalam diri umat Islam. Lantaran tanah Mekah tidak menizinkan iman berkembang subur, lantas Nabi saw atas arahan Ilahi menuju ke Yathrib (Madinah) dengan hanya membawa satu alasan tiada dua, iaitu untuk menyuburkan benih-benih iman yang telah mula menetas.

Iman menuntut pembuktian. Iman mengajak kita ke arah kedamaian. Iman mengajar kita erti kehidupan. Iman jugalah menjamin kelangsungan hidup kita dunia dan akhirat dengan berpandukan kitab dan sunnah.

Al-Kitab dan al-Sunnah mengacuankan kita dengan sesempurnanya. Cuma kita, terkadang lalai dan alpa atas keegoan yang dimiliki.

Kedua-dua kitab ini sentiasa mengingatkan kita agar menjauhi persengketaan. Perselisihan sukar untuk dielakkan, namun mengikut kehendak perselisihan sehingga membawa kepada persengketaan adalah ditegah sama sekali.

Pelbagai ungkapan yang diluahkan oleh para ulama dan cendikiawan, samada menerusi seminar ataupun forum yang dianjurkan. Sesekali ungkapan itu agak mengharu-birukan pemikiran ummah. Ada ulama membenarkan BERSIH 3.0, bahkan mewajibkannya. Majlis Fatwa Kebangsaan pula melarangnya.

Kebenaran tetap kebenaran, Kebenaran itu adalah satu, tiada duanya. Kebenaran itu muncul untuk melenyapkan kebathilan.

Pas kata mereka tetap akan memperjuangkan Islam. Bagi mereka Islam itu adil untuk semua. Bagi yang tidak setuju pula mempersoalkan keikhlasan Pas dalam memperjuangkan Islam. Ada yang mengatakan bahawa perjuanganya telah menyeleweng daripada matlamat sebenar.

Akirnya, tercadanglah untuk bermuzakarah. Pas terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja. Wakil ulama UMNO pula telah mensyaratkan agar majlis tersebut berteraskan adab dan tata susila yang baik.

Bagi saya, kalau UMNO nak kepada Islam, sudah lama mereka itu membubarkan parti kebangsaan yang mereka daulatkan itu. Ini tidak, pimpinan PERKASA meminta pula Pas menggugurkan perkataan Islam dari partinya.

Ingin saya jelaskan, Islam itu Islam dan Melayu itu Melayu. Seumpama Islam itu Islam dan Arab itu Arab. Melayu tidak semestinya muslim dan muslim tidak semestinya Melayu. Arab tidak semestinya muslim dan muslim tidak semestinya Arab.

]Dek kerna budaya, akhirnya kita katakan bahawa semua orang Melayu itu adalah muslim. Syukur kerana Islam telah menjadi sebatian bangsa kita.

Namun, ada bahayanya jika tidak dihayati sebetulnya, yang akhirnya nanti kita akan menghak-milikkan Islam itu untuk diri keturunan kita beracuankan bangsa kita, lupa padahal pemilik Islam yang sebenarnya ialah Allah swt.

Atas dasar itu, Nabi saw membangunkan Islam bukan berdasarkan bangsa, Islam di peringkat awal telah terbangun dalam pelbagai bangsa dan kabilah. Lihat kepada Salman al-Farisi yang berasal dari Farsi (Iran), begitu juga dengan Ka’ab al-Ahbar yang berketurunan Yahudi dan banyak lagi.

Oleh itu, Islam untuk semua bangsa adalah suatu kebenaran. Mengejar bangsa tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebagaimana kita mengejar pangkat.

Dari itu, marilah kita jadikan bangsa kita sebagai landasan untuk kita berdiri di atasnya menuju keindahan Islam yang sejati. Bukan sebaliknya.

Dengan kata lain, bangsa bukannya matlamat perjuangan, ia adalah wasilah untuk mengejar matlamat teragung iaitu kedaulatan Islam.

No comments:

Post a Comment