SEPANG: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan HARAM untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Abd. Shukor Hussin berkata, majlis memandang serius tindakan sebahagian masyarakat khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti dalam BERSIH 3.0 yang menyebabkan kerosakan, kemudaratan, pergaduhan dan kacau bilau. (BH, Mei 7 2012)
Cantik. Fatwa yang ringkas, padat dan terlalu segera serta mesra rakyat. Sayangnya, fatwa ini tidak disertakan sekali hujjah naqli dan aqli yang berkait rapat dengan situasi semasa. Dalil yang dibawa terlalu umum. Semua boleh akses daripada dalil tersebut. Jangan timbulkan perpecahan dalam kalangan ummah, perlulah menghormati ulul amri dan sebagainya.
Saya bimbang seandainya fatwa yang dikeluarkan ini juga berdasarkan kepada skrip yang telah siap tertaip. Pihak majlis fatwa hanya perlu menggerakkan lidah dan membuka mulut secara berkumat-kumit.
Alhamdulillah, seandainya betul maka mereka memperolehi dua ganjaran. Ganjaran berfikir dan ganjaran kerana betul. Jika salah, mereka memperolehi cuma satu. Namun sebaliknya, jika salah dan mereka tahu itu juga adalah salah, bahkan berkeras secara sengaja untuk menipu kepentingan ummah, maka mereka telah menempah satu tempat duduk di dalam api neraka.
Saya menyokong majlis fatwa seandainya fatwa yang dikeluarkan itu terbangun atas hujah yang jelas dan bersuluh serta tiada menjaga kepentingan individu atau parti. Fatwa yang dikeluarkan itu adalah benar-benar untuk menjaga agama yang paling utama, diikuti nyawa harta dan berikutnya.
Namun, sekiranya majlis ini dijadikan alat untuk diperalatkan, maka sudah pasti fatwa yang dikeluarkannya juga akan tersasar.
Alat ialah sesuatu yang digunakan atau dipergunakan untuk mencapai sesuatu maksud. Digunakan dan dipergunakan adalah dua perkataan yang dasarnya sama, namun membawa maksud yang berbeza.
Dipergunakan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘exploit’ adalah menggambarkan seseorang yang mengambil sesuatu itu sebagai alat untuk menjaga kepentingan bagi hanya dirinya sendiri.
Saya contohkan begini. Kita ingin memetik buah kelapa yang berada tinggi di atas pokok. Untuk dipanjat, ianya agak sukar, tambahan pula apabila berumur. Lalu diambilnya galah yang panjang lalu dijolok bagi menjatuhkan buah kelapa tersebut. Maka, galah itu kita namakan sebagai alat yang telah digunakan bagi mencapai matlamat dirinya untuk memetik buah kelapa tadi.
Namun, sekiranya galah yang digunakan tadi dibiarkan begitu sahaja, terdedah dek panas dan hujan, musim panas ia kering, musim sejuk ia basah, musim berkulat ia berkulat, musim mereput maka reputlah ia. Apabila diperlukan, maka tercari-carilah akan galah tersebut.
Dalam situasi ini, galah tadi telah dipergunakan untuk menjaga kepentingan pengguna galah tersebut, walhal tiada langsung rasa kesian belas terhadap apa yang terjadi kepada galah itu.
Rentetan itu, berfatwa hendaklah mempunyai koleksi maklumat yang lengkap. Maklumat al-Din dan juga maklumat semasa. Barang diingat, berfatwa adalah juga sama dengan mengeluarkan sesuatu hukuman ke atas seseorang yang perlu dibuktikan dengan bayyinah.
Berfatwa di alam maya dan berkotak bagaikan kanak-kanak bergamekan kereta. Memandu membabi buta, terbabas dan dibabaskan. Cuma, yang tercedera ialah kereta. Pemandu tiada apa-apa kesan fizikal. Hanya yang terkesan ialah kekeringan wang saku. Itu sahaja.
Lantaran itu, berfatwa bukannya menggunakan kaedah ‘try and error’. Sebaliknya ‘True and Trust’.
Selamat berfatwa fatwi
No comments:
Post a Comment