Menteri hal ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tampil menyokong pendedahan video oleh bekas exco hal ehwal agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa kewujudan gerakan mengkristiankan orang Islam. Akhbar Utusan Malaysia memetik Jamil sebagai berkata video berkenaan "bukan satu lakonan dan sengaja dibuat-buat." Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bertemu Hasan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai video yang didedahkan itu. (mkini, Apr 4, 2012)
Mengurus sistem adalah menjadi tanggungjawab semua kita. Lebih-lebih lagi, jika kita dilantik untuk memegang sesuatu platform yang diamanahkan. Mengurus sistem ini menuntut kita agar meneruskan sesuatu pengurusan yang telah bergerak dengan secara sebaik mungkin.
Saya contohkan begini, seorang suami sepatutnya berperanan sebagai ketua keluarga, mencari rezeki dan memberi nafkah kepada ahli keluarga. Namun, jika si suami itu menukarkan posisi dirinya kepada posisi bersuri rumah, maka sistem keluarga akan mengalami kepincangan.
Saya pernah bertemu dengan keluarga semacam ini. Suaminya sihat wal afiat. Boleh memandu dan sebagainya. Namun, apa yang peliknya, isterinya keluar mencari rezeki, sementara suaminya pula bertindak sebagai pengasuh kepada bayi mereka. Apabila saya memberi pandangan yang agak berbeza kepada ibu lelaki tersebut, jawab ibunya, tak pelah, pasal suaminya suka berada dalam situasi demikian, begitu juga isterinya.
Walaupun mereka itu saling menyukai, namun sistem yang mereka lalui adalah pincang dan senget.
Situasi inilah yang dilalui oleh Datuk Dr. Hasan Ali. Bagi saya, beliau bukanlah seorang pengurus sistem yang baik. Dia lebih bertindak sebagai pengusik sistem yang ada. Kesudahannya akan membawa kepada keadaan yang lebih parah.
Hujjah saya, seandainya Hasan Ali ini berada pada posisi pengurusan yang baik, mengapa semasa memegang portfolionya dahulu, beliau tidak melaksanakan apa yang diucapnya kini? Apakah, apabila orang lain mengambil alih posisi kita, baharulah kita hendak mendedahkan segalanya.
Bukan sahaja beliau bertindak sebagai pengusik kepada sistem , bahkan juga dibimbangi sebagai tikus membaiki labu, pak pandir membaiki kereta, pak kaduk memasak bubur ataupun juga boleh diumpamakan sebagai lebai malang.
Lebai malang bermaksud, lebai yang hanya bergantung kepada panjangnya ekor serbannya, maka panjanglah akalnya. Kononnya. Tetapi meleset sama sekali. Lebai yang malang ini adalah lebai yang kehilangan punca dan kesesatan arah. Berpatah balik, perahu dah tenggelam, nak mengharung arus pula tak pandai berenang.
Maka akhirnya jadi lah seperti si luncai bersama labu-labunya. Bagi si luncai, ingatkan labu itu dapat menyelamatkan beliau, sebaliknya labu dan tuan labu tenggelam di bawa arus. Maksud saya Hasan Ali akan tenggelam bersama Jamil Khir yang bertindak menyokong video yang hendak dipaparkan itu.
Lantaran itu, mengurus sistem adalah suatu kemestian, manakala mengusik sistem adalah suatu malapetaka.
No comments:
Post a Comment