Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini dituduh di Mahkamah Rendah Syariah Klang kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, Klang, pada 16 Ogos tahun lalu. Beliau dituduh mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. (mkini, Apr 26)
Saya tidak ingin mempertikaikan tindakan mahkamah kerana ‘demi mendaulatkan undang-undang’. Cuma saya ingin mengupas isu mengajar tanpa tauliah masih membelenggu jabatan agama negeri. Terfikir juga saya, jabatan ini sebenarnya mengajak orang berdakwah atau menghalang orang untuk melakukan kerja-kerja dakwah.
Tanpa mendengar isi ceramah beliau, saya mengandaikan ceramah itu tidak disukai oleh pihak yang bertentangan. Lantaran itu, mereka membuat laporan. Apabila ditanya kepada jabatan agama, jawab mereka, kita bertindak atas aduan.
Ingin saya bertanya, adakah Khalid Samad ini penyebar ajaran sesat sehingga terpaksa dihadapkan ke mahkamah ? Atau adakah isi ceramah beliau bercanggah dengan agama untuk memaksa pihak jabatan mengambil tindakan ke atasnya ? atau juga adakah agenda lain yang tersembunyi bagi memaksa pihak jabatan mereka-reka lakonan drama yang bersiri bagi tontonan awam bahawa mereka begitu sensitif dengan isu-isu keagamaan ?
Dengar apa kata Junjungan saw dalam sebuah hadis :
عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ - رضي الله عنه - قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم -"الدِّينُ النَّصِيحَةُ، الدِّينُ النَّصِيحَةُ، الدِّينُ النَّصِيحَةُ، قَالُوا: لِمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ" رَوَاهُ مُسْلِمٌ. (جوامع الأخبار)
Rasulullah saw menyebut sebanyak tiga kali secara berulang bahawa agama itu adalah untuk nasihat menasihati. Apabila sahabat ra bertanyakan Nabi saw, untuk siapa nasihat tersebut, lantas Baginda saw menjelaskan bahawa berilah nasihat untuk Allah, untuk KitabNya, untuk RasulNya, untuk pimpinan ummah dan seluruhnya.
Justeru, janganlah pula nanti dilabelkan orang, atau barangkali sudah dilabelkan, bahawa jabartan agama ini sebagai penjara dakwah.
Begitu sukar untuk bercakap tentang Islam, seolah-olah Islam ini hanya milik jabatan tersebut sahaja. Apakah tiada kelayakan bagi seorang muslim lagi beriman untuk berbicara tentang Islam yang mereka anuti danberdasarkan apa yang mereka fahami? Kalau silap, jemaah dihadapan boleh membetulkannya. Mustahil, kesemua jemaah masjid itu buta agama.
Satu lagi soalan, adakah orang-orang jabatan agama ini lebih islamik daripada orang yang bukan jabatan agama ? Dan soalan terakhir, adakah mereka sebagai pengeluar cop syurga yang perlu dipohon oleh orang ramai jika inginkan syurga tajaan jabatan mereka ?
Mohon maaf jika ini agak keterlaluan.
Ini kali ketiga saya bercakap tentang pentauliahan. Pernah suatu ketika dalam sesi seminar, saya berkesempatan bercakap dengan pengerusi pemberi tauliah negeri Selangor. Saya luahkan idea saya agar diberikan kelonggaran kepada graduan lepasan agama agar bilangan pendakwah bertambah.
Jawab beliau ringkas, kepada Datuk Dr Haron Din, Datuk Ismail Kamus ya, tetapi tidak untuk yang lain.
Andainya ada kerjasama antara jabatan agama dengan Bahagian Pendidikan Islam dan Moral, KPM, maka secara automatik kesemua guru agama lantikan kementerian pelajaran berhak untuk mengajar agama di surau dan masjid. Apakah yang menghalang guru agama ini bercakap agama di kelas berhadapkan anak-anak murid di siang hari, namun di malam hari dihalang untuk bercakap perkara yang sama di hadapan mak ayah mereka ? Tidakkah pelik tu...? Ini kerana mereka ada tauliah tentang itu. Secara tidak langsung, mereka juga boleh berkhutbah pada hari Jumaat.
Terkadang sedih sangat, dahlah membaca khutbah bukannya berkhutbah, salah dan salah silih berganti. Maksud saya, khatib itu telah silap membaca ayat al-Quran, lalu beliau membuat pembetulan. Pembetulan yang dibuatnya itu juga salah. Siapa yang berani mengangkat suara bagi membetulkan si khatib tadi, kerana pada awal-awal lagi telah diingatkan agar jangan berkata-kata di kala imam sedang membaca khutbah.
Situasi yang bertukar menjadi fenomena ini perlu segera diperbaiki. Kesilapan yang dilakukan perlu diperbetulkan. Kekotoran yang mencemari persada dakwah perlu dibersihkan.
BERSIH untuk pembersihan.
No comments:
Post a Comment