Wednesday, April 25, 2012

Bersih Untuk Pembersihan

Mengulas soal pengundi hantu, yang termasuk dalam tuntutan BERSIH, Nik Aziz berkata ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam. "Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya. Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya," beliau dipetik sebagai berkata. (mkini, April 24, 2012)

Kehebatan tuan guru ialah fikirannya tajam, fokusnya tepat dan hujjah logiknya tinggi lagi pantas. Hal ini, ramai dalam kalangan pemolitik muda tidak ada. Selaku orang politik, mereka mesti pantas berhujjah, terutamanya dengan menggunakan loqik aqal (aqli) kerana ada kelompok yang tidak mahu lagi berhujjah secara naqli.

Imam Abu Hanifah antara pelopor aliran ini sehinggakan pengikutnya digelar ahli ra’yi. Iyyas seorang qadhi madinah seketika dahulu juga memiliki kehebatan ini, lantaran mampu menyelesaikan banyak permasalahan yang rumit  dengan cara yang mudah.

Di sekolah, anak-anak diajar ilmu logik, ilmu hisab atau ilmu sains. Terkadang ada selang masa ilmu hisab yang dipelajari itu membohonginya, ilmu sains yang ditekuni itu menipunya. Lihatlah, kehadiran majlis bersama rakyat sekadar 4,000 di Taman Maju, Jasin seketika dahulu, namun diberitakan di dada akhbar 14.000. Anak murid yang belajar ilmu hisab sudah tertipu, begitu juga bapa murid.

Sepatutnya dengan mempelajari imu logik mampu melogikkan minda kita. Manggkuk ayun dengan ayun manggkuk berbeza. Air dalam kolam dengan kolam dalam air berbeza. Logik aqal tidak dapat menerima apabila  anjuran BERSIH boleh membawa kepada porak peranda. Adakah setiap kali perhimpunan perlu berlaku kemusnahan ? Apa signifikannya perhimpunan dengan kemusnahan ?

Janganlah mudahnya kita tergoda dengan dakyah Barat. Sebut sahaja Islam, maka terorislah. Apakah kembar Islam itu keganasan ?

Ingat, apa kata Nabi junjugan saw dalam utusan Baginda saw kepada Hirqal Maharaja Rome, “Kamu masuk Islam kamu selamat” ( أسلم تسلم )

Ingat apa kata Rub bin Amir semasa berhujjah dengan Rustum, salah seorang daripada Maharaja Rome, “kedatangan kami adalah untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, daripada kesempitan hidup di Dunia kepada keluasan hidup di Dunia dan Akhirat”.

Dan ingat juga apa yang telah diungkapkan oleh Saidina Umar ra, “ Kami adalah kaum yang dimuliakan Allah kerana mengambil Islam, selagi mana kita mencari kemulian selain daripada Islam, pasti kita hanya menempah sebuah kehinaan”.

Dalam bahasa yang mudah, kita bersama Islam, maka kita menerima jaminan Rasulullah saw akan selamat. Sebaik sahaja kita berada pada arus bertentangan dengan Islam, bermakna kita mendepani kehancuran. Sama ada kehancuran mengejar kita, atau kita menganjar kehancuran, kedua-duanya berakhir dengan kehancuran.

Allah swt menggambar manusia selaku ini sebagai pembina binaan di lereng keruntuhan (  على شفا جرف هار ) . Inilah tindakan gerombolan yang munafiq secara sengaja membina masjid (masjid Dhirar) atas alasan untuk berkhidmat bakti kepada sekeliling. Padahal, di hati mereka tersumbat dendam kesumat, benci meluat, haram kejadah kepada Islam. Akhirnya, Allah swt mempamerkan kehidupan sebenar puak-puak durjana ini.

Nanti akan ada pula suatu kumpulan bersuara, kami tidaklah menyokong BERSIH, tetapi kami menyokong keadilan.

Saudara, BERSIH itu amali, keadilan itu teori. Orang yang yang berteori, belum tentu mampu untuk beramali. Cuba tengok, berapa ramai yang bercakap tentang kebaikan poligami, tetapi berapa ramai pula yang mampu mengamalkannya.

Orang yang beramali, pada masa yang sama mereka juga sedang mengaplikasikan teori yang dibangunkan. Suatu ketika di kampung saya, tukang masak nasi pada majlis kenduri kahwin biasanya menggunakan kayu api. Tetapi tidak bagi tukang masak di kampung saya ini. Saya tanyakan kepadanya, jawabnya ringkas, kerja seorang makan ramai. Saya minta penjelasan lanjut. Terangnya, nasi yang dimasak menggunakan tempurung kelapa akan menyebabkan cepat muak. Katanya, ini akan menyebabkan hadhirin majilis tersebut makan sedikit sahajalah. Jadi, dapatlah disediakan dengan budget yang sedikit untuk hadhirin yang ramai. Ohh...gitu pulak.

Justeru, orang yang tidak menyokong BERSIH tetapi menyokong keadilan adalah sama dengan situasi anak kecil yang bangun di pagi dinihari untuk bersahur. Setelah anak kecil tadi menjamah makanan dan minuman lalu berniat puasa, maka bertanyalah si anak kecil tadi kepada ibunya, “Ibu, mana sahurnya?”. Lalu, terpinga-pingalah ibunya tadi. Walhal, makanan yang dimakan oleh si anak kecil itulah sebenarnya sahur.

Perumpamaan  tadi saya tujukan kepada mereka yang tidak menyokong BERSIH tetapi meyokong keadilan, maka manusia spesies ini bagaikan anak-anak kecil yang baharu nak belajar berpuasa.

Bagi mufti pula, selak-selaklah kitab lama untuk mencari hukum penglibatan diri dalam BERSIH untuk khutbah pada hari Jumaat ini (27hb April 2012). Tiga empat kali khatampun tidak akan menjumpainya kerana tulisan di dalam kitab-kitab tersebut adalah teorinya. Lantaran kedangkalan dalam memeqahkan minda, akhirnya feqah sekadar haid nifas dan nikah kahwin, berakhir dengan pengurusan jenazah dan tahlil.  Itu dan itu sahaja.  Tiada itu dan ini.

Akhirnya, Islam yang dianuti dan diberi jaminan tadi tidak sampai ke mana. Hanya sekadar di pelamin pengantin dan berakhir dengan keranda janazah. Lihatlah, bagaimana dengan kedudukan mahkamah syariah, fokus cerita hanya berkisar tentang nikah kahwin, cerai berai, iddah, jauh sedikit maka terhenti pada kes-kes khalwat. Dimanakah letaknya kes mencuri, menipu, menzalimi dan sebagainya?

Tuan-tuan, beginilah realiti kehidupan ummah kini, asyik dilanda dengan pelbagai permasalahan hidup, yang puncanya sudah pasti dari tangan-tangan kita sendiri. Kesedaran tiada bermakna tanpa ada sebarang tindakan, dan tindakan itu tidak berhasil tanpa ada usaha yang menyusul.

Semoga Allah memberkati uasaha kalian dan dikira sebagai amalan soleh yang menantikan ganjarannya di hari muka.


No comments:

Post a Comment