Thursday, April 19, 2012

Ustaz Ahmad Al-Yazidi Dalam Kenangan


Antara guru yang banyak mencurahkan titisan ilmu kepada kami semasa di Kenitra dahulu ialah fadhilah ustaz Ahmad al-Yazidi.

Beliau merupakan seorang imam khutbah pada hari Jumaat di masjid Sya’bie. Berasal dan Wazzan, Tetuan. Orangnya amat baik, sentiasa tersenyum meskipun terkadang kami salah baca baris.

Banyak pengalaman yang terhimpun, ada suka, ada duka dan ada juga yang melucukan. Namun, kami amat selesa dengan penampilan diri fadhilah ustaz Ahmad al-Yazidi tersebut.

Bersama beliau, kami menadah kitab “Budayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid” karangan imam Ibn Al-Rusyd. Setiap petang Jumaat, selepas Asar kami memulakan talaqqi tersebut di rumah beliau. Berakhir dengan solat Maghrib berimamkan fadhilah ustaz Ahmad al-Yazidi.

Kami juga sempat bersama beliau mempelajari ilmu qiraat. Pada masa itu, ustaz al-Yazidi sedang mentahqiqkan kitab “Kanz al-Ma’ani fi Syarh Hirz al-Amani” karangan Abu Ishak al-Ja’bari. Banyak yang dapat kami kutip semasa mempelajari kaedah mentahqiq kitab.

Kitab tersebut yang telah ditahqiqkan kini dalam dua jilid, penerbitnya Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi pada tahuhn 1999, cetakan pertama. Teringin saya untuk memprolehi kitab tersebut. Kalau diizinkan Allah menjejakkan kaki ke bumi Maghribi, insya Allah kitab ini akan dibeli.

Semasa saya bertemu Sheikh Dr. Farouq Hamadah dua minggu lepas, beliau memaklumkan ustaz al-Yazidi telah meninggal dunia kerana terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya ketika pulang ke kampung halamannya.

Semoga Allah merahmati
al-marhum fadhilah ustaz al-Yazidi
dan juga guru kami yang lain
jasa kalian semua sukar digalang ganti

No comments:

Post a Comment