Thursday, April 5, 2012

Lembu Yang Tahu Jalan Pulang

Kerajaan akan membuka tender kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengambil alih projek ternakan lembu daging Perbadanan Fidlot Nasional (NFC). Beliau berkata kementerian itu serius untuk memastikan projek tersebut dapat diteruskan dan berjalan lancar seperti yang dicadangkan sebelum ini. kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar. (mkini, Mac 27, 2012)
Semasa saya pada zaman kanak-kanak dahulu, saya sering mendengar orang kampung ada menyebut,"lembu saya sudah jumpa”, “lembu saya sudah pulang” dan pelbagai lagi ungkapan yang setara dengannya. Suara ini bagaikan sinar suria rentetan daripada penat lelah, jerih payah menternak, menjaga dan membesarkan lembu-lembu tersebut. Meskipun pada awalannya hilang, namun pada akhirannya ditemui kembali.

Kebanyakan penduduk kampung saya itu, mereka bersawah bendang. Pada kebiasaan orang bersawah adalah bersinonim sebagai pengembala lembu. Adapun menggembala lembu itu bukanlah suatu kerja yang rumit, hanya perlu ada lembu secara atas belian atau secara pawahan.

Apabila telah dimiliki lembu itu, maka seluruh penduduk kampung akan dipaksa melalui sesi ta’aruf, lantaran lembu tersebut akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi secara bebas tanpa kawalan. Pada masa ini, orang akan bertanyakkan siapakah pemiliknya, maka akan dimaklumkan pemiliknya oleh sianu dan sianu yang mengenali tuannya. Apabila penanya (orang yang bertanya) tadi berkata. “Ohh...”, maka tersempurnalan proses pengenalan diri dan terangsanglah minda storagenya.

Para Lembu peliharaan itu akan hanya didedahkan pula dengan tali hidung apabila tibanya musin mencedong (aktiviti menanam padi menggunakan tangan), diikuti pula musim membaja yang membawa kepada buah padi meranum yang akhirnya menibakan (mendatangkan) musim menuai.

Sebaik sahaja musim menuai berlalu, maka grombolan lembu tadi akan dibebaskan untuk hidup ala kelembuan.  Nikmat kelembuan itu amat terasa sekali, terutamanya apabila dipacarkan dengan pasangan masing-masing. Proses pacaran dan pengawanana ini berterusan, terkadang melarat dan meleret sehingga melupakan mereka kepada jalan pulang.

Bagi lembu yang tahu jalan pulang dan kenal pula tuannya, maka sudah tentu akan bergembiralah tuannya tadi, lantaran lembu itu sudah besar dan cukup matang untuk diraih habuan jualan dagingnya. Tambahan pula, pada tika itu, kenduri rumah ke rumah akan diadakan sebagai ucap syukur atas nikmat kurnianNya, meratah daging lembu dengan bersulamkan beras baharu.

Namun, terdapat juga lembu yang tidak tahu jalan pulang
dan tidak pula berhasrat untuk pulang
maka,bentuk dendaan yang dikenakan
pisau sembelihan atau peliru tembakan

Dari itu,
sementara lembu masih kenal jalan pulang
sementara tuan lembu belum lagi menjadi lembu
Sementara juha masih sayangkan keldainya

eloklah,
kita atur dan susun
kita rancang dan strategikan
kita bergerak atas landasan berprosedur
kita bertindak ikut tata cara dan garis panduan

janganlah pula,
setelah terdesak
setelah tali terputus
setelah sokongan ahli kampung tersonsang

baharulah kita bersedarkan diri
baharulah kita berwajah simpati
baharulah kita memohon, mengadu dan berwaja diri
bahawa kitalah orang yang mengikut proses sejati

walhal, kitalah empunya diri
merobek labu sendiri
mengkhianati amanah diberi
menempah nasib buatan sendiri
renung-renunglah bersama untuk kebaikan diri.

No comments:

Post a Comment